Persekitaran sekolah yang ceria dan menarik mampu memberi impak positif kepada semua warganya.

Di samping memupuk semangat dan keseronokan pelajar, menata hias halaman sekolah juga dapat mewujudkan pandangan yang mengagumkan.

Pemandangan indah ini dapat dilihat menerusi konsep sekolah dalam taman yang ditampilkan (SMK) Seksyen, 18, Shah Alam, Selangor.

Menurut Penolong Kanan Petang, Cikgu Mohamad Khamidon Sadi, ilham dan konsep diketengahkan bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang cantik, selesa serta dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara kreativiti diketengahkan seperti Taman Madani, lukisan mural, landskap, taman refleksologi, beberapa arca antaranya arca 99 nama Allah yang dihasilkan daripada pohon kayu dan simen fero.

Menariknya, terdapat replika batu bersurat yang mempunyai tulisan jawi dan mengandungi Selawat Tafrijiyyah, gurindam 12 serta selawat nabi.

“Manakala lukisan mural yang dihasilkan pula berkonsep keceriaan dan warna warni selain informasi berkaitan isu terkini seperti Covid-19 yang melanda negara serta dunia.

“Saya bertuah kerana seluruh warga sekolah khususnya pihak pentadbiran menyokong penuh usaha keceriaan ini dan paling mengejutkan lagi ia mampu direalisasikan dalam tempoh dua bulan sahaja,” katanya.

Cikgu Mohamad Khamidon yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Don berkata, usaha yang diketengahkan ini antara lain untuk mewujudkan rasa kecintaan dalam kalangan warga sekolah terhadap kebersihan, keceriaan, keindahan dan persekitaran hijau.

“Mewujudkan prasarana sekolah yang kondusif membolehkan guru serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di luar bilik darjah dengan selesa dan menyeronokkan seiring PAK21 (Pembelajaran Abad Ke-21),” katanya.