Sesetengahnya berpendapat, mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) itu, pelajar hebat. Sementara mereka yang bersekolah di Sekolah Harian Biasa itu, pelajar biasa-biasa, seolah-olah sudah gelap masa depan dan tiada peluang untuk cemerlang.

Tapi, benarkah begitu? Saudara Ammar Kamilin ada ulasannya.

***

'Thrill' juga perdebatan tentang kemasukan anak-anak ke SBP atau MRSM tahun ini. Yang mendapat tawaran, senyum melebar. Yang gagal, terus merayu supaya diberikan peluang.

Pelbagai hujah yang dikemukakan. Baik peringkat dasar, ulasan akademik, mahu pun luahan emosi ibu bapa yang dinafikan hak kemasukan ke SBP dan MRSM.

Dua tahun lepas, saya juga berimpian serupa. Mahu anak sulung masuk ke SBP. Lagipun, saya sendiri alumni SBP. Sudah pasti legasi mahu diteruskan.

Namun, langit tidak selalunya cerah, keputusan PPSR anak tidak cukup syarat untuk kemasukan SBP. Walaupun dicadangkan untuk menggunakan kuota Alumni, saya menolak lembut.

"Setiap kuota yang kita ambil, akan menafikan hak anak-anak yang selayaknya mengisi tempat itu. Kita mungkin ada impian, tetapi kita tidak akan membinanya atas runtuhan impian anak-anak lain."

*MENGAPA SAYA KE SBP?*

Terkenang mengapa saya masuk ke SBP dulu.

Orang lain mungkin nampak, saya masuk SBP kerana straight A's UPSR. Tetapi bagi saya, SBP adalah 'kem pelarian', peluang untuk meninggalkan rumah.

Semasa di sekolah rendah, pagi, saya bersekolah kebangsaan. Petang, dihantar ke sekolah agama di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Seperti kanak-kanak lain, sekolah menjadi tempat mencungkil segala bakat. Dari menyanyi sehinggalah bersukan. Semuanya dicuba. Tetapi, setiap kali saya terpilih untuk mewakili sekolah, latihan kebiasaannya akan diadakan pada waktu petang.

Di situlah konflik bermula.

Abah tidak akan sesekali mengizinkan saya ponteng kelas agama semata-mata untuk menyertai aktiviti latihan di sekolah kebangsaan. Bagi abah, sekolah agama sama penting dengan sekolah kebangsaan. Apa saja aktiviti sekolah kebangsaan, habiskan waktu pagi. Petang, jangan cuba untuk ponteng.

Tetapi, nama pun budak-budak. Apa saya mahu, saya mahulah! Senyap-senyap, saya ponteng sekolah agama dan berlatih. Apabila diketahui abah, teruk dibambu. Terus diharamkan menyertai apa-apa latihan selepas itu.

"Esok di akhirat, agama yang akan bantu kita." Masih tergiang-ngiang kata-kata itu. Sambil saya menahan kesedihan kerana disekat dari mewakili sekolah bermain bolasepak.

Sampai satu ketika, mak yang tak tahan melihat saya selalu kecewa berkata, "Belajarlah elok-elok. Dapatkan keputusan bagus. Ada harapan masuk asrama. Masuk sana, kau buatlah apa kau nak buat. Abah tak boleh nak halang."

Berkat doa mak dan abah, keputusan UPSR diperoleh mencukupi syarat untuk dipertimbangkan ke SBP. Abah sendiri yang mengisi borang untuk masuk ke asrama. Sudah pasti, semuanya sekolah agama.

Beberapa minggu, surat tawaran dihantar posmen. Saya ditawarkan SBP di Kajang. Tidak berapa jauh dari rumah tetapi cukup jauh untuk saya berdikari atau lebih tepat melunaskan 'misi peribadi', membuat keputusan sendiri.

Peluang masuk ke SBP memang dimanfaatkan sepenuhnya. Apa saja aktiviti yang sebelum ini disekat, semua saya sertai. Sajak, pantun, pentomen, lakonan, nasyid, sepak takraw, bola sepak, debat, silat, imam muda, tadarus, tazkirah, usrah dan banyak lagi. Tidak terfikir langsung mahu menjadi ulat buku. SBP memang syurga kebebasan bagi saya.

Pandangan peribadi saya, SBP bukan sekolah budak pandai. SBP adalah sekolah untuk budak yang pandai mengambil peluang. SBP ialah Sekolah Banyak Pengalaman. Prestij yang dikejar bukan ada pada sekolah, prestij terletak pada pelajarnya.

*PERBEZAAN SBP DAN SEKOLAH HARIAN*

Apa perbezaan nyata SBP dan sekolah harian?

Guru?

Dua-dua sekolah ada guru.

Guru SBP lebih baik?

