SUATU ketika, rasanya hampir lima tahun lepas. Pertengahan bulan Ramadhan. Pada ketika itu saya dan kawan-kawan baru selesai bertadarus al-Quran di pusat rawatan kami.

Biasanya itu antara perkara rutin yang kami lakukan setelah selesai solat tarawih sama ada di masjid, di surau ataupun di rumah masing-masing.

Selepas bertadarus bersama-sama, kami menunggu juga kalau-kalau ada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

Kebiasaannya pada bulan Ramadan seperti ini, jumlah pesakit akan turun mendadak. Mungkin dalam sekitar seorang dua sahaja setiap kali sesi rawatan diadakan.

Tetapi kadang-kadang pernah juga mencapai jumlah angka 20 lebih orang pesakit pada bulan Ramadan.

Jumlah yang hampir sama ketika kami mengadakan rawatan pada bulan-bulan yang lain. Tetapi memang agak jarang berlaku.

Mungkin pada bulan puasa ini Allah menurunkan rahmat dan kasih sayang kepada hambaNya sehinggakan gangguan pesakit pada bulan Ramadan sangat kurang dari kebiasaannya.

Mungkin juga Allah memberi peluang kepada umat Islam untuk lebih tekun dan khusyuk dalam beribadah.

Pada malam itu, suasana semakin sunyi. Mungkin ramai yang mengambil peluang untuk tidur awal supaya mudah untuk bangkit bersahur dan menunaikan solat tahajud sementara menunggu azan subuh.

Selepas bertadarus kami berborak-borak sambil mengemas barang-barang di pusat rawatan kami.

Dari kejauhan terdengar suara bacaan al-Quran dari jemaah Surau At Taqwa (Pada ketika itu Surau At Taqwa belum di naik taraf menjadi masjid), surau Darus Salam di Kampung Baru dan juga dari Masjid Daerah Bintulu dan membuatkan malam tersebut lebih hidup dari malam-malam yang lain.

Malam itu juga agak tenang, bunyi deruan enjin kereta sesekali terdengar di celah telinga. Pandangan di luar Bangunan Martabat sepi dari manusia.

Walaupun sebelumnya ramai kaum Muslimin dan Muslimat berjalan pulang ke rumah masing-masing bersama anak-anak mereka setelah selesai menunaikan solat tarawih.

Sedang asyik kami bercerita, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi suara perempuan menjerit dengan kuat. Rasanya mungkin dari luar Bangunan Martabat. Lantas kami bergegas keluar untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

Kelihatan beberapa orang lelaki sedang memapah seorang perempuan yang sedang mengamuk dan minta untuk dilepaskan. Ketika sampai di pintu pusat rawatan kami, saya meminta mereka untuk membawa perempuan tersebut masuk ke dalam.

Saya tidak pasti bagaimana wajah perempuan tersebut pada mulanya kerana wajahnya ditutup oleh helaian rambutnya yang panjang dan hampir menutup keseluruhan wajahnya.

Kemudian saya meminta mereka untuk membaringkan perempuan tersebut pada sebuah bantal yang telah disediakan oleh kawan saya. Juga memakaikan perempuan tersebut telekung bagi menjaga aurat dan aibnya.

Selepas itu saya duduk di sebelah perempuan tersebut. Saya terkejut kerana melihat wajah perempuan itu penuh dengan kesan cakaran dan darah-darah kering. Juga kesan darah di sekitar bawah bibirnya.

Saya tidak tahu kenapa wajah perempuan tersebut sebegitu rupa. Mungkin kesan dari cakaran kucing atau sebagainya. Cuma kalau cakaran kucing. Kesan lubangnya taklah sedalam dan sebesar seperti yang berlaku pada perempuan ini.

Agak lama juga saya perhatikan wajahnya. Kerana cakaran tersebut memang agak dalam dan sebahagian tempat cakaran tadi masih lagi mengeluarkan sedikit darah-darah hangat dan pekat sehinggakan darah tersebut terkena juga pada telekung yang digunakan oleh perempuan tadi.

Setelah beberapa ketika, saya terkejut apabila perempuan tersebut tiba-tiba memandang ke arah saya. Lalu perlahan-lahan tersenyum.

Sambil matanya dibuka sebesar-besarnya dan memandang terus ke arah saya.

Perempuan tersebut mengangkat kepalanya perlahan-lahan dan dia cuba untuk menyerang saya. Saya meminta kepada mereka untuk membantu saya menahan perempuan tersebut.

Saya memerhati ke arah tetamu kami tadi yang masih berusaha memegang tangan perempuan yang mengamuk tadi. Ada empat orang mereka kesemuanya.

Seorang lelaki yang agak berumur dan juga tiga orang lelaki yang masih muda. Tetapi sebelum itu saya sempat bertanya kepada mereka.

“Kalau tak keberatan, boleh saya tahu siapa perempuan ini?”

“Ini isteri saya. Yang tiga orang ni anak lelaki saya. Saya Zainal. Boleh panggil Pakcik Zainal je.”

“Alhamdulillah. Oklah senanglah kalau macam tu. Mahram sendiri. Anak sendiri. Bolehlah tolong saya tahan isteri pakcik. Saya Cikgu Malik. Kenapa dengan isteri pakcik ni?”

“Macam ni. Petang tadi masa balik dari beli juadah berbuka puasa di (dataran) Esplanade (Bintulu), pakcik dan isteri bergegas nak balik ke rumah. Rumah kami jauh dari pasar (Bandar lama Bintulu). Kami tinggal di Sungai Plan. Jam dah dekat nak berbuka puasa. Tadi kami lewat jugak pegi beli juadah sebab pakcik balik kerja pukul 4.30 petang. Nak turun ke pasar tu bukan sekejap cikgu. Tambah-tambah lagi ‘jem’. Masa tu kan masa puncak. Ramai orang yang kerja di MLNG, ABF, SHELL, Bintulu Port, Daiken pakat nak balik awal juga sebab nak berbuka puasa dengan keluarga masing-masing.”

Juadah Puasa

“Sebenarnya banyak tempat orang menjual juadah berbuka puasa ni cikgu. Kat RPR Kidurong ada, kat depan kedai runcit Fair Choice ada. Cuma sekali sekala nak tukar selera. Sebab itulah kami pergi ke Esplanade. Mana tau selera tekak orang berpuasa ni macam-macam cikgu. Tapi dalam perjalanan balik tadi dah masuk maghrib dan kami teruskan perjalanan macam biasa.”

(Pada ketika itu tempat jualan juadah puasa di hadapan NU Hotel di Assyakirin Commerce Square dan juga di Kampung Assyakirin belum ada lagi)

“Lepas tu kenapa isteri pakcik jadi macam ni? Tak sempat nak buka puasa ke?”

“Hahaha..Bukan macam tu cikgu. Masa dalam perjalanan balik tadi. Lebih kurang beberapa minit selepas masuk waktu berbuka puasa, saya dan isteri menjamah apa yang kami beli tadi. Hari dah semakin gelap dah. Memang tak sempat kalau nak tunggu balik rumah. Masa tu kami kebetulan baru melintas Sekolah Menengah Teknik.”

