BAHAGIAN 1

PADA malam itu hujan gerimis jelas terdengar. Namun tidaklah selebat tadi. Alunan bunyi percikan air hujan yang menyentuh atap rumah benar-benar menyatu dalam diri saya.

Entah kenapa saya tidak dapat menikmati keindahan irama bait susunan bunyi tersebut.

"Ayu...Bangun nak. Ni ibu..."

Ayu membuka matanya perlahan-lahan. Menatap tepat pada wajah ibunya. Linangan air mata mengalir perlahan dari kelopak matanya yang kemerahan.

“Ibu, Ayu kenapa ibu...?"

“Kamu sakit nak...”

“Ayu tak nak berkawan lagi dengan nenek bu. Nenek selalu mencekik Ayu. Nenek nak Ayu mati dan menemani nenek di kubur.”

“Ayu, nenek sudah sebulan meninggalkan kita. Itu bukan nenek Ayu. Itu penjaga keturunan kita.”

“Iya bu. Ayu faham. Ayu tahu. Tapi kenapa nenek masih lagi menjelma dan hidup bersama kita. Ayu takut ibu.”

Kemudian Ayu melemparkan wajahnya pada saya. Wajah yang penuh dengan kesedihan dan ketakutan. Saya memandang ke arah Ayu sambil tersenyum.

Kesan darah kering dari luka di leher Ayu masih lagi jelas kelihatan.

Saya perhatikan luka tersebut. Sepertinya ada tiga kesan tusukan benda tajam menyerupai tusukan kuku manusia dewasa di leher Ayu.

“Cikgu, bagaimana sekarang? Apa yang perlu kita lakukan? Saya dah tak sanggup untuk melihat penderitaan Ayu. Biarlah saya yang menjadi gantinya.”

“Jangan makcik. Kenapa perlu jadi pengganti sedangkan kita boleh buang benda ni dengan izin Allah.”

Makcik Timah terdiam. Matanya memandang ke aras Ayu yang terbaring lemah. Sambil tangannya mengesat air matanya yang mula kembali mengalir.

“Habis tu kita nak buat macam mana cikgu? Sangat tersiksa jiwa saya melihat penderitaan Ayu.”

“Makcik percaya dengan Allah? Percaya dengan keajaiban al-Quran? Percaya dengan takdir Allah?”

“Saya percaya cikgu.”

“Dan adakah makcik percaya dengan kekuatan doa seorang ibu?”

“Saya percaya cikgu bahkan lebih dari itu...”

“Alhamdulillah. Itulah yang saya nak dengar makcik. Kadang-kadang ada orang yang cepat berputus asa dari ujian Allah. Sedangkan ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah yang tidak Allah berikan kepada semua orang.”

Saya teringat akan sebuah hadis yang pernah dilafazkan oleh Rasulullah SAW;

“Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi.” (HR. Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dalam Al Jami’us Sahih)

“Insya-Allah cikgu. Selagi saya hidup, keyakinan saya kepada Allah tidak pernah terusik sedikit pun.”

“Baguslah kalau macam tu makcik. Sebenarnya dari situlah bermula kesembuhan Ayu nanti. Iaitu ketergantungan kita kepada Allah sambil berusaha dengan cara yang Allah redhai.”

“Jadi sekarang apa yang perlu kita lakukan cikgu?”

“Mana keris pusaka yang arwah nenek Ayu tu?”

“Ada cikgu. Ada di dalam almari kat bilik nenek Ayu.”

“Boleh makcik ambil tak? Sekarang.”

Makcik Timah memandang saya dalam keadaan serba salah. Sesekali bola matanya memandang ke arah Ayu.

“Cikgu, saya takut. Saya belum ada kekuatan untuk mengambil keris tersebut. Saya risau benda tu akan mengganggu kami lagi. Lagipun nenek Ayu pesan jangan sesekali buka almari tersebut selepas kematiannya.”

Saya terdiam dan cuba untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan. Saya faham dilema yang dihadapi oleh Makcik Timah.

