SUASANA sunyi sepi perkampungan orang asli di suatu pagi, dikejutkan dengan suara penduduk kampung. Adakah sedang mengejar seekor rusa masuk kampung? Atau kemunculan seekor harimau kumbang?

Ternyata sangkaan itu meleset apabila gegak-gempita kehidupan itu muncul melalui satu halaman akhbar yang memaparkan kisah dan pengorbanan seorang guru yang bernama Cikgu Rahman.

Dek kerana gambar manis ibarat bunga matahari kembang pagi itulah nama Cikgu Rahman disebut-sebut hingga ke pelosok kampung.

Satu keajaiban telah berlaku, sekelip mata mempopularkan cikgu yang tidak pernah kenal penat dan jemu dalam mendidik anak bangsa khususnya anak di pedalaman. Sedarlah, dia seorang guru pembentuk generasi, pembina negara bangsa, dan pewaris tamadun ilmu yang terus hidup sepanjang waktu.

Jika diimbas sejarah, Cikgu Rahman yang menamatkan kursus di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban pernah berkhidmat di Terengganu yang sememangnya terkenal dengan keropok lekor dan gadis cantik.

Empat tahun memperhamba dan mengabdikan diri di sekolah, beliau ditemukan jodoh dengan seorang gadis kampung. Kemudian bertugas di SK RPS Sungai Kelah sekali gus menjalankan tugas-tugas seorang guru besar. Di situlah segalanya bermula ranjau sepanjang denai dalam mendidik anak bangsa. Tetapi tetap mendidik, memberi ilmu, membentuk akhlak juga sahsiah moga anak didik cemerlang dunia cemerlang akhirat.

Setelah melalui gelombang Tasik Banding dan panas selama dua jam, Cikgu Rahman akhirnya berjaya menjejakkan kaki di perkampungan orang asli.

Dia telah dibawa ke sebuah pondok berlantaikan tanah, mempunyai sebuah dapur dan sebuah bilik. Di dalam bilik itu ada sebuah katil satu dan dua tingkat. Lagi sadis, pondok itu tidak memiliki daun tingkap. Tapi itulah ‘tempat lepak’ guru-guru pedalaman. Redha dan pasrah menerima ketentuan Ilahi. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Meninjau ke persekitaran sekolah yang jauhnya hanya setengah kilometer dari rumah guru pula ibarat hidup segan mati tak mahu. Kelengkapan kosong seribu liku, usang seribu keperitan. Hanya ada tiga bilik sahaja.

Bilik guru besar, bilik guru kanan dan guru-guru. Bahkan dua bilik lagi menjadi kelas bagi murid Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga Sebuah lagi bilik yang dahagakan arus pemodenan dan reka bentuk.

Kelas Abad 21 adalah kelas Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam. Seribu jejak berliku sungguh pendidikan pada zaman Cikgu Rahman ini. Tahun 1998 menjadi saksi. Demi misi dan visi dalam dunia pendidikan, dia terpaksa akur menerima keringat menitis kepedihan.

“Paip rosak cikgu. Kita terpaksa memanjat bukit di belakang sekolah untuk menyambung paip air yang terputus. Kalau tidak, tidak mandilah kita hari ini,” luah Cikgu Abu sambil berkerut.

Ibarat kata pepatah Melayu, muafakat membawa berkat. Dia dan Cikgu Abu terpaksa menggunakan tulang empat kerat. Lalang dan pokok kecil di tebas untuk ke atas bukit. Biarpun peluh jantan terus menitis dia terpaksa menerima hakikat sebuah kepayahan.

Udara pedalaman pula, suhunya mencecah tulang sum-sum. Malam hari membuatkan Cikgu Rahman terpaksa tidur berselimutkan kain tebal untuk membalut tubuh melawan kesejukan. Bahkan lilin menerangi. Teraba-raba pergerakan ibarat si buta mendapat tongkat.

