Kisah pengorbanan guru, memang tiada hentinya... sebelum ini GPS Bestari ada melaporkan perihal Guru Bahasa Inggeris, SK Long Sukang, Cikgu Muhamad Nazmi Rosli yang mengambi inisiatif menghantar kerja sekolah ke 13 buah kampung di sekitar Kem Balak, Lawas, Sarawak.  

Kali ini, beliau berkongsi sekali lagi pengalaman aktiviti yang dilakukan oleh warga pendidik  SK Long Sukang  sepanjang PKPB pula. Memang mengujakanlah!

Pengorbanan yang dilakukan oleh guru-guru SK Long Sukang, bagi memastikan anak didiknya tidak ketinggalan dalam pelajaran wajar dihargai.

Ikuti perkongsian guru muda ini.

Kerja sekolah COD 2.0: Bimbingan, penghantaran dan pembelajaran

Hi semua, malam ni saya nak kongsi apa yang SK Long Sukang laksanakan sepanjang PKPB tiga minggu lebih ini.

Sebelum ni kami buat kerja sekolah COD, penghantaran ke setiap rumah di kampung-kampung, masalah yang kami hadapi adalah apabila pelajar tak faham, kami terpaksa tunggu lama untuk sampaikan soalan kepada guru mereka yang tiada di Lawas.

Ia membuatkan semua projek dan kerja sekolah mengambil masa yang  lama untuk diselesaikan. Perjumpaan lama dengan pelajar pun tak dibenarkan ketika itu atas sebab SOP yang telah ditetapkan oleh komuniti kampung sebab kami tinggal di luar zon pedalaman.

Akhirnya kami buat Ruai Classroom, guru-guru  yang tinggal di kampung membuat kelas berkluster kecil, tetapi  ia hanya dapat membantu pelajar di Kampung Long Sukang sahaja, bagaimana pula dengan  12 kampung lain?  

Disebabkan semua kelemahan ini, kami cuba lakukan perubahan dan membuat persiapan lebih rapi.

Apabila PKPB diumumkan dan sekolah ditutup semula, kami lakukan  inisiatif baru iaitu ‘Homework COD 2.0: Coaching on Delivery’  dan ‘Learning Stations’.

Daripada singgah dan hantar sebelum ini, sekolah telah membuat rundingan dengan komuniti-komuniti kampung untuk memberi  peluang masa kepada guru-guru  bersama dengan pelajar.

Menerusi  stesen pembelajaran pula, kami target 13 kampung itu mempunyai stesen pembelajaran mereka sendiri, sekiranya sekolah ditutup lagi, ada tempat lain untuk pelajar ini duduk belajar.

Daripada 13 buah kampung, kami telah dibahagikan kepada 4 zon utama, dan 7 stesen pembelajaran telah dibuat;

Zone 1 mempunyai  dua  stesen pembelajaran iaitu di Kampung Puneng Berayong, dan Kampung Long Tuyo, pelajarnya adalah terdiri daripada pelajar daripada enam buah kampung,

Zone 2 dan zone 3, masing-masing  mempunyai stesen sendiri di Kampung Long Sukang.

Manakala zone 4 pula mempunyai dua stesen pembelajaran iaitu  di Kampung Long Remirang dan Kampung  Long Lutok untuk pelajar-pelajar  dari enam kampung yang lain pula.

Satu lagi stesen pembelajaran adalah di Kampung  Lumut, Lawas.

Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula di bahagikan kepada empat kumpulan.

Setiap kumpulan mempunyai guru yang mengajar dalam empat subjek teras, dan kumpulan-kumpulan  akan bergilir bergerak ke 4 zone utama tersebut.

Ini pula adalah untuk tiga orang pelajar kami yang menetap di pekan Lawas sepanjang PKPB ini.

Kerja penghantaran dan bimbingan akan dibuat pada hari Selasa dan Khamis. Persiapan dan penyusunan pula akan dibuat pada hari Isnin dan Rabu.

Sementara stesen pembelajaran Kampung Lumut Lawas pula kami buat pada hari Sabtu, dan ada juga kaki tangan yang bertugas.

KAMI SEMUA TERLIBAT, termasuk Guru Besar, Junaidi Asman dan AKP... dahsyatkan.

Stesen pembelajaran kami pula adalah dari lokasi yang dipersetujui oleh komuniti kampung, seperti gereja dan rumah ibu bapa pelajar. Ada juga pastor yang baik hati membenarkan kami menggunakan rumah mereka.

Kami target suatu hari nanti, setiap kampung akan ada stesen pembelajaran masing- masing, lengkap dengan kemudahan untuk belajar, seperti  komputer dan lain-lain.  

Moga tercapailah hasrat kami...

Dan inilah permulaannya....

Dengan inisiatif baru kami ini, PDPR kami lebih intensif daripada apa yang kami buat daripada penutupan sekolah lalu.

Ya kami perlu juga berada di sekolah pada minggu terpilih.

PDPR lagi lancar, dan guru-guru pula dapat menyusun perancangan pengajaran dengan lebih baik.

Untuk menyediakan stesen pembelajaran, banyak usaha yang perlu dibuat, hubungan baik perlu ada antara sekolah dan komuniti kampung.

Doakan kami... moga apa yang kami usahakan ini tercapai dengan jayanya.