Saya terfikir juga untuk mengambil keris tersebut dan meminta Makcik Timah menemani saya.

Keseorangan

Tetapi memandangkan Ayu akan tinggal keseorangan di biliknya nanti dan risau juga dia akan kembali diganggu oleh neneknya yang merupakan bayangan dari syaitan tadi.

Lalu saya batalkan niat saya. Sekarang saya cuma ada satu pilihan sahaja. Iaitu membiarkan Makcik Timah menemani Ayu dan saya sendiri yang akan mengambil keris pusaka tersebut.

Perkara inilah yang paling saya benci kerana sebagai seorang yang penakut, untuk pergi mengambil keris pusaka yang berpenunggu tanpa berteman adalah seperti meletakkan kepala di dalam mulut seekor harimau.

Tetapi memandangkan itu sahaja pilihan yang saya ada, maka saya cuba juga memberanikan diri untuk pergi mengambil keris pusaka tersebut.

“Baiklah makcik. Makcik tinggallah di sini. Temankan Ayu. Nanti saya sendiri yang akan mengambilnya.”

“Moleklah kalau macam tu cikgu. Keris tu tersimpan di dalam laci almari. Almari tu ada di sebelah katil arwah nenek Ayu. Tapi...”

Makcik Timah terdiam. Kerut di dahinya cukup untuk memberi gambaran kepada saya tentang sebuah misteri yang telah tersimpan sekian lama.

Juga kemungkinan sesuatu yang akan menyambut saya nanti. Semuanya bermain di fikiran saya.

“Tetapi apa makcik...?”

Makcik Timah memandang wajah Ayu. Kemudian mula mengalih pandangannya keluar melalui tingkap bilik yang terbuka luas.

Di luar rumah kelihatan gerimis hujan mula perlahan. Membasahi setiap dedaunan yang menghijau lalu gugur ke bumi perlahan-lahan.

Bunyi suara katak bersambung-sambung semakin menghidupkan malam-malam sepi di sekitar halaman rumah mereka. Apa lagi rumah mereka agak jauh dari rumah-rumah yang lain.

Dalam kedinginan dan kesepian yang menerjah jiwa kami, terdengar dari kejauhan seperti lolongan anjing yang bersahutan.

Ditambah lagi dengan bunyi seperti suara perempuan ketawa perlahan, bunyi suara rintihan dan juga bunyi tangisan bayi kelaparan susu.

Saya cuba untuk beristighfar beberapa kali. Mana mungkin rumah yang cuma didiami oleh Makcik Timah dan Ayu berdua boleh timbul bunyi-bunyi yang menyeramkan tadi. Apakah ada orang lain yang tinggal bersama mereka.

Atau adakah itu cuma mainan perasaan saya akibat dari gangguan syaitan.

Atau juga apa betul bunyi itu datang dari sekeliling rumah mereka yang cuma dihiasi dengan pohon-pohon hutan yang wujud lebih lama dari rumah pusaka yang mereka diami sekarang. Semuanya bermain di fikiran saya.

“Cikgu, nanti cikgu ambillah keris tersebut dalam almari nenek Ayu. Bilik tu paling hujung. Tapi saya risau dengan kemungkinan yang akan berlaku.”

“Maksud makcik?”

“Arwah nenek Ayu pernah berpesan kepada kami sebelum meninggal dunia supaya jangan dibuka almari tersebut. Kalau tidak penjaga keluarga kami akan mengganggu kami. Atau juga mengganggu sesiapa yang cuba untuk membuka almari tersebut.”

Saya kembali terdiam. Apa betul tindakan saya untuk cuba mengambil keris tersebut.

Setelah beberapa ketika saya kembali memandang ke arah Makcik Timah.

“Insya-Allah tak ada apa-apa tu makcik. Allah ada untuk melindungi kita. Allah takkan biarkan kita keseorangan dalam keadaan macam ni.”

“Apa cikgu sudah nekad untuk mengambilnya?”