(Pada ketika itu, Sekolah Menengah Teknik Bintulu belum di naik taraf menjadi Kolej Vokasional Bintulu. Betulkan saya kalau saya silap)

“Sedang kami menikmati juadah berbuka puasa di dalam kereta, tiba-tiba kereta kami seperti melanggar sesuatu. Akibat dari pelanggaran tersebut, kereta kami berpusing dua tiga kali. Alhamdulillah juga sebab pada ketika itu tidak ada kereta di belakang kami. Lepas tu saya berhenti di simpang jalan dan turun dari kereta untuk melihat kalau-kalau kami telah melanggar sesuatu.”

“Saya cuba untuk mencari dan memerhati apa yang kami langgar dan juga mencari kesan-kesan calar atau kemek kalau ada. Tetapi yang menghairankan saya langsung tiada kesan kemek atau calar tadi. Selepas saya puas hati yang kami tak ada melanggar apa-apa, saya lalu kembali ke kereta. Sesampainya di kereta saya lihat isteri saya tak ada.”

“Puas saya cari isteri saya cikgu. Di tempat duduk belakang kereta. Di bawah kereta. Di sekitar jalan pun tidak ada juga. Saya perhatikan sekeliling kalau-kalau isteri saya ada di situ. Saya kemudiannya menelefon anak-anak saya di rumah dan menceritakan apa yang terjadi. Mereka kemudiannya bergegas datang ke tempat kami kemalangan tadi. Lebih kurang 20 minit macam tu. Sementara menunggu mereka datang saya teruskan pencarian saya.”

“Selepas mereka sampai kami kembali mencari isteri saya di sekitar tempat tadi. Lama juga kami mencari. Dalam setengah jam. Hari dah hampir isyak. Rancangan saya nak solat tarawih berjemaah terbengkalai begitu saja. Masa kami sibuk mencari tu, tiba-tiba kami terkejut mendengar suara isteri saya sedang ketawa. Rupanya suara itu terdengar jelas di celah belukar kecil di tepi jalan. Tidak jauh dari kami. Sedangkan dari awal tadi saya dah cari di kawasan tersebut tetapi saya tetap tidak menjumpai isteri saya.”

“Kami berempat cuba untuk mengesan di mana kedudukan isteri saya dan akhirnya kami terkejut apabila melihat isteri saya sedang berada di belakang sebatang pokok dan memandang kami dengan senyuman yang menakutkan. Lalu saya mendekati isteri saya dan membawanya masuk ke dalam kereta. Sepanjang dalam perjalanan balik, isteri saya cuma terdiam saja. Cuma sesekali ada juga isteri saya seolah-olah berkata ‘Kenapa kau langgar? Kenapa kau langgar?”

(Pada ketika itu pokok tersebut masih lagi agak kecil. Sekitar tiga kali tinggi saiz manusia biasa. Lama-kelamaan semakin membesar. Dulu pokok besar tersebut masih ada. Dalam sekitar dua tiga tahun yang lepas. Sekarang dah tak ada lagi. Dipotong untuk projek membesarkan jalan)

“Saya tak faham apa yang isteri saya maksudkan cikgu. Sesampainya kami di rumah saya baringkan isteri saya di sofa di ruang tamu. Mungkin dia kurang sihat. Selepas saya menunaikan solat Maghrib dan Isyak, saya kembali menemui isteri saya untuk mengejutkan dia dari tidur. Masa tu saya lihat dia sedang terbaring lemah sambil menutup mata. Dia tidak memberi sebarang reaksi dan saya biarkan dulu sambil saya teruskan dengan solat tarawih.”

“Lepas solat tarawih, saya kembali mengejutkan isteri saya untuk solat. Mungkin tadi dia masih penat atau sakit. Sebab itu saya biarkan dia berehat dulu. Sebaik saja saya kejutkan isteri saya, tiba-tiba dia membuka mata lalu memandang saya dan ketawa berdekah-dekah. Suaranya sangat kuat sehingga hampir pekak telinga saya dibuatnya. Ketika itu anak-anak saya di dalam bilik masing-masing. Juga sedang solat. Mungkin mereka mendengar suara isteri saya mungkin jadi tidak.”

“Lalu saya tinggalkan dulu isteri saya keseorangan di sofa dan saya berlari ke tingkat atas untuk memanggil ketiga-tiga anak saya. Selepas itu kami turun dan menuju ke ruang tamu. Saya sangat terkejut apabila melihat isteri saya sedang mencakar mukanya sendiri hinggakan darah-darah memenuhi hampir seluruh wajahnya.”

“Kami terkejut. Tidak pernah isteri saya bertindak sebegini. Saya hairan cikgu. Kami tidak bergaduh masa tu dan isteri saya pula tidak pernah bercerita kepada saya kalau-kalau ada perkara yang merunsingkan fikirannya atau membuat dia bersedih atau memendam rasa marah. Dia tiba-tiba berubah apabila hilang dari kereta petang tadi. Saya ingatkan isteri saya marah ke apa ke. Tapi takkanlah sampai seteruk macam ni. Ni kali pertama dia macam ni cikgu.”

Saya kembali memandang wajah isteri Pakcik Zainal. Dan isterinya juga memandang saya. Juga dengan senyuman yang menakutkan.

“Saya rasa boleh jadi isteri pakcik ni tersampuk.”

Disampuk

“Tersampuk. Hahaha..Mana ada syaitan bulan-bulan puasa macam ni cikgu. Hahaha..”

“Kalau bukan tersampuk, jadi menurut pandangan pakcik, isteri pakcik ni kenapa?”

"Bohong semua-semua ni cikgu. Tak ada hantu-hantu bulan puasa ni. Cikgu macam tak pernah dengar hadis Nabi yang bagitau bahawa hantu-hantu semua tu di penjara. Sepatutnya cikgu lebih tau semua-semua ni. Entah-entah cikgu dapat cerita ni kat tepi-tepi jalan. Hahaha..”

Pakcik Zainal mula mentertawakan saya. Begitu juga dengan anak-anakya. Memandang saya dengan pandangan serong.

Sebenarnya saya tidak kisah kalau mereka tidak bersetuju. Tetapi jangan pernah merasa kebenaran itu adalah milik mereka sahaja.

Sekurang-kurangnya mendengar dulu pendapat orang lain. Mungkin kita benar dan boleh jadi juga kita salah.

“Saya tau hadis tu pakcik. Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila masuk sahaja Ramadan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahanam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (HR Bukhari, 11/55, no. 3035)

“Dalam lafaz lain pula disebut begini;

“Jika masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu jahanam ditutup dan syaitan-syaitan pun diikat dengan rantai.” (HR. Bukhari no. 3277 dan Muslim no. 1079)

“Lepas tu. Kenapa cikgu masih percaya yang di bulan puasa camni hantu masih ada lagi? Kan semua hantu di penjara?”

Pakcik Zainal kelihatan semakin tegang. Saya pun tidak tahu kenapa Pakcik Zainal boleh menjadi setegang begini. Cara duduknya juga berubah.