Pandangan saya, secara umum, semua guru setara. Mereka mendapat latihan mengajar yang sama sebelum mendapat tauliah menjadi guru. Memang ada guru yang lebih 'outstanding'. Tetapi tidak pula mereka itu dikumpulkan hanya di SBP saja. Ironi, ada SBP yang pelajarnya mengambil guru tuisyen dari luar untuk kelas tambahan. Di SBP ada guru pakar. Apa kurangnya sekolah harian? Ada antara guru juga pakar pemeriksa kertas peperiksaan.

Infrastruktur?

SBP mungkin lengkap infrastrukturnya dalam satu pagar. Tetapi ada juga sekolah harian terutamanya di bandar-bandar yang mempunyai infrastruktur setanding atau lebih baik.

Kurikulum, silibus, penyampaian pengajaran?

Tiada yang berbeza. Harus seragam di semua sekolah di bawah KPM.

Lalu, apa perbezaannya?

Bezanya pada ASRAMA. Semua pelajar dikumpulkan dan diwajibkan tinggal di asrama.

Tetapi, apa guna jika tinggal di asrama tetapi tidak dimanfaatkan untuk melakukan aktiviti 'extra' daripada apa yang boleh dibuat oleh pelajar sekolah harian biasa.

Buat apa susah payah jauh dari keluarga hanya untuk habiskan masa di asrama dengan membaca buku, membuat latihan kerja sekolah dan hadir kelas tambahan demi kelas tambahan. Semua itu, duduk di rumah pun boleh buat.

Bagi saya, masuk SBP dengan sasaran untuk dapat straight A's dan hanya itu ditafsirkan sebagai cemerlang adalah tidak berbaloi.

*KELEBIHAN SBP*

Masa berkumpul sesama pelajar yang panjang, membolehkan kesempatan di SBP digunakan untuk 'follow' program usrah, program kepimpinan bersama sekolah-sekolah lain, program bakti (CSR) kepada komuniti setempat dan banyak lagi program berbentuk 'experiential learning'. Rugi kalau pelajar hanya 'mandom' dan memulaukan aktiviti-aktiviti begitu.

Pernah satu ketika, saya kecewa dengan apa yang sedang berlaku di sebuah SBP. Sekolah hanya menekankan pencapaian akademik. Waktu petang yang biasanya digunakan untuk bersukan 'dirompak' untuk kelas tambahan. Waktu malam yang dipenuhi dengan aktiviti keagamaan 'dipendekkan' untuk memberi laluan kepada kelas persediaan.

Kemenjadian pelajar sepatutnya menyentuh setiap aspek intelektual, fizikal, emosi, dan spiritual, bukan tertumpu kepada 'otak' semata-mata. Otak sendiri tidak akan berfungsi dengan optimum sekiranya 'makanan' spiritual tidak disuapkan. Kecergasan fizikal tidak diaktifkan. Kelancaran emosi tidak diuruskan.

Hasilnya, seperti dijangka, pencapaian akademik bukan saja tidak meningkat, malah jatuh merudum. Mereka terlupa, setiap aspek saling 'scaffolding' satu sama lain.

Kita bukan mahu menghasilkan anak pintar akal semata-mata. Spritual dan emosinya perlu stabil kerana itu turut menyumbang kepada akhlak.

Tidak guna pintar tetapi semakin sombong dengan rakan sebaya apabila balik ke kampung atau langsung tidak mahu bercampur masyarakat. Amat malang jika pintar, tetapi semakin galak memaki hamun ibu bapa sendiri.

*PENDIDIKAN HOLISTIK*

Jika setiap komponen PPSR diambil kira sebagai syarat kemasukan SBP, SBP sepatutnya meneruskan program kecemerlangan tidak terhad kepada akademik saja. Perlu juga ada peruntukan untuk kecemerlangan dalam ko-kurikulum dan sukan. Barulah pembangunan potensi pelajar dapat berjalan dengan lebih holistik.

Saya ceritakan semua ini, kerana ramai yang tidak sedar, SBP boleh menjadi 'pressure cooker'. Ramai yang kecundang apabila dihimpun semua anak bijak pandai. Perlumbaan menjadi 'cream of the cream', memang sangat memenatkan. Ditambah pula tekanan dari pengharapan ibu bapa yang sangat tinggi. Akhirnya, ada yang 'burn out' dan hilang stamina belajar. Terus tercicir pertengahan jalan.

*SBP UNTUK ANAK DARIPADA KELUARGA KURANG KEMAMPUAN*

Apabila dikembalikan SBP kepada objektif asal penubuhannya, kuota untuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan ditingkatkan. Keputusan PPSR mereka mungkin hanya 3A atau 4A. Tetapi harus diingat, mereka mencapainya dengan segala kekangan yang mereka ada. Bayangkan dengan infrastruktur yang lebih baik, mereka pasti boleh meraih pencapaian lebih baik. Saya tiada masalah untuk bersetuju dengan polisi yang 'dikembalikan semula'.

Cuma kerisauan hanya pada yuran dan perbelanjaan sara hidup lain yang semakin tinggi. KPM harus berbuat sesuatu untuk menyerap kos-kos tersebut. Ada anak-anak yang menyedari kos kehidupan yang tinggi di asrama akhirnya memilih untuk berhenti dan kembali ke sisi keluarga.

*MINDSET PELAJAR SBP*

Pesan saya, bagi ibu bapa yang anak mereka berpeluang memasuki SBP. Titipkan galakan pada mereka, 'explore your potential'. Elak terperap dengan buku semata-mata.

Ada peluang beraktiviti keluar dari sekolah pada hujung minggu, biarkan mereka berjalan membuka mata dan mendapatkan pengalaman baharu. Jangan pula kita yang setiap minggu bertanya, bila nak balik kampung? Jangan pula kita yang berjumpa warden setiap minggu untuk bawa anak pulang. Kurangkan elemen sentimental.

Saya sendiri, walaupun tidak jauh jarak dari Kajang ke Bangsar, pernah satu cuti semester panjang, mengikut kawan balik kampung di Perlis. Niatnya untuk mengenali budaya dan melihat tempat orang. Tiada dalam silibus, tetapi saya masih ingat sampai sekarang.

*PELUANG PELAJAR SEKOLAH HARIAN*

Bagi ibu bapa yang anak mereka tidak mendapat peluang tinggal di asrama. Pendidikan untuk anak-anak belum berakhir.

Dengan kemampuan yang ada, tawarkan 'experiential learning' untuk anak-anak. Bawa mereka sertai program-program luar waktu sekolah yang berlaku sekitar komuniti kita. Dedahkan mereka dengan masyarakat. Dedahkan pada jaringan hubungan yang lebih luas. Bawa mereka meneroka kemahiran baharu yang tidak berorientasikan akademik semata-mata.

Aktiviti yang dilakukan masih sama dengan pelajar SBP, tinggal lagi, asramanya di rumah kita.

*MODAL KECEMERLANGAN*

Modal kecemerlangan paling utama adalah diri anak-anak itu sendiri. Jika mereka sedar matlamat sebenar belajar, di mana pun mereka berada, tidak menjadi isu. Elakkan menjadikan SBP atau MRSM sebagai 'reward' kepada pencapaian yang cemerlang.

Terapkan pada mereka, bahawa belajar itu akhirnya balik kepada 'ultimate goal' kita. Menjadi khalifah Allah. Mengagongkan Allah.

Timbulkan kesedaran bahawa ilmu yang mereka dapat di sekolah, hanya setitis dari selautan kebijaksanaan Allah. Galakkan mereka belajar melalu 'inquiry', yang hujungnya nanti mereka akan nampak Tuhan.

Ingatkah dulu, anak kita semasa kecil sering bertanya, mengapa, mengapa dan mengapa? Selepas satu mengapa dijawab, ditambah lagi dengan mengapa yang baharu.

Saya gunakan kaedah yang sama pada anak-anak. Baru-baru ini, saya mulakan 'guided-inquiry' kepada mereka.

Kita belajar bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, mengapa?

Jawab mereka, untuk bercakap dengan orang Melayu, orang putih dan orang arab.

Mereka bertanya, "Mengapa ada banyak bahasa?"

Kerana ada pelbagai bangsa di dunia.

Saya bertanya pula, kenapa ada pelbagai bangsa di dunia?

Mereka hanya diam.

Saya sendiri menjawab, "Tuhan kata, untuk kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain.

"Mengapa Tuhan kata begitu?" Mereka pula bertanya serentak.

"Kerana setiap bangsa ada kelebihan dan kelemahan. Untuk jadi khalifah, kita perlu pandai memanfaatkan kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Bagaimana untuk memanfaatkan? Sebab itu kita perlu belajar bahasa. Perbualan yang baik, datang dari penguasaan bahasa yang baik. Dapat mengelakkan salah faham dan mudah bekerjasama." Saya menyimpulkan perbincangan.

Perbualan ini mungkin terlampau berfalsafah bagi anak belasan tahun. Tetapi itu motivasi yang perlu dipasakkan awal-awal supaya belajar dan terus belajar.

Bukan kerana A, bukan kerana sekolah bagus, dan bukan kerana memuaskan hati ibu bapa.

Motivasi belajar perlu lebih besar dari itu, to be Khalifah. Khalifah tidak akan 'tumbang' hanya kerana tidak masuk SBP atau MRSM. Their dreams should be bigger than that!

-Ammar Kamilin-

#BudakKripton

Semoga bermanfaat

Sumber: Ammar Kamilin

Artikel Menarik:

10 petua untuk guru yang bakal berpindah ke sekolah baru tahun depan

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

12 tip untuk guru baru dan yang bakal berpindah - Faham dan hadam