“Iya makcik.”

“Saya sendiri tidak pernah membuka almari tersebut cikgu kerana naluri makcik mengatakan bahawa akan ada penunggu yang setia menanti dan cuba untuk mempertahankan keris tersebut. Kalau cikgu tak sanggup untuk mengambilnya pun saya faham cikgu. Kalau cikgu nak berundur pun saya tak kisah.”

“Makcik, kita jangan sampai kalah kepada syaitan. Apakan tindakan kita ini, inilah yang terbaik untuk keluarga makcik.”

“Baiklah cikgu, saya serahkan kepada cikgu apa yang terbaik. Kami dah tak tahan hidup begini cikgu.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Saya kemudiannya memandang ke arah Ayu. Mata kecilnya menatap saya dengan penuh pengharapan.

“Ayu, percayalah akan pertolongan Allah. Cikgu akan bantu kamu.”

“Ayu faham cikgu. Ayu tak tahan dah dengan semua siksaan ini.”

“Baiklah kalau begitu. Cikgu nak masuk ke bilik nenek kamu dulu. Makcik, apa-apa pun yang berlaku jangan tinggalkan Ayu.”

“Baiklah cikgu.

Langkah

Selepas itu saya mula membaca Surah Kursi. Sebagai ikhtiar dan usaha memulakan tugas saya. Ketika itu saya cuma ada Allah. Tempat saya meluahkan segala sesuatu.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).” (Surah Al Baqarah: 255)

Selepas beberapa ketika, saya mula melangkah keluar dari bilik Ayu lalu mengarahkan badan saya untuk belok ke kiri. Saya memandang lorong sempit di hadapan saya. Gelap dan suram.

Dari situ saya dapat melihat dalam keadaan samar-samar ada dua buah bilik lagi selepas bilik Ayu. Bilik kedua itu mungkin bilik Makcik Timah dan yang hujung sekali mungkin juga bilik arwah nenek Ayu.

Sebelum melangkah saya lafazkan Surah Al-Fatihah. Sebagai ikhtiar untuk kekuatan roh diri saya. juga agar tidak diganggu oleh syaitan. Saya cuma perhatikan apa yang ada di hadapan saya. Semuanya gelap dan samar.

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (Surah Al Fatihah)

Saya sendiri tidak tahu apa yang ada di penghujung pandangan mata saya kerana sepertinya tiada penghujung pada lorong tersebut. Juga sepertinya lorong gelap tersebut mengarah pada sebuah dunia lain.

Kemudian saya mula melangkah dengan kaki kanan. Mulut saya saya penuhi dengan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas berulang kali. Setelah beberapa langkah, saya telah sampai di hadapan pintu bilik tengah.

Saya berusaha untuk mempercepatkan langkah saya supaya saya cepat-cepat dapat sampai ke bilik arwah nenek Ayu.

Sedang saya melangkah menuju ke bilik arwah nenek Ayu tiba-tiba dalam kesamaran tersebut pintu bilik arwah nenek Ayu terbuka dengan sendirinya.

Allahu Rabbi. Langkah saya tiba-tiba mati. Apa perlu untuk saya terus melangkah ke hadapan atau berpatah balik ke belakang. Atau masuk ke bilik tengah dan bersembunyi di bawah katil atau di belakang pintu.

Atau lari sepantas mungkin balik ke rumah. Biar kereta saya, saya tinggalkan saja di sini dulu. Esok-esok barulah saya ambil. Semua itu bermain di kepala saya.

Tetapi saya berada di dalam keadaan serba salah. Melangkah ke hadapan seperti menempah maut. Melangkah ke belakang pula seperti maut yang mengejar saya.

Saya fikir ada lebih baik untuk saya teruskan sahaja melangkah ke hadapan kerana saya sudah di pertengahan jalan.

Akhirnya saya nekad. Saya akan teruskan juga langkah saya. Ketika saya melangkah ke hadapan, sekitar beberapa langkah lagi untuk sampai ke bilik arwah nenek Ayu tiba-tiba;

“Kreeek...Dum...”

Pintu bilik arwah nenek Ayu tiba-tiba tertutup perlahan dengan sendirinya. Ketika pintu bilik tersebut tertutup, saya perhatikan seolah-olah ada seorang perempuan tua berbongkok tiga sedang memandang saya dengan wajah yang bengis.

Perempuan tua tersebut seolah-olah menggunakan baju batik Jawa tetapi tidak dijahit pada bahagian tepi kainnya. Tangan kirinya diluruskan ke hadapan sambil kukunya yang panjang menunjuk tepat ke arah saya.

Tiba-tiba cecair yang berbau busuk mengalir dari kedua tapak kakinya. Perempuan tersebut cuba untuk melangkah perlahan-lahan ke arah saya. Langkah saya pula seakan terhenti. Untuk mengangkat kaki pun rasanya tak berdaya.

Saya cuba untuk membaca Surah Kursi sekali lagi walaupun bacaan saya tunggang langgang. Selepas itu perempuan tadi memberhentikan langkahnya. Wajahnya memandang ke arah dalam bilik arwah nenek Ayu.

Bunyi dentuman

“Kamu tidak akan dapat menghalang aku. Ayu tetap akan menjadi tuan aku. Aku akan menghambakan diriku kepadanya. Kalau engkau tetap mengganggu aku, maka nyawa kau akan aku habisi nanti. Dengan cara memotong urat-urat lehermu perlahan-lahan.”

“...Dum...”

Saya terkejut dan beristighfar berulang kali. Ternyata saya sedang berkhayal dan syaitan telah berjaya mempermainkan saya. Bunyi dentuman tadi mengejutkan saya dari lamunan.

Ternyata bunyi tersebut adalah dari bilik arwah nenek Ayu.

Bayang perempuan tadi juga sudah tidak ada. Yang ada cuma dinding yang gelap.

Lalu saya perhatikan pada sekeliling lorong tempat saya berdiri sambil kembali memandang pintu bahagian luar bilik Ayu.

“Makcik...Makcik...Ayu...Makcik dan Ayu ok tak...?

Tiada jawaban yang saya terima dari mereka. Sunyi dan sepi. Melainkan bunyi titisan hujan dari atas rumah ke kelopak air di atas tanah rumah Makcik Timah dapat didengar dengan jelas.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka. Bagi saya adalah lebih baik saya teruskan langkah saya menuju ke bilik arwah nenek Ayu. Apa pun yang terjadi Allah akan ada bersama saya.

Saya kembali melangkah. Malah kali ini lebih pantas. Dalam beberapa saat sahaja saya telah berada di hadapan bilik arwah nenek Ayu.

Saya meletakkan telinga saya di daun pintu bilik. Cuma untuk mencari petanda atau apa-apa saja bunyi kalau ada. Pada awalnya saya cuma terdengar bunyi suara bisikan manusia.

Juga suara beberapa orang sedang bercakap dengan bahasa yang tidak saya fahami.

Kemudian diikuti dengan suara perempuan ketawa mengilai-ngilai. Bunyi tapak kaki melangkah juga jelas kedengaran dari bilik tersebut sehinggakan saya boleh merasa sendiri gegaran langkah-langkah di dalam bilik tersebut.

Selepas itu saya mula menyentuh tombol pintu dengan perlahan-lahan. Dari sebelah dalam bilik saya dapat rasakan seperti ada tangan yang menahan dan juga menggerak-gerakkan tombol bilik tersebut. Juga bunyi cakaran pada permukaan pintu.

Pada awalnya agak sukar untuk saya membuka pintu tersebut kerana tombol tersebut sudah berkarat dan keras. Mungkin kerana usianya sudah puluhan tahun.

Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya saya dapat memulas dan membuka pintu bilik tersebut.

Tiba-tiba saya dapat rasakan angin dingin mula keluar perlahan lalu singgah ke wajah saya. Dingin angin tersebut benar-benar mengkhayalkan.

