HARI ini, saya ditugaskan menggantikan guru Matematik untuk Tahun Satu. Telatah mereka masih terbayang-bayang sehingga memaksa saya menulisnya ketika waktu senggang di bilik guru sambil menikmati rehat sekejap yang cukup bernilai.

Kisahnya bermula jam 9.30 pagi, sesudah selesai mengajar Kelas 1D berkaitan operasi tambah dan tolak.

Loceng berbunyi, menandakan waktu rehat untuk Tahap Satu.

Saya bersiap untuk ke kelas seterusnya di Tahap Dua, sedang mengemas saya melihat seorang murid duduk sahaja dan tidak beratur seperti rakannya yang lain untuk keluar kelas, dia menundukkan kepala menutup mukanya dengan tangan di atas meja.

Mendekatinya dan bertanya,

“Kenapa tak keluar rehat?”

Dia diam. Sememangnya dalam kelas pun saya perasan murid ini pendiam tetapi mudah memahami apa diajar kerana latihan diberi dapat dijawab dengan baik tanpa banyak soalan darinya.

Rakannya datang pada saya

“Dia tak ada duit cikgu”

Terus saya terdiam, kasihan sangat menebal walaupun dalam kocek saya ada dua keping not seratus yang sememangnya tinggal itu sahaja untuk cukupkan bulan ini kerana baru dipostingkan.

Guru baru yang sentiasa mengharapkan tidak menunggu sehingga tiga bulan baharu dapat gaji. Fikir saya, mahu pecahkan dulu duit, jam 9.30 itu juga saya mesti masuk kelas lain, yang ditakuti guru sekolah rendah apabila lewat masuk ke kelas, boleh terjadi apa sahaja dalam kelas yang guru dipertanggungjawabkan.

Datang serta-merta rakan sekelasnya yang lain menghampiri kami.

"Saya ada dua ringgit, nah seringgit cikgu bagi dia”

Semua berlaku dengan cepat, secepat fikiran anak kecil ini yang sudah mampu belajar untuk berkongsi apa yang ada pada dirinya.

Ya, anak kecil umur tujuh tahun yang baru mengenal tambah tolak. Menolak separuh duit makannya untuk rakan yang kurang bernasib baik darinya.

Mungkin seringgit itu kecil pada kita, tetapi besar pada anak kecil ini. Dua ringgit yang dirinya ada boleh membeli makanan dan air, tetapi tinggal seringgit itu, mungkin roti sahaja boleh diperolehi.

Bergegas ke tingkat empat untuk kelas seterusnya dengan rasa bersalah. Maafkan cikgu, lepas-lepas ni mesti siapkan duit pecah banyak-banyak setiap hari untuk kes begini.

Berfikir semula, Allah hantarkan anak kecil ini untuk kita belajar bagaimana ikhlasnya kita dalam memberi. Jika saya yang hanya ada dua ratus sekarang ini, tegarkah hati memberi seratus daripadanya kepada insan yang teramat memerlukannya?

Terdiam.

Mencari semula kedua anak-anak Tahun 1D tadi, lega mereka sudah makan dan minum.

Nota Cikgu Aidil,

SK Taman Sutera

Sumber: Facebook Aidil Sahipaludin

- Catatan ini ditulis oleh Cikgu Aidil Sahipaludin pada 3 April 2014. Kini, murid berkenaan sudah pun berada di Tahun Enam

Artikel dan Tip Menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Murid tak datang duduki UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

'Saya bangun jam 4 pagi masak, lepas tu solat tahajud dan mengaji dengan nenek'

Guru boleh cuba enam tip ini untuk elak pembentangan pelajar hambar

18 tip persediaan menghadapi SPM dan STPM, yang perlu anda tahu