TIADA petua khusus yang diamalkan sepanjang menyertai pelbagai pertandingan.

Itu kata pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan, Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Beliau yang muncul sebagai Johan Kategori Tilawah (Wanita) pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 baru-baru ini berkata, sebelum pertandingan, dia akan berlatih seperti biasa, sama seperti orang lain.

"Yang penting sekali, adalah pastikan bacaan dengan baik. Membaca dulu berulang-ulang kali sehingga yakin dan kemudian baru susun lagu yang dikehendaki.

"Saya sentiasa berpegang kepada 'tip' yang al-Quran perlu sentiasa di hati barulah kita jadi suka membacanya," katanya.

Sementara itu, Farhatul turut mengakui yang dia mengamalkan membaca al-Quran setiap kali selesai solat fardu, selain tidak mengambil minuman berais untuk menjaga suara.

"Biasanya saya tak ada had masa tertentu bila dan berapa lama nak baca. Terpulang kepada diri sendiri," ujarnya.

Nor Farhatul Fairuzah merupakan anak bongsu lima beradik kepada bekas qari dan qariah, Allahyarham Haji Panut Markum dan Hajah Jaliah Simin.

Dia mula belajar tarannum sejak berusia lima tahun dan mula menyertai pertandingan tilawah pada usia tujuh tahun.

"Mak ayah yang banyak mendidik saya mengenai bidang ini sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.

"Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga perikngkat kebangsaan," katanya yang bercita-cita mahu bergelar pensyarah dan berhasrat membuka kelas pengajian tarannum satu hari nanti.

Dalam pada itu, Farhatul berhasrat mahu membawa ibunya menunaikan umrah.

"Ibu, Jaliah Simin, 63, pernah menyatakan keinginan menunaikan umrah..justeru saya mahu merealisasikan impian ibu untuk ke sana.

"Ia sebagai tanda terima kasih atas segala pengorbanan orang tua.

"Insya Allah, saya mahu membawanya menggunakan wang kemenangan ini. Beliau adalah insan banyak menyokong selain arwah ayah, Panut Markom yang meninggal dunia pada 2017. Selain itu, saya mahu menyimpan hadiah kemenangan untuk kegunaan melanjutkan pengajian pada masa depan," jelasnya.

Terdahulu, Nor Farhatul Fairuzah yang menjuarai Kategori Tilawah (Wanita) pada MTHQA Ke-61 memperoleh 87.05 peratus markah menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang MTHQA61 disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Seramai 74 peserta dari 41 negara mengambil bahagian dalam MTHQA61, termasuk tujuh negara yang kali pertama menghantar wakil, iaitu Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

MTHQA61 yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ membabitkan 14 ahli jemaah hakim dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Farhatul juga pernah diangkat sebagai johan pada pertandingan yang disertai sebelum ini.

SUMBER: Instagram - farhatulfairuzah

ARTIKEL MENARIK:

Sambutan Hari Easter dari kaca mata seorang guru SK Long Sepiling

'Dalam lewat malam dan diri basah kuyup, abah bawa pulang keperluan sekolah buat kami'

Hafal surah sambil siapkan aktiviti dalam kelas..gelagat murid tahun 3 undang rasa sebak ustazah