Balik dari sekolah, aktiviti masa lapang pula adalah menziarahi ibu bapa murid. Sesuailah dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kehidupan Cikgu Rahman dengan kaum pedalaman ini amat berbeza. Kata orang tua-tua, lain padang lain belalang. Cikgu Rahman kekadang berasa malu apabila melihat kaum ibu yang memakai kain diparas dada sahaja. Sumpah, ini suasana yang amat janggal dan pelik baginya.

Cikgu Rahman dan kawan-kawan menghabiskan masa dengan memancing ikan di sungai. Bot kepunyaan ibu bapa murid akan dipinjam. Yang kelakarnya, tidak pernah seekor ikan besar pun ditangkap oleh Cikgu Rahman sepanjang memancing. Bala apa yang menimpa. Sumpahan apakah memekik malang. Atau ikan-ikan terus lari dan tidak dapat menerima kehadiran orang baharu di sini.

“Hari Jumaat cikgu sekolah kat sini boleh balik jam 10 pagi.” Cikgu Amin selaku Guru Kanan Pentadbiran meluah kepuasan.

“Alhamdulillah. Sempat juga saya solat Jumaat di masjid. Kalau lewat sangat balik, tidak sempat mandi bahkan boleh terlepas solat Jumaat.” Cikgu Rahman menjawab berkuntum harapan bersama beg yang sudah sedia untuk berangkat pulang.

Kali ini dia menumpang bot orang asli bersama dengan Ustaz Fadzil seorang guru yang berasal dari Kelantan. Baru suku perjalanan enjin bot meragam dan tidak berfungsi terus. Maka terpaksa Cikgu Rahman bergilir-gilir berkayuh untuk sampai ke pangkalan Tasik Banding. Bayangkan betapa lapar dan dahaganya berada di atas bot itu. Waktu petang barulah sampai. Bagi Cikgu Rahman itulah pengalaman pahit yang pernah dilaluinya. Allah sahaja yang tahu betapa peritnya ketika itu.

Minggu berikutnya, sekolah menerima tetamu terhormat. Barisan pegawai dan Ketua Setiausaha Negara. Kehadirannya mencatatkan sejarah baru terpatri di kampung itu. Seluas Tasik Banding tangan ditadahkan meraikan kehadiran mereka. Tarian Sewang dari suku kaum orang asli sudah semestinya meriah. Makanan terhidang mewah di hadapan tetamu khas. Satu kampung kenduri makanan.

Sudah menjadi kebiasaan bila ada tetamu kehormat datang, Cikgu Rahman akan membawa meninjau dan memperkenalkan kawasan sekolah.

Dengan bangganya beliau akan beria-ia menerangkan tentang perkampungan ini amat dikenali dengan keunikan dan syurga makanan iaitu ikan sungai yang terbaik dan mahal. Nama ikan kelah, tengah dan tenggalan meniti di bibir.

Hari-hari seterusnya Cikgu Rahman terpaksa hidup dalam kesabaran. Dengan kelengkapan yang tidak cukup, dia turut menderita zahir dan batin. Bahkan doa dan kesabaran sahaja yang mengiringi. Kenapa tidak, cuma hari Sabtu sahaja dapat bersama dengan keluarga. Kalau ada cuti am di tengah minggu, semua guru tidak boleh balik. Pandai-pandailah mengadakan aktiviti untuk mengisi masa lapang.

Kisah bot, pancing, ikan, hutan, ranjau, denai menjadi tajuk utama perbualan. Bahkan Cikgu Rahman sendiri akan bercerita tentang kisah dia terserempak dengan seekor kancil yang berenang menyeberangi tasik semasa menaiki bot. Detik manis dalam hidup apabila kancil itu ditangkap, disembelih lalu dimakan. Dagingnya sangat manis dan lembut.

“Ya Allah, inikah sengsara kehidupan. Ranjau sepanjang jalan terus melikukan kehidupan seorang guru. Tanpa kau mengerti, guru-guru laksana pelita di malam gelita. Yang sentiasa memancarkan sinar sepenuh rela jiwa.”

