KISAH DI PANTAI ABF (PENGALAMAN TAHUN 90AN)

MALAM ini saya sedang menikmati keindahan dan kesunyian malam di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Rajang, Sarawak. Bunyi cengkerik menggemakan alunan muzik alam yang sangat mengasyikkan.

Kali pertama saya datang ke IPG Rajang ini adalah pada tahun 2008. Semasa masih menuntut di Institut Perguruan Sarawak, Miri dan sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Di IPG Rajang ini kami berkampung selama lima hari untuk mengikuti program Kem Unit Beruniform Peringkat Negeri kalau tak silap.

Sedang saya memujuk akal untuk mencari idea menulis kisah ringkas saya, saya terpanggil untuk menulis antara pengalaman terawal saya dan kawan-kawan ketika berhadapan dengan kisah seram berdasarkan pengalaman hidup kami.

Ketika itu saya belum lagi belajar berkenaan dengan cara rawatan gangguan jin dan sihir ini kerana kisah ini berlaku pada tahun 1995 atau 1996. Ketika itu rasanya baru dua tiga tahun saya meninggalkan alam persekolahan saya.

Saya masih ingat lagi. Ketika itu merupakan Hari Raya Puasa yang ke tujuh. Suasana sambutan Hari Raya tidak semeriah Hari Raya pertama. Tetapi ramai anak-anak kecil dan remaja masih memperagakan pakaian raya kasual mereka.

Saya tidak terkecuali. Kerana pada ketika itu saya masih lagi di dalam kategori remaja. Beraya bersama kawan-kawan. Keluar awal pagi dan balik ke rumah apabila hari hampir tengah malam. Maklumlah.

Pada Hari Raya seperti ini, ibu bapa saya juga sama seperti ibu bapa yang lain memberi sedikit kelonggaran untuk beraya bersama kawan-kawan dan balik sedikit lewat dari kebiasaannya.

Saya masih ingat lagi. Pada siang Hari Raya ke tujuh tersebut. Saya dan sepupu saya iaitu Abu Suffian sedang menaiki lori. Ketika itu saya bekerja sebagai pemandu lori di Syarikat Ayamadu Sdn. Bhd.

Iaitu sebuah syarikat penyembelihan dan pembekal ayam segar milik kawan saya juga. Namanya Haron bin Ahmad. Ketika itu kedainya terletak di R.P.R Kidurong.

Saya diamanahkan untuk membawa lori ayamnya dan menghantar ayam di beberapa buah sekolah dan kedai-kedai makan. Kebetulan pada hari itu saya sempat diminta oleh bos saya tadi iaitu Haron untuk menghantar ayam di SMK Bintulu.

Petang itu saya mengajak sepupu saya iaitu Abu Suffian untuk menghantar ayam di SMK Bintulu. Selepas itu kami balik ke kedai ayam milik Haron tadi.

Ketika hampir sampai ke kawasan Kidurong Club, Abu meminta saya untuk singgah di sebuah kedai runcit bernama ‘Fair Choice’.

Untuk sampai ke kedai runcit Fair Choice tersebut, kami terpaksa melalui jalan pantai ABF. Kemudian melalui beberapa buah simpang dan akhirnya kami sampai di hadapan kedai Fair Choice tersebut. Abu telah membeli air Coca Cola untuk menyegarkan kembali tekak kami.

Walaupun tidaklah senikmat mana pun meminum Coca Cola pada masa tersebut kerana sepanjang Hari Raya, air Coca Cola ini sering menjadi hidangan di rumah-rumah yang menyambut Hari Raya ini untuk dijamu sekali bersama kuih dan biskut raya.

Sedang kami menikmati air minuman kami, tiba-tiba muncul sebuah motosikal yang dipandu laju lalu berhenti betul-betul di sebelah saya.

Ternyata pemandunya seorang perempuan. Kami kenal benar perempuan tersebut kerana perempuan ini juga adalah kawan kami.

Laila

Namanya Laila. Kami juga kenal benar dengan keluarga Laila ini termasuk ibu dan bapanya serta adik-beradiknya yang lain.