Bagi menggelakkan sesuatu yang tak diingini terjadi, saya beristighfar dan menggosok wajah saya berulang kali sambil mengulangi bacaan taawwudz.

Selepas suasana kembali seperti biasa, saya mula menyentuh daun pintu dan menolak pintu tersebut ke dalam lalu melangkah perlahan hingga ke tengah bilik.

Pemandangannya suram dan tiada sumber cahaya melainkan sedikit sinar dari tiang lampu di luar rumah mereka.

Bilik arwah nenek Ayu sangat menyeramkan.

Dada saya mula terasa sesak. Kepala saya juga mula pening dan berserabut.

Bilik tersebut penuh dengan sarang labah-labah, debu yang tebal dan bayangan kabus seolah-olah ada di mana-mana sahaja.

Saya mula mencari di mana almari yang dimaksudkan oleh Makcik Timah tadi. Saya ingin cepat-cepat keluar dari bilik ni.

Pandangan mata saya juga mula kabur dan saya merasa sangat-sangat tidak selesa dan juga mata saya mula berair.

Dalam keadaan seperti itu saya dapat melihat di hadapan saya seperti ada bayangan seorang perempuan tua memandang saya dengan wajah yang bengis sambil mencekik seorang gadis sebaya umur Ayu.

Cuma saya tidak dapat melihat secara jelas wajah gadis tersebut kerana kedudukannya membelakangi saya. saya hanya dapat melihat rambutnya terurai ke belakang sambil tangan, kaki dan badannya tertunduk lesu.

Saya pasti itu adalah syaitan yang ingin mengganggu saya. Saya serah semuanya kepada Allah sambil membaca Surah afahasibtum.

Dalam beberapa saat sahaja bayang perempuan tua dan gadis tadi hilang dari pandangan mata saya dan bertukar menjadi sebuah almari tua berwarna coklat kehitaman dan mempunyai cermin usang yang hampir kabur. Mungkin usia almari ini sudah mencecah puluhan tahun.

Saya memandang pada cermin tersebut. Wajah dan badan saya nampak dengan jelas walaupun keadaannya hampir kabur.

Dalam samar-samar tersebut sepertinya ada sesosok perempuan tua di belakang saya. Berjalan perlahan-lahan sambil mendekati saya dari arah belakang.

Dengan sepantas kilat saya menoleh ke belakang kalau-kalau perempuan itu benar-benar wujud dan ingin menerkam saya.

Kalau benar-benar ada apakah perlu untuk saya lari dan masuk ke dalam almari tersebut dan bersembunyi di sana. Semuanya bermain ligat di dalam kepala saya.

Menuju ke almari

Kalau saya masuk ke dalam almari pula mungkin hingga sekarang saya tidak dapat keluar dan keluarga saya akan mencari saya di mana-mana.

Entah-entah nama saya akan disebut di dalam Radio Sarawak atau Radio Bintulu sebagai lelaki malang yang hilang entah ke mana. Na’udzubillah.

Ketika menoleh ke belakang saya tidak melihat apa-apa kelibat manusia. Mungkin semuanya khayalan saya saja. Lalu saya beristighfar beberapa kali.

Debaran hati saya juga semakin kuat. Apa perlu untuk saya keluar dari bilik tersebut atau meneruskan pencarian saya.

Setelah berdoa kepada Allah untuk diberikan ketetapan hati dan kekuatan jiwa, saya kembali memerhatikan keadaan sekeliling.

Semuanya seperti biasa saja. Tiada apa yang menarik untuk dilihat. Melainkan kehadiran beberapa ekor lalat yang mengerumuni almari tadi.

Saya sendiri tidak tahu bila masanya lalat-lalat tersebut datang. Kalau ikutkan mana mungkin kawanan lalat tersebut boleh hidup bertahan di dalam bilik tanpa ada bekalan makanan dan sebagainya.

Setelah beberapa ketika saya mula melangkah menuju ke almari tersebut. Semakin lama semakin dekat dan akhirnya saya berdiri betul-betul di hadapan almari tersebut.

Jarak saya dengan almari tersebut tidak sampai satu meter tetapi saya dapat mendengar dengan jelas bunyi cakaran kuku dari arah dalam.

Lalu saya menghulurkan tangan kanan saya untuk membuka almari tersebut.

Ketika menyentuh tombol kecilnya jari saya seakan terasa panas. Begitu juga tombol kecil tadi. Tetapi panasnya tidaklah menghalang saya untuk terus memegang tombol kecik tersebut. Lalu saya membukanya dengan perlahan.

Saya berdoa agar janganlah perempuan tadi menerkam saya. Kalau perempuan itu menerkam saya, sudah pasti saya akan menumbuk wajahnya dengan penumbuk sulung saya.

Biar gigi perempuan tersebut berterabur. Senanglah untuk saya ambil satu dan diserahkan kepada kawan saya Cikgu Bohari untuk dijadikan koleksi peribadinya.

Semasa saya membuka almari tersebut, saya cuba untuk memerhati apa yang ada di bahagian dalam. Untuk seketika saya merasa lega kerana perempuan tua yang saya bayangkan tadi tidak muncul.

Saya mengambil keputusan untuk membuka seluas-luasnya almari tersebut. Ketika saya sedang membuka almari tersebut tiba-tiba muncul lembaga yang menyerupai pocong lalu merebahkan badannya ke arah saya.

Wajahnya sangat menyeramkan. Tulang pada hidungnya jelas kelihatan sambil memandang ke arah saya. Saya berusaha untuk mengelak dan cuba untuk menghalang lembaga pocong tersebut merebahkan badannya ke arah saya.

Saya menjerit sekuat hati. Tidak mampu rasanya untuk menahan beban berat syaitan berbentuk pocong tadi. Lalu kami sama-sama jatuh ke atas lantai.

Saya tetap berusaha untuk mengelak wajahnya dari menyentuh wajah saya.

Kebetulan bau bangkai pada wajahnya sangat meloyakan tekak leher saya. Air liur dan lendir kehijauan dari celahan giginya mula menyentuh wajah. Baunya bangat-sangat busuk dan kembang kempis hidung saya dibuatnya.

Saya cuma mampu untuk menutup wajah saya dengan kedua belah tangan. Agar cairan busuk tersebut tidak masuk ke dalam mulut dan hidung saya sambil kedua belah kaki saya menendang pada badannya sekuat mungkin.

Dan akhirnya pocong tadi terpelanting juga setelah ditendang oleh saya. Lalu saya bingkas bangun dan cuba untuk melarikan diri. Saya cuba untuk menoleh ke arah pocong tersebut agar saya tahu di mana kedudukan dia.

Tetapi saya matikan niat saya untuk melarikan diri. Ternyata pocong yang cuba menghempap saya tadi cumalah segulung tikar mengkuang tua yang diikat kemas.

Saya kembali beristighfar sebanyak mungkin. Amat mudah untuk syaitan mempermainkan saya. Mungkin kerana iman saya sangat lemah sehinggakan saya tidak dapat mengawal ketakutan. Lalu syaitan mula mengganggu.

Ketika dihempap tikar mengkuang itu rasanya sama saja seperti dihempap batang kelapa. Sedangkan itu cuma tikar mengkuang saja.

Belum lagi kalau dihempap karpet yang dijual di Kedai Rahim Texliles di Medan Jaya Bintulu. Lagi parah rasanya.

Rasanya saya perlu bertindak segera. Semakin lama saya di bilik arwah nenek Ayu maka akan semakin banyak gangguan-gangguan yang akan saya hadapi nanti.

Saya tekadkan jiwa. Apa keadaan sekalipun saya tetap akan mengambil juga keris di dalam almari tersebut dan cuba untuk memusnahkannya secepat mungkin.

Langkah saya perbetulkan. Jiwa saya tetapkan. Pandangan mata menyatu pada tekat di jiwa. Sedangkan hati tetap pasrah kepada Allah. Saya mulakan dengan lafaz Basmallah lalu diteruskan dengan surah Al-Fatihah.

Saya mula melangkah kecil menuju ke almari. Agak jauh juga langkah saya apabila hendak lari dari bayangan pocong tadi. Setiap langkah saya penuhi dengan surah Al-Kaafirun.

Sesampainya di hadapan almari tersebut lalu saya mula menyelongkar satu persatu laci yang ada di dalamnya. Di bahagian bawah sebelah kiri ada tiga buah laci. Sedangkan di atasnya ada ruang untuk menggantung baju baju.

Di sebelah kanannya pula kelihatan jelas baju-baju yang tersusun dan telah kemas dilipat. Saya kemudiannya membuka perlahan-lahan pada setiap laci.

Apabila saya membuka laci pertama, di dalamnya cuma ada beberapa buah buku dan majalah lama dan ketika membuka laci kedua terasa seperti ada angin yang keluar dari dalam laci tersebut. Saya perhatikan seperti ada cahaya yang berkilauan di dalamnya.

Cahayanya bersinar sehingga menyebabkan mata saya merasa sedikit pedih. Setelah beberapa saat laci itu saya buka seluas-luasnya.

Saya perhatikan seperti ada sesuatu balutan kain kuning di dalamnya. Kain tersebut agak berdebu, kotor dan lusuh.

Kain tersebut benar-benar menarik minat saya. Tanpa membuang masa saya mula mengambil dan menggenggam benda tersebut dengan tangan kiri.

Saya kembali berdebar, merasa seram sejuk dan sedikit panas pada tapak tangan kiri.

Mungkin ini petunjuk dari Allah bahawa benda yang saya pegang ini pasti bertuan. Mungkin. Saya sendiri juga tidak pasti. Saya cuma berharap kepada Allah atas apa sahaja yang boleh dijadikan petunjuk.

Genggam

Benda itu saya genggam dengan kuat. Saya biarkan almari itu terbuka luas sambil saya mula melangkah keluar dari bilik arwah nenek Ayu.

Rancangan saya adalah berpatah balik ke bilik Ayu dulu. Lalu membuka apa yang ada di dalam genggaman tangan kiri saya di hadapan Ayu dan ibunya.

Lalu memusnahkan barang tersebut agar mudah pengaruh jahat keluar dan hilang selamanya selepas barang tersebut dibacakan al-Quran.

Semasa keluar dari bilik arwah nenek Ayu saya dapat merasakan ada seseorang mengikuti saya dari arah belakang.

Bisikan suaranya benar-benar bermain hingga ke lubang telinga.

Begitu juga dengus lembut yang menyentuh bulu tengkuk saya. Seolah-olah lembaga tersebut cuma seinci saya dari kedudukan di belakang saya.

Saya melangkah secepat yang boleh. Kalau berlari nanti malu pula kalau dilihat oleh Makcik Timah dan Ayu. Paling tidak pun larian pantas saya akan menembusi dinding rumah mereka dan terjatuh ke bawah.

Sesampai sahaja di bilik Ayu saya terkejut kerana melihat Makcik Timah sedang terbaring secara terlungkup di atas lantai.

Sedangkan Ayu pula berdiri pada sudut bilik, memandang ke arah lantai sambil rambutnya terurai ke hadapan. Allahu Rabbi.

Pada ketika itu saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan dan kenapa pula pada saat-saat segenting ini Makcik Timah sempat juga untuk melelapkan mata.

Adakah Makcik Timah tertidur atau pengsan, saya sendiri pun tidak tahu.

Kemudian dengan secara tiba-tiba, Ayu yang berada di sudut dinding pada ketika itu mula mengangkat kepalanya secara perlahan-lahan, bergerak dan memandang ke arah saya.

Saya tidak dapat memerhati wajahnya secara jelas kecuali bebola matanya kirinya yang besar dan tanpa kelopak itu memandang saya secara terus menerus.