Setiap hari Ahad, Cikgu Rahman dan Cikgu Rahim akan memandu bot membawa guru-guru masuk semula ke pedalaman. Barang-barang keperluan untuk seminggu perlu dibawa bersama. Bagi yang terlewat sampai mereka terpaksa menumpang bot orang asli. Keadaan ini membuatkan mereka lewat untuk ke sekolah. Sungguh penat dan memenatkan.

Hati sentiasa menjerit rintih

Orang bijaksana pernah mengatakan bahawa malang tidak berbau. Pernah enjin bot membawa Cikgu Rahman meragam dengan tiba-tiba. Hari pula semakin gelap.

Cikgu Rahman dan cikgu yang lain terpaksa juga meneruskan perjalanan kerana tiada pilihan. Lebih malang lagi di dalam hujan lebat. Mereka bukan sahaja bermandi peluh tetapi bermandi air hujan. Sejuk dan takut menyelubungi diri. Tidak dapat dibayangkan ranjau dan liku yang terpaksa diharungi.

Hati Cikgu Rahman merintih, “Siapa harus peduli. Pegawai atasan cuma tahu, cikgu-cikgu mesti berada di sekolah bermula hari Isnin hingga Jumaat. Tiada siapa peduli, aku pernah dimasukkan ke wad kerana disyaki demam malaria.”

Memang dia sangat terkilan memikirkan hal itu. Seolah-olah pengorbanan selama ini tidak dihargai. Titik peluh hanya sia-sia sahaja. Keringat tidak pernah dibalas.” Cikgu Rahman tiba-tiba tenggelam dalam emosi sarat menghimpit mencengkam rasa.

Suatu hari, air tasik tiba-tiba bergelombang. Bot yang dipandu Cikgu Rahim dan empat orang guru tiba-tiba terjunam ke dasar tasik. Cikgu Rahman mengumpul kudrat untuk berenang ke tepian sambil memeluk beg yang berisi pakaian.

Dia berjaya akhirnya ke tebing. Guru-guru lain bergayut pada bot yang tidak tenggelam. “Ya Allah, di manakah Cikgu Fauzi?” Cikgu Rahman menahan lelah menyoal. Matanya melilau ke sana sini. Dia menggigil kebasahan.

Cikgu Rahman meminta bantuan orang kampung. Pihak bomba berjaya dihubungi. Dalam jeritan hati yang seolah-olah diramas itu, Cikgu Rahman mengetahui bahawa Cikgu Fauzi tercampak jatuh ke dasar tasik. Jauhnya berpuluh meter ke dalam.

“Ya Allah, berikanlah aku kekuatan.” Cikgu Rahman sebak dalam sengsara. Bersama keringat air mata. Apakah ini ranjau hidup seorang guru. Berkorban di medan perjuangan.

Pencarian Cikgu Fauzi terpaksa dihentikan. Hari semakin gelap. Cikgu Rahman dan cikgu yang lain merasakan mereka berjalan tidak berpijak di bumi yang nyata. Dunia seolah-olah tidak ada penghuni. Zahir dan batinnya menderita sengsara.

“Aku ingin berbahasa pada indah malam, namun sayang, malam belum menjelma. Aku ingin berbicara pada terik mentari, tapi sayang, cuaca mendung diliputi awan. Aku ingin berbisik pada angin lalu, namun hembusannya tak kunjung tiba, lantas kepada siapa harus aku bermadah manja? Cikgu Fauzi, di manakah dikau?”

Keesokan harinya, tepat jam 9 pagi, pencarian disambung semula. Kali ini dibantu oleh pekerja dari Thailand yang bekerja sebagai pembalak.

Jauh hati menderita sengsara. Mayat Cikgu Fauzi akhirnya dijumpai.