Dari duduk tunduk bersila kepada duduk menegak sambil kedua belah tangannya digenggam ambil diletakkan di atas lututnya. Dia semakin rancak menyerang saya dengan pendapatnya.

Saya jadi keliru dengan kehadiran Pakcik Zainal ke pusat rawatan kami. Adakah Pakcik Zainal ingin membawa isterinya berubat atau ingin berdebat dengan saya.

Meluruskan Pemahaman

“Dalam hadis tu tak disebut hantu.”

“Lepas tu apa?”

“Syaitan..”

“Apa beza hantu dan syaitan? Macam sama je. Pelik betul pemahaman cikgu ni.”

“Saya bukan pelik seperti yang pakcik fikir. Yang peliknya kalau kita tidak dapat menerima pendapat orang dan berlapang dada atas suatu perbezaan serta memandang rendah orang lain. Syaitan itu Allah ciptakan dari api. Dalam al-Quran makhluk ini disebut sebagai syaitan dan bukan disebut sebagai hantu. Firman Allah;

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.” (Surah Al Hijr: 26-27)

“Sebenarnya syaitan inilah yang mengganggu manusia. Mengganggu isteri pakcik. Hantu ni pula adalah istilah dari pemahaman masyarakat Nusantara berkenaan dengan syaitan ni. Apa pun makhluk tersebut contohnya hantu pocong, hantu pontianak, hantu raya, toyol, hantu tinggi dan apa-apa sahaja namanya itu adalah syaitan yang menampakkan diri kepada manusia dalam bentuk hantu-hantu menurut bahasa kita. Tetapi itu pun dengan izin Allah.”

“Orang Islam yang beriman tetap akan meyakini akan wujudnya syaitan-syaitan ini di dalam kehidupan seharian kita. Mereka sentiasa mempengaruhi manusia untuk melakukan dosa dan maksiat. Sedangkan bentuk-bentuk syaitan ini tidak diceritakan pula di dalam al-Quran bahawa bentuk mereka adalah begini atau begini. Tetapi kalau menurut pemahaman masyarakat Nusantara ianya adalah berbeza. Begitu juga pemahaman masyarakat Barat tentang hantu.”

“Kita ambil contoh mudah. Kalau di Barat mereka meyakini ‘Vampire’ atau pontianak ini tinggal di dalam keranda atau di rumah lama yang cantik dan besar, meminum darah, berbaju kot, pakai minyak rambut ‘Pomade’, kulit pucat, bertaring panjang dan takutkan cahaya matahari. Tapi sekarang di dalam filem kita boleh lihat pontianak ni terdiri dari lelaki tampan, perempuan cantik, berpakaian seksi, selalu berkumpul di pub-pub, menari sesama sendiri, bertaring kecil. Mungkin mereka berjumpa dengan doktor gigi untuk mencantikkan gigi mereka dan sekarang mereka tak takut sangat dengan matahari kerana mereka gunakan cermin mata gelap anti sinar UV mungkin. Maaf pakcik. Saya bergurau saja.”

“Tetapi pada pandangan masyarakat Nusantara kita pula, pontianak kita ini adalah makhluk yang miskin, rambut tak terurus, tak ada duit nak pergi salun, tak ada duit nak beli syampu anti dandruff, baju koyak rabak, tak diseterika, tinggal di pokok sebab tak ada duit nak sewa rumah dan cuma menyanyi sahaja untuk menghiburkan hati. Cuma sekali sekala dia ketawa keriangan dan kadang-kadang merintih sendiri mengenangkan nasib hidup bersendirian. Hahaha..”

“Di sinilah kita lihat perbezaannya. Islam menganjurkan percaya kepada alam ghaib dan salah satunya adalah percaya kepada wujudnya syaitan ini tadi. Makhluk inilah yang mengganggu kita. Hantu ni pula adalah pemahaman masyarakat kita tentang bagaimana makhluk ghaib ini tadi. Cuma berlandaskan pemahaman tradisi kita sahaja. Mungkin apa yang masyarakat kita nak sampaikan itu adalah benar tapi perlu ada dalil kuat yang menyokong. Bukan sekadar meyakini berdasarkan apa yang disampaikan oleh datuk nenek kita dahulu.”

“Bahasa paling mudah adalah macam ni. Adapun pontianak, pocong, hantu bungkus dan sebagainya itu semua adalah wujud dari syaitan, itu pun kalau memang benar ia ada. Dan itu pun bukan bererti Allah menciptakan pontianak, pocong, hantu bungkus itu tadi tapi semua itu hanyalah jelmaan dan wujud yang nampak yang dilakukan syaitan kepada manusia. Tetapi semuanya tetap dengan izin Allah.”

“Kalau macam tu barulah saya faham cikgu. Cuma yang masih saya kurang faham adakah syaitan pada bulan puasa ni di penjara seperti yang cikgu sebut tadi? Sedangkan Nabi kata syaitan di penjara.”

“Pakcik, kalau syaitan benar-benar di penjara, kenapa manusia masih lagi berbuat dosa di bulan puasa? Kenapa pada bulan puasa macam ni ada orang suka merendah-rendahkan orang lain. Apakah itu bukan dosa? Ini yang saya nak pakcik faham. Apa yang Islam nak sampaikan kepada kita berkenaan dengan masalah ni. Bukan sekadar mendengar dari kata-kata orang lain tanpa merujuk hadis dan pendapat ulama mukbatar lainnya. Sebab apabila memahami semua ini berdasarkan hawa nafsu, maka Islam akan rosak kerana bercampur aduk di antara hak dan yang bathil.”

“Sekiranya pakcik tidak setuju dengan pendapat saya, saya tiada masalah. Tapi pakcik kena jugak dengar pendapat kedua. Pendapat yang lain. Saya cuba memberi pemahaman kepada pakcik tentang Islam itu luas. Bukan sekadar didapati dari cerita-cerita kosong untuk memenuhi keinginan nafsu kita saja sambil menolak yang benar-benar hak dan mengambil yang bathil sebagai pemuas diri kita.”

“Ini bukan juga kerana saya masih percaya yang di bulan puasa camni hantu masih ada lagi sepertimana yang pakcik bagitau tadi. Tapi saya tetap meyakini apa yang disampaikan oleh Rasulullah dalam hadis tersebut adalah benar dan saya membenarkannya juga di dalam hati saya kerana itulah hadis yang saya belajar dan yang saya faham dan saya bukan mendapatkannya dari cerita-cerita kosong di tepi jalan dari orang-orang yang tidak ‘tsiqah’ (terpercaya).”

“Saya minta maaf cikgu kalau saya ada terkasar bahasa tadi dengan cikgu.”

“Tak adalah pakcik. Saya tak kisah sebenarnya. Nak suruh orang faham ni kadang-kadang sangat susah. Sebab dah terbiasa menerima cerita tanpa ada dalil yang benar.”

“Sekali lagi saya minta maaf cikgu.”

“Tak apa pakcik. Saya tiada masalah.”

“Jadi, kalau macam tu bulan puasa ni ada syaitanlah cikgu?”

“Nanti kalau ada masa saya jawab. Sekarang saya nak selesaikan dulu masalah isteri pakcik. Kalau tak sampai sahur esok tak selesai-selesai masalah ni.”

“Kalau macam tu baiklah cikgu. Saya serah dengan cikgu.”

Selepas itu saya kembali memerhati wajah isteri Pakcik Zainal. Pada ketika itu isterinya cuma memandang saya sambil mengerak-gerakkan kepalanya sambil tersenyum.

Kelihatan kedua belah pipinya bergerak-gerak. Juga bebola matanya pada ketika isteri Pakcik Zainal menutup matanya sekali sekala.

Darah merah pada wajahnya juga semakin mengering. Tapi beberapa garisan yang dalam hasil cakaran dari tangan isteri Pakcik Zainal sendiri itu mungkin akan meninggalkan parut. Mungkin untuk beberapa bulan juga.

Merawat isteri Pakcik Zainal

“Bismillah. Dengan nama Allah. Kamu siapa?”

“Hahaha..Aku tidak ada nama.”

“Kenapa kamu ganggu perempuan ini?”

“Aku tidak mengganggu dia. Daripada aku mengganggu, lebih baik aku membunuhnya terus. Kerana rancangan aku untuk membunuh suaminya tidak berjaya. Lalu aku tukar rancangan aku. Mungkin dengan cara merasuk isterinya saja aku boleh mempengaruhinya supaya mengikuti apa perintah aku untuk membunuh dirinya sendiri.”

“Kenapa kamu mahu membunuh suaminya?”

“Kerana suaminya pernah membunuh anak aku.”

“Bila semuanya berlaku? Di mana anak kamu pada ketika itu?”

“Sebulan yang lalu. Tepatnya di tempat mereka kemalangan tadi. Cuma pada hari menjelang malam. Semua ini telah aku rancang sekian lama. Tepatnya sebulan seperti yang aku katakan tadi. Cuma menunggu saatnya sahaja untuk aku kembali menemui mereka dalam keadaan mereka lalai. Pada ketika suaminya melanggar anak aku, aku telah bertekad, apa yang pernah anak aku alami, maka dia juga akan seperti itu.”

“Sebelum itu, anak aku bermain di tengah jalan raya. Dia muncul dari bawah tanah. Kerana di situlah kami tinggal. Di situlah rumah kami. Iaitu di antara jalan-jalan laluan manusia. Biasanya memang anak aku bebas bermain di sana. Tidak pernah lagi terjadi peristiwa yang aku sendiri tidak ingini berlaku. Cuma malam itu takdir telah menamakan anak ku sebagai mangsa kerakusan manusia.”

“Ketika anak aku sedang bermain-main, pada ketika itu jugalah kereta lelaki ini datang lalu melanggar anakku. Lalu anak aku terpelanting ke tepi jalan. Aku membawa anakku terbang bersamaku untuk mengekori di mana rumah dan laluan yang biasa digunakan oleh lelaki ini dan aku sangat sedih kerana anak aku mati di dalam dakapanku.”

“Aku boleh saja membunuh perempuan ini dahulu pada ketika aku berjaya mengekori suaminya pulang ke rumah pada ketika itu, tetapi aku tangguhkan dulu niatku. Kerana aku perlukan juga masa yang sesuai. Supaya kematiannya nanti akan dianggap oleh orang sebagai mati bunuh diri. Biar keluarga mereka menerima aib bahkan lebih teruk dari apa yang aku alami.”

“Kalau suaminya tidak berusaha terus untuk mencari jasad isterinya yang telah aku rasuk tadi, nescaya akan aku bawa jasadnya bersembunyi. Lalu aku pengaruhi dia untuk membunuh diri dengan cara menggantung diri. Biar ramai orang menuduh keluarganya dengan pelbagai tohmahan sehingga keluarga mereka porak peranda dan menanggung malu yang teramat. Hampir-hampir sudah rancangan ku berhasil tadi.”

“Hampir sebulan juga aku telah berada di dalam badan perempuan ini sebenarnya. Aku tinggal di perutnya. Agar mudah untuk aku bergerak ke mana-mana anggota badannya melalui pembuluh darah. Ketika tidur aku mengganggunya di dalam mimpi. Hampir setiap hari dia bermimpi ada orang datang ingin membunuhnya. Ketika sedar dia mula merasakan jiwanya tak tenteram. Juga mendengar bunyi suara memintanya untuk membunuh diri.”

“Aku selalu berada bersama perempuan ini. Ketika dia tidur, makan, mandi dan sebagainya. Aku sentiasa merenungnya dari dalam cermin. Dia selalu merenung mukanya sendiri. Kadang-kadang aku nampakkan wajah aku yang hodoh dan menakutkan padanya. Ketika dia tidur aku juga ada bersamanya. Kadang-kadang aku tidur sampingnya.”

“Kadang-kadang aku di bawah katil dan kadang-kadang aku berdiri melihat wajahnya. Hinggakan pada ketika itu wajah kami berdua bertemu sedekat yang mungkin yang mana pada ketika itu dia sedang tidur nyenyak. Dan yang paling aku suka adalah aku suka selalu memerhati dia dari sudut bilik mereka. Kalau dia melihat aku pada ketika itu, nescaya dia akan menjadi gila kerana ketakutan.”

“Aku akan menampakkan pada dirinya yang aku dalam keadaan yang sangat menakutkan. Aku jelmakan diri aku seperti hantu pontianak. Aku memerhatinya dari atas almari baju. Juga di dalam cermin tadi. Juga di bawah katil dan juga di sudut-sudut bilik. Dan dia tahu bahawa aku memang ada di sana. Cuma dia belum melihat lagi bagaimana rupa aku sebenarnya kalau aku berubah bentuk.”

“Semasa dia keseorangan di dapur, pada ketika itulah aku berjalan perlahan-lahan mendekatinya. Aku juga memandangnya melalui siling dapur mereka yang terbuka. Kadang-kadang aku memanggil namanya berulang kali. Sekali sekala dia akan menoleh juga. Sehingga dia tidak selesa dengan keadaan itu.

“Tetapi semua ini dia rahsiakan dari pengetahuan suaminya. Aku lebih suka begitu. Kerana suaminya tidak pernah mempercayai akan hakikat yang jin boleh mengganggu mereka. Apa lagi mengganggu isterinya. Maka selepas itu semuanya menjadi mudah. Sebenarnya hari inilah saat yang aku tunggu-tunggu. Tetapi aku masih belum juga berjaya untuk membuatkan isterinya mati. Kematian yang aku tunggu selama ini. Sebagai pernyataan balas dendam. Darah dibalas darah.”

“Tetapi kamu tahukan yang suami dari perempuan ini tidak melihat anak kamu masa kejadian tersebut? Tak tau bukan? Jadi itu bukan salah mereka dan kau pun tau itu. Jangan kamu mengikuti langkah syaitan. Kerana dia akan membawa kamu juga ke neraka. Firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al Baqarah: 208)

Dendam

“Aku tiada urusan untuk mengambil tahu apa mereka tahu atau tidak. Bagi aku anak aku sudah mati dan kini salah seorang dari mereka perlu membayarnya dengan tebusan nyawa.”

“Aku meminta kamu untuk keluar dari badan perempuan ini. Dengan keberkatan bulan Ramadan ini Insya-Allah, Allah akan menghalang atau mengurangi kekuatan kamu. Sedangkan pada bulan puasa tuan-tuan kamu akan dibelenggu. Apa itu yang kamu mahu? Atau kamu sanggup untuk mempertaruhkan nyawa kamu sebagai pertaruhannya? Apa kamu berani? Apa kamu sanggup?”

“Aku memang akan keluar dari tubuhnya. Tapi ingatlah bukan setiap masa kamu datang ke rumah mereka untuk merawat perempuan ini. Bukan setiap masa perempuan ini akan bersama keluarganya. Kerana ada juga masa tertentu nanti yang dia akan keseorangan. Aku tau dia seorang yang lemah. Juga rohnya. Rohnya sangat lemah. Sebab itulah aku pilih dia sebagai mangsa aku dan bukan suami dan anak-anaknya. Orang yang rohnya lemahlah yang senang untuk aku ganggu dan aku dampingi.”

“Yang penting engkau keluar dulu. Atau kalau kamu tetap untuk bertahan di dalam badannya, maka aku terpaksa berdoa kepada Allah untuk menyerahkan engkau kepadaNya sedangkan aku cuma membacakan al Quran sebagai ikhtiar dan tawakal kepada Allah. Allah berfirman;

"Sesungguhnya, dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.’’(Surah Asy Syura: 42)

“Ya. Aku tetap akan keluar. Tapi ingatlah. Dendam ini akan aku bawa sampai bila-bila. Selagi aku belum puas dan selagi dendam ini belum terbalas. Maka, pada setiap saat aku akan memerhatikan mereka. Dari jauh ataupun dekat.”

“Ya. Begitu juga Allah. Allah akan sentiasa memerhati segala tingkah laku kamu, dendam kamu dan kejahatan kamu dan Allah tidak akan membiarkan engkau sewenang-wenangnya memperlakukan manusia tidak berdosa sesuka hatimu. Dan ingat. Kesemuanya ini adalah kezaliman kamu dan kesalahan kamu sendiri. Membiarkan anakmu mati. Kerana kamulah yang lalai. Kamu tidak layak untuk menjadi ibu yang baik. Firman Allah;

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadaNya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Hadiid: 4)

“Aaahhh..Pergi mati dengan semua-semua itu. Sampaikan salam penuh erti aku kepada keluarga ini. Dendam ini akan aku bawa selamanya. Selagi aku hidup beratus tahun, maka sepanjang masa itu jugalah dendam membara ini mengiringi mereka. Aku keluar sekarang. Ingat kata-kata aku itu..”

“Jangan biarkan dendam itu sebagai matlamat kamu kerana Allah benci dengan makhluk seperti ini. Sabda Rasulullah;

“Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang menaruh dendam kesumat (bertengkar).” (HR. Muslim)

“Terserah akulah untuk melakukan apa yang aku mahu. Itu urusan aku. Hahaha..”

“Ya. Semua itu urusan kamu. Juga urusan aku. Aku berpegang pada sabda Rasuullah;

“Takutlah kepada doa kaum yang teraniaya, sebab tidak ada hijab antaranya dengan Allah (untuk mengabulkan)”. (HR. Bukhari)

“Semoga Allah melaknat kamu. Pergilah engkau. Pergilah..”

Kemudian saya membaca sebuah doa dari al-Quran;

“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan godaan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Ya Rabbi, dari kedatangan mereka kepadaku”. (Surah Al Mukminun: 97-98)

Terbaring Lemah

Selepas itu isteri Pakcik Zainal kembali terbaring lemah. Badannya mula merenggang perlahan-lahan. Peluh dingin mula kelihatan pada dahinya. Isteri Pakcik Zainal seakan-akan tidur dengan nyenyak. Saya kemudiannya membaca petikan dari Surah Ali Imran;

“Katakanlah: Ya Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Engkau berikan kekuasaan kepada barang siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari barang siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan barangsiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa.”

“Engkau masukkan malam kepada siang dan Engkau masukkan siang kepada malam, dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau memberi rezeki siapa yang Engkau kehendaki dengan tidak berkira.” (Surah Ali Imran: 26-27)

Selepas itu saya minta kepada Pakcik Zainal untuk mengejutkan isterinya;

“Mah, bangun. Buka mata..”

Dengan perlahan-lahan isteri Pakcik Zainal membuka matanya lalu memandang kami dengan penuh rasa kehairanan. Wajah kami ditatap satu persatu. Kerut di dahinya memanjang hingga ke tepi dahinya.

“Abang, kat mana kita ni? Awak Cikgu Malikkan?”

“Betul kak.”

“Cikgu tak mengajar ke?”

“Mengajar ape malam-malam macam ni kak.”

“Abang, kita kat mana ni?”

“Kat Bangunan Martabat Mah.”

“Apa kita buat kat sini bang? Abang sakit ke?”

“Apa pulak. Awak tu yang tersampuk hantu. Hahaha..”

Kami menyambut jawaban Pakcik Zainal dengan gelak ketawa dan diikuti oleh ketiga-tiga anak mereka. Isteri Pakcik Zainal masih lagi kelihatan bingung. Mungkin dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku kepadanya.

“Saya sebenarnya kenapa bang?”

“Awak ingat lagi tak tadi? Masa kita balik dari beli juadah puasa?”

Isteri Pakcik Azim memandang ke arah siling. Lama juga dia terdiam. Seperti memikirkan sesuatu.

“Tadi lepas balik dari beli juadah puasa. Lepas masuk waktu kita sama-sama berbuka puasa dalam keretakan? Lepas tu..Lepas tu..”

Isteri Pakcik Zainal menutup mukanya dengan kain selimut yang ada di sisinya. Kami membiarkannya sahaja dulu. Mungkin ada sesuatu yang terlintas di fikirannya.

“Lepas tu tiba-tiba saya lihat ada seorang perempuan mengendong anak. Dia tiba-tiba berada di tengah jalan. Perempuan tu bentuk dan wajahnya sangat mengerikan. Rambutnya panjang. Telinganya juga panjang ke atas. Matanya besar dan memandang ke arah saya. Lepas tu saya tak sempat nak suruh abang berhenti. Abang terus langgar perempuan tu.”

“Masa kereta kita berpusing-pusing tu saya masih sedar lagi tetapi saya terlalu takut. Sampaikan saya tak dapat nak bercakap. Nak bagitau abang yang kita terlanggar perempuan tu. Tapi saya tengok abang rilek je. Macam tak ada apa yang berlaku. Masa abang keluar tulah perempuan tu tiba-tiba ada di sebelah saya. Sedang duduk kat tempat abang. Lepas tu dia ketawa dan marah dan cuba untuk mencekik saya. Lepas tu saya tak sedar dah apa yang berlaku.”

