PERNAHKAH kita sebagai ibu bapa menyelami hati anak-anak kita tidak kiralah berapa umurnya.

Hati anak-anak ini sangat kecil dan cepat terguris jika kita menegur tidak kena caranya.

Mari kita ikuti sebuah perkongsian mengenai hati seorang anak yang sangat terguris sehingga mendoakan supaya menjadi Malaikat.

++

Seorang anak menunjukkan kertas latihan pada ayahnya. Aimi namanya. Dari 20 soalan, Aimi itu hanya salah satu soalan.

"Kenapa soalan ini boleh salah? Senang je ni. Lain kali buat betul-betul. Jangan cuai lagi lain kali!"

Anak itu mengangguk faham. Lantas dia masuk bilik, membuka satu buku nota kecil dan menulis sesuatu. Buku itu kemudian dimasukkan kembali ke dalam beg sekolahnya.

Ayahnya hanya memandang kelakuan anaknya dari jauh. Si ayah menyangka anaknya mencatat di dalam nota kecil itu tentang kesilapan yang dia buat dan akan ingat selalu pesanannya.

Dalam hati ayah, bangga dia rasa. Si ayah merasa dia dah menjalankan tanggungjawab yang cukup baik dengan menegur kesalahan anak dan anaknya segera mencatat setiap pesanan. Itu yang dia sangka.

Keesokan harinya, ayahnya menghantar anaknya ke sekolah seperti biasa. Waktu anaknya turun, nota kecil itu terjatuh. Hendak dia panggil dan serahkan nota, anaknya dah berlari jauh masuk ke kawasan sekolah.

Dia pegang nota kecil anaknya dan membelek satu demi satu.

Tersenyum dia melihat catatan anaknya tentang kerja rumah, tentang rumus dan formula serta tentang nota berkenaan dengan pelajaran.

Sampai di pertengahan nota, raut wajahnya bertukar menjadi sayu. Menggigil dia baca setiap luahan hati anak kecil pada cebisan nota yang ditulis tajuk :

 

Luahan Hati Aimi.

"Ayah dan ibu marah Aimi teruk hari ini. Hanya kerana satu gelas yang Aimi pegang jatuh dan pecah. Tapi ayah dan ibu tak pernah puji Aimi bila Aimi basuh pinggan."

----------------

"Aimi janji akan hati-hati dan tak buat ayah ibu marah lagi. Aimi sayang mereka. Tapi mereka sayang Aimi tak?"

-----------------

"Hari ini ayah marah lagi. Ayah tidak pun memuji 19 soalan yang Aimi buat betul. Tapi ayah terus memandang satu kecuaian dan kesalahan yang Aimi lakukan. Adil kah begitu?"

-----------------

"Aimi bukan malaikat. Aimi selalu buat silap. Aimi nak doa banyak-banyak lepas solat agar Aimi jadi malaikat. Biar Aimi tidak lagi buat silap. Baru ayah dan ibu akan sayang selalu. Tapi bolehkah Tuhan tukarkan manusia menjadi malaikat? Entah lah. Tapi Aimi takkan berhenti berdoa."

------------------

"Tuhan. Aimi nak jadi malaikat. Tolong makbulkan."

------------------

Helai demi helai nota kecil itu ayah selak. Berderai air matanya membaca luahan telus dari hati seorang anak.

 

Dia tidak berniat hendak menyakiti. Tidak.

Dia cuma ingin menegur anaknya. Tanpa sangka, teguran dia melukakan hati anaknya.

Tanpa dia sedar, dia hanya menumpukan pada titik keburukan sedangkan lupa untuk memuji banyaknya kebaikan yang ada pada anak kecil itu.

Terus dia keluar kereta dan berlari menuju ke kelas anaknya. Dia mencari wajah anaknya dikalangan puluhan wajah lain.

Sebaik dia mengesan, terus dia berlari mendapatkan Aimi dan memeluk anaknya dengan erat.

Dengan iringan air mata, si ayah berkata,

"Aimi. Maafkan ayah. Aimi adalah malaikat ayah. Ayah dan ibu sayang Aimi sangat-sangat."

 

************

Begitulah lazimnya kita. Cepat mengesan kesalahan dan memarahi kesilapan kecil sehingga lupa untuk menghargai banyaknya kelebihan dan kebaikan yang ada.

Tidak salah menegur kesalahan. Tidak salah untuk mengingatkan. Cuma kena bersikap adil dan saksama. Kena jaga hati dan emosi mereka. Puji juga kelebihan, dan tegurlah dengan berhemah.

 

#MFS

- Ingatan buat diri dan puan isteri -