Saya tidak mempedulikan Ayu. Asalkan dia tidak menyerang saya sudahlah. Saya kemudiannya berjalan sedikit ke hadapan dan cuba untuk mengejutkan Makcik Timah.

“Makcik...Makcik...Bangun. Jangan tidur dulu. Kerja kita belum selesai lagi. Makcik...Makcik...”

“Hehehehe...Kenapa perlu kamu mengganggu aku? Aku sendiri tidak kenal kamu dan mengganggu kamu. Jadi apa perlunya kamu mengganggu aku. Hehehe..”

Saya terkejut dan tersentak mendengar suara tersebut. Yang jelas suara tersebut bukannya datang dari suara Makcik Timah kerana Makcik Timah masih belum sedarkan diri lagi.

Lalu saya mengalih pandangan saya ke arah Ayu dan ternyata Ayu sudah tidak ada di situ. Sedangkan Ayu tetap tercegat di situ semasa saya cuba menggerakkan ibunya tadi. Dan sekarang Ayu sudah hilang.

Saya mula mengalih pandangan saya ke sekeliling ruang pada bilik Ayu. Mencari jejak atau kelibat Ayu kalau ada. Hati saya berdebar-debar.

Saya merasakan Ayu sedang memerhati saya. Cuma saya tidak tahu Ayu di mana sekarang.

Perasaan saya juga semakin tidak menentu. Dalam keadaan risau seperti ini, tiba-tiba saya merasakan sentuhan lembut pada cuping telinga kanan saya.

Seperti dibelai oleh sesuatu. Sejuknya dapat saya rasakan hingga merebak pada kepala saya di sebelah kanan.

Saya terus memandang ke arah kanan sambil memandang ke sekeliling. Ternyata Ayu tidak ada di situ. Sedangkan bunyi naik turun nafas dan suara bisikan dan tertawa kecil masih jelas lagi terdengar di segenap ruang bilik Ayu.

Selepas itu saya cuba untuk menoleh ke sebelah kiri. Kalau-kalau ada kelibat Ayu di situ.

Ketika saya sedang menoleh ke sebelah kiri, tiba-tiba sahaja saya terkejut dan menjerit kerana ternyata Ayu ada di sebelah kiri saya sambil wajahnya berada di atas bahu sebelah kiri.

Ayu kemudian mula menerkam saya dan saya mula jatuh ke lantai. Ayu cuba untuk mencekik belakang tengkuk saya.

Dalam keadaan genting seperti ini saya sempat menyebut kalimah Allah beberapa kali sambil menjerit dan meminta pertolongan kepada Makcik Timah.

Usaha saya berhasil. Makcik Timah mula sedar dan membuka matanya perlahan-lahan. Makcik Timah lalu menoleh ke arah saya.

Memandang tepat ke arah saya. Tetapi matanya berkilau-kilau. Bibir Makcik Timah juga mula mengukir senyum.

Sebuah senyuman yang menakutkan. Makcik Timah lalu cuba untuk bangkit perlahan-lahan.

Lalu merangkak menuju ke arah saya. Jari kukunya yang kehitaman dibenamkan ke dalam lantai sambil sesekali mencakar apa yang ada di hadapannya.

Saya berada di dalam keadaan yang sangat terdesak. Kerana pada ketika itu saya sedang bergelut untuk melepaskan diri dari Ayu.

Sedangkan ibunya juga mula merangkak menuju ke arah saya. Mereka berdua ketawa bersama-sama. Ketawa yang meresah dan melemahkan jiwa saya.

Dan sekarang saya terpaksa keseorangan dalam menghadapi ujian Allah ini...

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel Berkaitan:

Kerana bacaan al-Quran, penjaga keris pusaka marah, geram dan terus mengganggu Ustaz Malik (Bahagian 2)

'Bukan mudah nak rawat mereka yang mengalami gangguan seperti ini' - Ustaz Malik, SK Kampung Jepak (Bahagian akhir)