“Cuma ada sekali saya tersedar. Rasanya kat sofa rumah kita. Saya terdengar abang memanggil nama-anak-anak. Saya cuba nak bagitau abang supaya jangan tinggalkan saya sebab saya takut. Tiba-tiba pada masa tu jugak perempuan tu datang dan berdiri di sebelah saya. Dia cuma bagitau

"Terimalah balasan atas kezaliman suami kamu.”

“Makcik. Kalau boleh saya tahu. Dalam sebulan ni makcik ada rasa pelik-pelik ke?”

“Ada cikgu. Macam sakit bahagian tengkuk, sakit dada, pening kepala, sakit perut berterusan, rasa macam ada orang perhatikan makcik. Tak kira masa dan tempat. Perasaan tu tetap ada. Lepas tu suara-suara dan bisikan-bisikan yang menyuruh makcik bunuh diri. Kadang-kadang suara garau yang selalu mengugut makcik.”

“Tapi semua tu makcik tak ambil kisah. Memang makcik takut tapi makcik rasakan yang semua ini. mungkin khayalan makcik sahaja. Ada jugak makcik nak beritahu suami makcik tapi makcik pendamkan saja kerana makcik merasakan yang makcik cuma berkhayal saja. Cuma hari ni makcik betul-betul rasa tak selesa. Ada perasaan lain macam. Jiwa betul-betul tak tenteram. Rasa nak menjerit, mengamuk dan sebagainya tapi makcik tetap tak nak layan perasaan tu sehinggalah apabila makcik terlihat kelibat perempuan yang kami langgar tadi. Lepas tu makcik tak sedar apa yang berlaku. Sedar-sedar je dah kat sini.”

“Sekarang ni masih ada lagi tak rasa sakit bahagian tengkuk, sakit dada, pening kepala, sakit perut berterusan dan rasa macam ada orang perhatikan makcik? Lepas tu terdengar suara-suara garau dan bisikan-bisikan yang menyuruh makcik bunuh diri?”

“Sekarang dah tak ada rasa macam ni lagi cikgu. Rasa macam lebih sihat. Lebih kuat, lebih bersemangat dan terlepas dari suatu bebanan. Cuma muka makcik rasa pedih sangat. Macam kena cakar.”

“Alhamdulillah kalau macam tu makcik. Lepas ni makcik boleh sujud syukur kepada Allah sebab Allah dah hilangkan gangguan pada diri makcik. Pesanan terakhir saya pada makcik, makcik jagalah solat lepas ni. Tambah juga dengan solat-solat sunat lainnya. Banyakkan baca al-Quran dan amalkan zikir Al Ma’tsurat setiap pagi dan petang. Apa apa-apa lagi makcik nak tanya?“

“Tak ada nak. Alhamdulillah atas segala bantuan cikgu. Makcik tak tau macamana nak balas jasa cikgu.”

“Tak ada apa-apa tu kak. Di akhirat nanti saya ‘claim’ kat Allah. Selebihnya nanti Pakcik Zainal cerita sendiri kat makcik lebih-lebih lagi muka makcik tu.”

“Kenapa dengan muka makcik..?”

“Luka. Makcik sendiri yang cakar.”

“Ye ke. Innalillah..”

Wajah Kepuasan

Selepas beberapa ketika, isteri Pakcik Zainal tersenyum memandang saya. Kedua belah tangannya diusap perlahan pada wajahnya sambil mengucapkan rasa syukur kepada Allah.

Wajah kepuasan jelas terpampang. Begitu juga Pakcik Zainal. Tersenyum melihat gelagat isterinya. Kemudian saya bertanya kepada Pakcik Zainal kalau ada apa-apa yang hendak dia tanyakan kepada saya.

“Pakcik Zainal ada apa-apa ke nak ditanya?”

“Ada cikgu.”

“Apa dia pakcik?”

“Pasal masalah yang kita bincang tadi. Tentang syaitan di penjara di bulan puasa. Apa benar syaitan itu di penjara atau tidak.”

“Baiklah pakcik. Saya harap pakcik juga boleh berlapang dada. Perbezaan pendapat ini kita raikan dengan rasa kecintaan kepada Allah dan junjungan besar Rasulullah SAW. Bukan merasa diri kita lebih baik dari orang lain. Nanti di situlah permulaan dari perasaan riak dan ujub. Jadi saya jawab begini. Jawaban yang paling tepat adalah Wallahu a’lam. Kerana sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahuinya. Semua ini adalah rahsia Allah.“

“Tetapi kalau kita perhatikan, maksiat masih lagi berlaku di bulan Ramadan. Bukan hanya pada lingkungan sekeliling kita tetapi juga pada diri kita sendiri. Jadi untuk mengatasi gejolak maksiat yang ada pada diri kita serta di sekeliling kita ini adalah sangat sukar. Jadi, apakah ini bermakna bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah tidak relevan? Tidak sesuai dengan zaman sekarang? Atau Nabi Muhammad telah berbohong dan keseluruhan isi hadisnya adalah tidak benar?”

“Nabi Muhammad bukan berbohong. Malah baginda dijuluki sebagai ‘Al Amin’ yang membawa maksud penuh amanah, jujur dan terpercaya. Bahkan taraf hadis ini juga sahih dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Saya yakini tentang kehidupan kita, Allah itu Maha Benar, Nabi Muhammad juga benar, al-Quran itu benar tanpa ada cacat celanya dan juga hadis ini juga adalah benar.”

“Cuma masalahnya adalah keterbatasan fikiran kita untuk memahami serta menilai dengan lebih dalam apa yang dimaksudkan oleh isi hadis tersebut. Dan akhirnya kita ber’husnudzon’ iaitu bersangka baik dengan penafsiran hadis ini dan ber‘suudzon’ iaitu berprasangka buruk kepada diri sendiri sekiranya kita merasakan ada kekurangan yang membawa kepada keraguan kita kepada nilai kebenaran hadis tersebut.”

“Dari Abu Hurairah r.a bersabda,

“Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (HR. Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

“Dalam lafaz lain disebutkan;

“Jika masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu jahanam ditutup dan syaitan-syaitan pun diikat dengan rantai.” (HR. Bukhari no. 3277 dan Muslim no. 1079).

“Jadi yang menjadi persoalan utamanya adalah mengapa masih ada maksiat sekiranya benar syaitan telah dibelenggu?”

Saya teringat akan beberapa buah pendapat melalui pendekatan ulama muktabar berkenaan dengan masalah ini dan saya juga suka dengan pendekatan Ustaz Ammi Nur Baits seorang ustaz muda dari Indonesia ketika menulis pendapatnya berkenaan dengan kes ini.

Pendapat Para Ulama

“Kalau boleh saya jawab juga macam ni. Pertama, sumber maksiat tidak hanya dari syaitan kerana pada masa seperti ini hawa nafsu manusia juga memainkan peranan.