“Ya Allah, inikah sengsara kehidupan. Ranjau sepanjang jalan terus melikukan kehidupan seorang guru. Tanpa kau mengerti, guru-guru laksana pelita di malam gelita. Yang sentiasa memancarkan sinar sepenuh rela jiwa. Gurulah pencintamu paling setia sehingga ke akhir hayat. Ya Allah, Cikgu Fauzi...”

Cikgu Rahman mengangguk tidak meluah kata apabila melihat mayat Cikgu Fauzi di depan mata. Peliknya, walaupun sudah berada melebihi 12 jam di dalam air, tetapi mayat arwah tidak kembung seperti kebiasaan mayat lain yang mati lemas.

“Ya Allah, hebatnya kuasa-Mu Ya Allah.” Cikgu Rahman akur dan akui arwah seorang yang rajin solat. Setiap malam membaca surah Yasin berlampukan pelita minyak tanah. Mendidik tanpa mengenal erti putus asa. Tanpa meminta puji dan puja.

Berita kematian Cikgu Fauzi tersebar di dada-dada akhbar. Cikgu Rahman sendiri terpaksa naik turun balai polis untuk diambil keterangan. Menceritakan semuanya berbalut sendu. Inilah peristiwa yang paling menyedihkan dalam hidupnya. Membuatkan tidur lenanya terganggu memikirkan kejadian yang tidak disangka ini. Berlaku di depan mata. Meninggalkan detik hitam untuk seumur hidup.

Seminggu selepas kejadian itu, suasana sekolah sudah kembali seperti biasa. Kesedihan itu beransur-ansur pergi. Masa mungkin mampu mengubati segala.

Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan. Bersimpati dengan nasib yang menimpa.

Bagi Cikgu Rahman, sudah menjadi adat. Lumrah kehidupan. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut mengambil keputusan untuk menghantar guru-guru ke sekolah dengan menaiki bot yang baru dibeli. Kehadiran pelawat ke sekolah seperti Ketua Nazir, Pengarah Pendidikan Negeri, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Ketua Sektor, Pegawai JPN, pensyarah, pelajar universiti seolah-olah menjadikan Cikgu Rahman lali. Mati rasa bersama perginya arwah Cikgu Fauzi.

“Biarlah kudakap wajahmu dalam kenangan. Kusemat kuntum kasihmu dalam ingatan. Ingin meluahkan kata bersulam rasa.”

Untuk mengubati kepedihan, dan sebagai kenangan Cikgu Rahman membelikan anak pokok durian untuk ditanam oleh pelawat sebagai kenangan. Alhamdulillah pokok terus membesar bersama masa.

Kenangan terus tersimpan di lubuk ingatan

Akhirnya setelah bertugas di situ lebih kurang lima tahun, Cikgu Rahman dipindahkan secara mengejut ke sekolah berhampiran bandar. Biarlah menjadi rahsia kenapa dia dikeluarkan sebegitu rupa. Biarlah Tuhan yang menentukan.

Sesungguhnya ranjau hidup seorang guru pedalaman sepertinya penuh onak dan duri. Ada denai yang sentiasa diawasi. Semoga ranjau sepanjang jalan yang dilalui olehnya tidak akan dilalui oleh guru yang lain. Denai-denai itu harus dipijak dan dilalui jua.

Cikgu Rahman menaiki bot. Meluncur bersama hati yang kosong.

“Air di sungai kadang-kadang keruh warnanya, bulan di langit pun kadang-kadang tidak benderang cahayanya. Ranjau tetap sepanjang denai. Namun, kasihku kepada dunia ini sentiasa kudus, tiada cacat celanya. Selagi matahari, bulan, bintang dan cakerawala menjadi saksinya. Al-Fatihah buat arwah Cikgu Fauzi. Amin!”

Sumber: Cikgu Rahman

ARTIKEL MENARIK:

Insiden guru rotan pelajar yang menggelarnya Cikgu Pondan, ini reaksi Dr. Maszlee

Guru ini kongsi 12 kelebihan masuk Tingkatan Enam, nombor tujuh pasti buat ramai tersenyum

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya