Tahun ini pembukaan sesi persekolahan memberi pengalaman yang sangat berbeza dan mungkin tidak pernah dibayangkan dalam fikiran sesiapa sahaja.

Bak kata salah seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah, mahu atau tidak, semua pihak perlu menerima normal baharu ini, dengan hati yang terbuka.

Selain suasana yang baharu, Cikgu Ahmad Safarman juga perlu berdepan dengan proses pengajaran tahun ini yang juga dalam keadaan serba baru.

“Sebelum ini, saya mengajar Tahun Enam. Tapi tahun ini, saya perlu mengajar murid Tahun Satu pula. Memang tak sangka,” katanya kepada GPS Bestari.

Berkongsi cerita mengenai murid Tahun Satu, ini kata beliau…

“Setiap tahun memang ibu bapa dan murid terutamanya yang akan memasuki Tahun Satu dan kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah akan teruja dan ternanti-nantikan detik anak memakai pakaian sekolah yang serba baru.

“Kemudian, masuk ke kelas, belajar mengenali rakan dan juga guru. Paling penting, bila pulang ke rumah, anak-anak akan petah berbicara berkenaan pengalaman hari pertama di sekolah.  

Namun bagi tahun ini, sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu cukup berbeza sekali.

“Murid-murid Tahun 1 tidak lagi ke sekolah untuk mengikuti minggu orientasi kerana  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerana itu, murid-murid ini perlu belajar di rumah dengan bimbingan ibu bapa berdasarkan Modul Transisi,” katanya.  

Modul Transisi adalah pengganti kepada tempoh ‘suai kenal’ antara guru dengan murid.

Murid akan menyiapkan modul ini dengan arahan guru-guru melalui group 1 Akasia berdasarkan jadual yang telah diedarkan.

“Kalau ikutkan, sudah enam tahun saya menjadi guru Tahun Enam. Kali ini, satu tugas baru terpaksa saya terima dengan memegang tanggungjawab menjadi guru kelas Tahun Satu Akasia pula. Memang sangat ketara perbezaan di mana terpaksa merendahkan aras pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, guru perlu berhati-hati terutama dalam bab pemberian latihan kepada murid.

“Kita tidak mahu ibu bapa dan murid merasa terbeban dengan latihan yang diberikan. Kita faham, semua pihak ada komitmen masing-masing, justeru, kami akan cuba beri yang terbaik buat anak-anak didik,” ujarnya dengan menambah para guru hanya mampu mengikuti perkembangan kelas jagaan dari jauh sahaja.

Memang banyak cabaran, tapi warga pendidik yakin yang ibu bapa di luar sana mampu membantu anak-anak dalam pelajaran.

Artikel menarik

Cabaran guru hari ini lebih hebat, Cikgu Nasir mohon ibu bapa beri peluang kepada pendidik

Tarik minat murid dengan aplikasi Geoboard, cg KAI kongsi idea yang ramai tidak tahu