Menurut pendapat Imam As Sindi dalam Hasyiyahnya (catatan) untuk Sunan An Nasai. Beliau mengatakan bahawa;

“Hadis ‘syaitan dibelenggu’ bukan bermaksud meniadakan segala bentuk maksiat. Kerana boleh jadi maksiat ini muncul disebabkan pengaruh jiwa yang buruk dan jahat. Dan timbulnya maksiat, tidak selalu berasal dari syaitan. Jika semua berasal dari syaitan, bererti ada syaitan yang mengganggu syaitan (syaitan kepada syaitan), dan seterusnya bersambung. Sementara kita tahu, tidak ada syaitan yang mendahului maksiat Iblis. Sehingga maksiat Iblis murni dari dirinya. Allahu a’lam. (Hasyiyah Sunan An Nasai, As Sindi, 4/126).

Saya teringat pada Khamis lepas apabila saya berjumpa dengan guru saya, Ustaz Ali untuk berbincang mengenai kisah-kisah nukilan dari cerita saya.

Saya meminta pendapat Ustaz Ali kalau-kalau ada apa yang saya ceritakan menyalahi sudut pandang aqidah seorang Islam. Ustaz Ali menjelaskan kepada saya bahawa;

“Bulan puasa ini adalah bulan rahmat. Bulan penuh keberkatan. Dan untuk merasai nikmat dalam beribadah di dalam bulan Ramadan, maka perlu untuk kita membersihkan jiwa dan seluruh anggota badan kita dahulu sebelum memasuki bulan Ramadan supaya tiada yang boleh menggangu jiwa dan diri kita semasa beribadah kepada Allah.”

“Sebab itulah kenapa kita tidak dapat mengendalikan jiwa dan nafsu kita ketika pada bulan Ramadan. Ini kerana masih ada ruang untuk nafsu mempengaruhi kita kerana kita tidak melakukan pembersihan jiwa sebelum bulan Ramadan menyapa kita. Sabda Rasulullah SAW;

Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdurrahman, Mu’adz bin Jabal r. huma, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda:

‘Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan susullah sesuatu perbuatan dosa dengan kebaikan, pasti akan menghapuskannya dan bergaullah sesama manusia dengan akhlaq yang baik”. (HR. Tirmidzi, ia telah berkata: Hadis ini hasan, pada lafaz lain derajatnya hasan shahih).

Inilah nasihat terakhir Ustaz Ali kepada saya pada malam tersebut.

(Inilah antara kesimpulan yang boleh saya ambil dari perbincangan saya dan Ustaz Ali. Mungkin juga saya salah dalam memahami apa yang ustaz saya sampaikan. Saya berdoa kepada Allah agar ilmu yang Ustaz Ali sampaikan kepada saya dan kawan-kawan akan menjadi asbab dan jambatan kepada Ustaz Ali meraih syurga. Yang mana kami mengikutinya dari belakang nanti. Kerana Ustaz Ali tidak pernah untuk melepaskan genggaman tangannya dari tangan saya walau siapa pun saya pada ketika di dunia ini. Amin)

“Kedua, syaitan ini memang dibelenggu tapi dia masih dapat mengganggu. Cuma syaitan ini tidak sebebas seperti pada ketika dilepas bebas pada bulan-bulan yang lain. Kerana makhluk yang dibelenggu ini hanya terikat pada bahagian tangan dan lehernya. Sementara kakinya, lidahnya masih lagi dapat untuk menyuruh berbuat kejahatan.

Menurut pendapat Imam Al Baji, seorang ulama Malikiyah menjelaskan di dalam Kitab Syarh Muwatha’;

“Sabda beliau, ‘Syaitan dibelenggu’ ini dapat difahami bahawa ianya dibelenggu secara hakiki. Sehingga syaitan ini terhalang untuk melakukan beberapa perbuatan yang tidak mampu dia lakukan kecuali dalam keadaan bebas. Dan hadis ini bukan dalil bahawa syaitan ini terhalangi untuk mengganggu sama sekali. Kerana orang yang dibelenggu, dia hanya terikat dari leher sampai tangan. Dia masih dapat berbicara, membisikkan maksiat atau banyak gangguan yang lain.”

“Ketiga, syaitan ini tidak dibelenggu secara hakiki. Ianya bersifat kiasan sahaja. Memandangkan bulan ini adalah bulan rahmat dan banyaknya keampunan Allah untuk para hambaNya selama sepanjang Ramadan ini sehingga syaitan seperti terbelenggu.”

Menurut keterangan Al Bajiini juga;

“Dapat kita fahami bahwa bulan ini bulan penuh berkah, penuh pahala amal, banyak ampunan dosa, menyebabkan syaitan seperti terbelenggu selama bulan Ramadan. Kerana kekuatan syaitan ini tidak berkesan dan kekuatan dia menyesatkan tidak membahayakan manusia.”(Al Muntaqa Syarh Al Muwatha’, Al Baji, 2/75)

“Keempat, yang dibelenggu tidak semua syaitan. Tapi cuma syaitan yang kuat (Maradatul Jin). Sementara syaitan-syaitan lainnya masih bebas seperti biasa. Jadi maksiat ini boleh juga disebabkan oleh bisikan syaitan-syaitan biasa. Dalam fatwa Syabakah Islamiyah dinyatakan;

“Sebahagian ulama berpendapat bahawa syaitan yang dibelenggu hanyalah syaitan yang kuat. Berdasarkan pendapat ini, adanya maksiat, disebabkan bisikan syaitan yang belum dibelenggu. (Fatwa Syabakah Islamiyah, no. 40990).

Bahasan pendapat ini saya sampaikan kepada Pakcik Zainal. Supaya Pakcik Zainal lebih terbuka untuk menerima perbezaan ini dan mungkin boleh kita jadikan pedoman. Juga lebih berlapang dada kemungkinan atas suatu ilmu yang baru baginya. Juga bagi kita.

“Jadi pakcik, berdasarkan pendapat pakcik awal-awal tadi, maka timbullah anggapan bahawa semua syaitan tiada lagi di bulan Ramadan. Maka akan timbul pula persoalan lain, jika semua syaitan sudah tiada, kenapa masih ada maksiat, jenayah atau kerasukan di bulan Ramadan?”

Kalau menurut pendapat Imam Al Baihaqi di dalam Kitab Fadhail Al Awqat, 1 / 141;

“Syaitan tidak bebas pada bulan Ramadan untuk merosakkan manusia yang membawa kepada bebasnya manusia daripadanya kepada selainnya disebabkan kebanyakan Muslimin sedang fokus berpuasa yang mana ianya (puasa) dapat mengawal nafsu syahwat, ditambah pula dengan membaca al-Quran dan amal ibadah yang lainnya. Wallahua’lam.”

“Dan menurut pendapat Imam Ibn Abdil Barr Al Maliki;

“Adapun maksudnya (syaitan dibelenggu) bagiku, wallahua’lam bahawa Allah menjaga orang Islam atau kebanyakan daripada mereka daripada maksiat dan syaitan-syaitan tidak bebas kepada mereka sebagaimana mereka bebas pada sepanjang tahun (selain bulan Ramadhan).” (At Tamhid lima fi Al Muwatta’ min Al Maani Al Asanid, 16/153)

“Seperti yang saya bagitau pakcik tadi bahawa ada juga pendapat yang menyatakan bahawa yang dibelenggu itu adalah syaitan yang besar atau ganas. Kerana menurut pendapat Al Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani ketika membahaskan isu ini, dia berkata;

“Yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan (dibelenggu) ialah sebahagian daripada mereka. Mereka ialah syaitan-syaitan besar / ganas di antara mereka. Ia telah disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya.” (Fath Al-Bari, 4/114)

Apabila kita merujuk kepada Sahih Ibn Khuzaimah seperti yang disebutkan oleh Al Hafiz Ibn Hajar;

“Bab penjelasan tentang apa yang dimaksudkan oleh ucapan Nabi; ‘Syaitan dibelenggu’ ialah ketua-ketua jin, bukan seluruh syaitan di mana perkataan syaitan merujuk kepada sebahagian daripada mereka (jin-jin yang besar / ganas).” [Sahih Ibn Khuzaimah, 2/907)

“Sebab itulah apabila kita membincangkan permasalahan ini, ianya sangat bertepatan dengan sebuah hadis yang menyentuh secara lebih terperinci. Nabi bersabda;

“Bila tibanya malam pertama bulan Ramadan syaitan dan jin-jin besar / ganas akan dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pun pintu neraka yang terbuka. Pintu-pintu syurga pula dibuka, tidak ada satukan pintu syurga yang tertutup. Maka ada penyeru menyeru, wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan (maksiat) berhentilah. Dan Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan.” (Riwayat At Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah)

“Dan berdasarkan apa yang kita bincangkan tadi pakcik, ada beberapa kesimpulan yang disebutkan para ulama mengenai permasalahan ini tadi iaitu yang dibelenggu itu hanyalah syaitan dan jin yang besar atau ganas sedangkan syaitan yang biasa masih bebas. Syaitan tersebut hanya dibelenggu leher dan tangannya dan dia masih boleh membisikkan keburukan terutama kepada mereka yang lalai dan dekat dengan keburukan.”

”Dan yang ketiga, menurut pendapat As Sindi dalam Hashiyahnya;

"Ianya tidak menafikan adanya segala bentuk maksiat. Kerana boleh jadi maksiat itu ada disebabkan pengaruh jiwa yang buruk dan jahat. Dan timbulnya maksiat, tidak selalunya berpunca daripada syaitan.” (Hashiyah As Sindi ‘ala Sunan An Nasaie, 1/503)

“Mungkin ini sahaja yang boleh saya sampaikan kepada pakcik. Mungkin kita boleh mengambil pengajaran dari semua pendapat ulama ini. Kerana inilah dalil yang syarie dan bukan sekadar ciptaan kata-kata saya sahaja yang saya kutip di tengah jalan.”

“Terima kasih cikgu. Baru pakcik faham. Pakcik pun tak tahu sebenarnya yang syaitan ini masih ada di bulan puasa.”

“Betul pakcik. Tetapi semua ini adalah pendapat para ulama dan bukan pendapat saya. Kalau pendapat peribadi saya mungkin pakcik boleh nak bantah atau berhak untuk tidak mahu menerima. Cuma kalau tidak setuju atas sesuatu perkara, adalah lebih baik untuk diam atau meminta pendapat orang lain sebagai pilihan yang kedua.”

“Dari itu kita dapat mempertimbangkan serta menilai dua pendapat yang berbeza ini. Dan akhirnya kita redha bahawa perbezaan pendapat itu juga boleh menyebabkan ukhuwah kita semakin terjalin erat. Saya rasa itu saja yang saya nak sampaikan pakcik. Lepas ni saya nak balik rumah. Nanti kalau ada perlu apa-apa pakcik telefon saya.”

“Baklah cikgu. Sekali lagi pakcik minta maaf.”

Pulang

“Tak apa pakcik. Bukan ada masalah pun. Sekarang ni yang penting kita dapat berkongsi ilmu yang baru. Balik nanti pakcik beri nasihat kepada makcik supaya menjaga solat, mengaji dan juga menjaga ibadah-ibadah lainnya.”

“Insya-Allah cikgu. Sekali lagi saya minta maaf dan terima kasih banyak-banyak.”

“Sama-sama pakcik.”

Selepas itu Pakcik Zainal berdiri lalu memapah isterinya. Dia dibantu oleh ketiga-tiga anak lelakinya dan kemudian mereka berjalan keluar. Selepas itu Pakcik Zainal memberi salam lalu meninggalkan kami sambil menuju ke arah kereta mereka.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat membuka hati Pakcik Zainal untuk mendengar pendapat saya. Sekurang-kurangnya untuk meraikan pendapat orang lain.

Untuk menerima atau tidak itu bukan urusan saya. Yang penting adalah betapa berkahnya apabila kita meraikan pelbagai pendapat yang berbeza dan akhirnya pengukuhkan tali ukhuwwah.

Selepas perjumpaan bersama Pakcik Zainal pada malam tersebut, ada empat lima orang juga bertanya kepada saya tentang masalah ini.

Ada yang menerima dan pernah ada seseorang menolak. Cuma pernah suatu ketika dulu ada orang yang menolak itu menuduh saya mencipta agama baru.

Sedangkan saya hulurkan dalil-dalil dari para ulama muktabar beserta dengan rujukan kitabnya supaya dia tahu bahawa ini pendapat sebahagian ulama dan bukannya pendapat saya.

Tidak kisahlah kalau tidak mahu menerima asalkan kalau tidak setuju, berlapang dadalah untuk menerima pendapat orang lain.

Saya boleh jadi salah dan dia boleh jadi betul. Saya boleh jadi betul dan dia boleh jadi salah. Jadi raikanlah perbezaan ini.

Kerana kita adalah manusia. Bukan maksum seperti para Nabi.

Cuma Allah sahaja yang Maha Bebas dari segala kekurangan dan kesalahan. Allahu a’lam..

TAMAT

Imam Al Qurtubi (671H) berkata sebagaimana yang dinaqalkan oleh Al Hafiz Ibn Hajar;

“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab tidak ada berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana kemaksiatan itu turut terjadi kerana beberapa faktor lainnya selain daripada syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri (manusia yang jahat).” (Fath Al Bari, 4/114)

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

ARTIKEL MENARIK:

EPISOD PENGALAMAN SERAM DILALUI USTAZ MALIK

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Ustaz Malik terus diganggu oleh jelmaan menakutkan di sebuah rumah sewa

Menyeramkan.. Penghuni tiada tapi siapa hidang air nescafe dan biskut kawin kepada Ustaz Malik?

Kisah seram di sebuah sekolah di Bintulu..Siapa Cikgu Amin yang sebenarnya..

Ustaz Malik, Ustaz Saif cerita hal sebenar 2 beradik ganggu Laila dan ajak ke Pantai ABF waktu malam

Perempuan tanpa kepala muncul di Jalan Tanjung Kidurong..Ustaz Malik nampak lembaga melambai-lambai