MINGGU lalu beredar sebuah viral yang disalin daripada laman sosial Facebook. Ia memaparkan luahan hati seorang ibu yang amat kesal kerana anaknya tidak mendapat keputusan yang diharapkan dalam peperiksaan.

2. Si ibu menyatakan bagaimana beliau sanggup berhenti kerja untuk menjadi tutor kepada anaknya agar berjaya di dalam peperiksaan. Si anak yang lazimnya mendapat tempat tiga teratas di dalam kelas diharapkan akan memperoleh keputusan 10A. Alangkah terkilannya si ibu apabila si anak hanya memperoleh 3A!

3. Ramai netizen yang menatap luahan hati ibu itu memberi reaksi. Rata-rata menyatakan, 3A pun sudah cukup baik. Bagaimana pun, si ibu memberi respon yang dia amat kecewa.

4. Saya teringat akan keputusan peperiksaan darjah 5 yang saya ambil pada tahun 1968. Saya mendapat 2B dan 3C. Tidak ada A. Emak dan abah saya tak tanya pun! Mereka bukannya tidak kisah dengan pelajaran saya.

5. Malah, di zaman persekolahan, emak saya sentiasa mengingatkan saya untuk membuat homework selepas pulang daripada sekolah agama. Abah pula akan suruh saya balik ke rumah selepas solat maghrib di surau seandainya dia tahu saya belum buat kerja rumah. Mereka amat mengambil berat terhadap pelajaran saya.

6. Namun, pesanan mereka yang klise dari semasa ke semasa ialah ‘belajarlah rajin-rajin, nanti lulus periksa.’ Tetapi mereka tidak pernah menyemak buku sekolah saya. Tidak melihat kerja rumah saya. Tidak juga bertanya apa yang saya belajar di sekolah. Seolah-olah mereka biarkan saya buat apa yang saya suka di sekolah.

7. Tetapi, jangan sekali-kali ponteng sekolah. Rotan akan sampai ke punggung. Jangan terlupa membasuh kasut sekolah pada hari cuti. Jika alpa, emak akan berleter sampai ke malam. Jangan pula berani tunjuk tapak tangan yang melecet kena rotan cikgu. Nanti abah tambah sampai berbirat di pipi pula.

8. Ibubapa saya dan hampir kesemua ibubapa kawan-kawan yang seangkatan dengan saya punyai ibubapa yang tidak belajar tinggi. Sekolah ayah setakat darjah tujuh. Dia bekerja sebagai kerani di pejabat tanah. Emak pula tidak pernah bercerita mengenai zaman persekolahannya. Dia suri rumah, tetapi pandai membaca dan menulis.

9. Dan ramai ibubapa kawan-kawan saya bekerja sebagai petani dan nelayan. Hampir pasti mereka tidak berpelajaran tinggi. Di zaman mereka tiada sekolah menengah. Apatah lagi yang dapat belajar hingga ke universiti.

10. Sebaliknya, ibubapa pada hari ini pula ramai yang berpendidikan tinggi. Ada yang bukan setakat mempunyai sarjana, ada yang mendapat kedoktoran. Malah, ada yang punyai lebih tiga kelulusan kedoktoran. Kelulusan ibubapa pada hari ini juga sudah menggerunkan si anak!

11. Ramai yang berjaya di dalam peperiksaan kerana kebijakan mereka menjawab soalan peperiksaan tetapi kerana mereka bernasib baik dapat meneka soalan yang akan keluar di dalam peperiksaan. Mereka lulus cemerlang kerana guru-guru pandai menelah soalan apa yang bakal terbit di dalam peperiksaan berdasarkan trend soalan-soalan peperiksaan yang lalu.

12. Ibubapa yang sedar akan perlunya anak-anak mereka mendapat kemahiran EQ; Emotional Quotient, selain daripada meningkatkan IQ; Intellectual Quotient di dalam akademik akan mendaftarkan anak-anak mereka mengambil kelas-kelas balet, piano, berenang, memanah atau menunggang kuda.

13. Tetapi ramai lagi ibubapa yang tidak sedar akan ketempangan kurikulum pendidikan ini akan membiar, malah memaksa anak-anak mereka mengangkut segala jenis buku ulangkaji dan belajar dan belajar dan belajar untuk mendapat A dalam semua matapelajaran.

14. Itulah ukuran kejayaan bagi mereka. Jika boleh, mendapat 20A itulah yang paling hebat dan bagus. Mereka akan risau bagaimana anak mereka mendapat keputusan yang kurang baik dalam matapelajaran Kemahiran Hidup. Padahal, pelajaran kemahiran mati juga amat penting bagi anak-anak dan juga diri mereka sendiri! Itu aspek didikan SQ atau Spiritual Quotient pula.

15. Saya teringat akan seorang rakan saya, Amran. Katanya, dia tidak kisah walau apapun keputusan peperiksaan anak-anaknya. Samada berapa A, B, C atau D sekali pun keputusan mereka, ia tidak akan merisaukannya. Dia hanya mahu anaknya mendapat 3A. A pertama untuk Agama, A kedua untuk Akhlak dan A ketiga untuk Adab. Ketiga-tiga subjek ini adalah didikan yang diberikan kepada anak-anaknya.

16. Sejak bayi lagi, inilah 3A yang diasuh hingga mereka boleh hidup sendiri. Walaupun kelulusan akademik anak-anaknya tiada seorang pun yang punyai A yang berderet-deret, mereka kesemuanya jadi orang.

Yang lebih penting, mereka juga tidak menyusahkan orang!

*piccredit: thesundaily

*petikan artikel dari buku MAAFCAKAP tulisan saya

Sumber: Facebook Norden Mohamed