Kami mula berkenalan apabila kami bertemu di dalam sebuah program Kursus anjuran sebuah Jabatan Kerajaan di Bintulu.

“Assalamualaikum. Laila.. Laila.. Kamu kenapa?”

Tanya saya kepada Laila. Tiada sebarang jawaban yang keluar dari mulutnya. Laila cuma meletakkan kepala dan tangannya di atas kepala motosikalnya yang berwarna kelabu dan kuning.

“Laila..Laila..Kalau mengantuk balik ke rumah. Jangan tidur kat sini.”

Celah Abu, sepupu saya tadi. Juga tiada jawaban yang keluar dari mulut Laila. Saya dan Abu cuma memandang antara satu sama lain. Selepas itu masing-masing kami diam membisu sahaja.

Tidak berapa lama kemudian Laila mengangkat kepalanya lalu memandang kami. Mukanya bersahaja seperti biasa. Lalu menghidupkan enjin motosikalnya lalu meninggalkan kami.

Hampir-hampir juga Laila kemalangan kerana pada ketika itu Laila meninggalkan kami dengan memecut motosikalnya dengan laju sekali.

Alhamdulillah, nasib baik kereta yang berada di hadapan Laila sempat untuk menekan brek ketika Laila keluar dari simpang tanpa memerhati kiri dan kanan. Kami cuma sempat untuk beristighfar sahaja.

Pada malam tersebut ibu Laila menelefon saya. Seingat saya ibu dan bapa Laila berada di Miri kerana sedang menziarahi keluarga dan menyambut Hari Raya bersama mereka.

“Assalamualaikum Malik. Makcik nak mintak tolong ni. Boleh tak kalau malam ni Malik, Amir, Abu, Saiful dan kawan-kawan tidur di rumah makcik? Kebetulan kereta pakcik rosak. Pagi esok selepas kami hantar kereta ke workshop barulah kami bergerak balik ke Bintulu.”

“Waalaikum salam makcik. Insya-Allah boleh. Nanti saya minta izin ibu bapa saya dulu. Sapa jugak yang ada di rumah makcik?”

“Abang-abang Laila semua ada. Cuma makcik tak berapa harap sangat kat diorang. Nanti diorang keluar jalan-jalan pulak.”

“Baiklah makcik. Lepas Isyak kami datang.”

“Jangan tak datang pulak Malik. Makcik risau dengan dia orang tu. Maklumlah sekarang ni kan musim ‘Hantu Purdah’. Kan minggu lepas Lina diganggu oleh Hantu Purdah tu.”

“Baiklah makcik..”

Saya masih teringat akan kisah sebulan sebelum saya dan Abu berjumpa dengan Laila di kedai Fair Choice tersebut. Adik Laila iaitu Lina telah diganggu dan dikejar oleh Hantu Purdah. Sejauh mana kebenaran gangguan hantu tersebut saya tidak pasti.

Tetapi sempat juga beberapa hari sebelum itu Lina menangis-nangis menelefon dan mengajak saya ke Pantai Tanjung Batu. Katanya ada perempuan yang memanggil-manggil namanya dan menanti Lina di situ.

Cuma kami sahaja tidak mengendahkan permintaannya kerana kami juga tahu mungkin itu gangguan jin. Atau dengan lebih tepat sebenarnya kami juga takut untuk pergi ke sana.

Kerana sebelum itu saya juga sempat di bawa oleh Lina ke sana bersama adik lelakinya dengan menggunakan kereta.

Sesampainya Lina di Pantai Tanjung Baru, Lina terus keluar dari kereta dan berlari ke tepi pandai sambil bermain dan bercakap sendirian. Seram juga saya melihat keadaannya ketika itu.

Alhamdulillah. Nasib baik ketika itu masih tengahari buta.

Itu kisah ringkas Lina. Adik kepada Laila. Kisah Lina tidak akan saya ceritakan di sini. Tidak juga pada lain kali. Biar habis di sini sahaja. Itu permintaan dia.

Cuma sekadar mengingatkan kembali. Bahawa pada tahun 90an Bintulu pernah menjadi gempar kerana fenomena gangguan Hantu Purdah ini.

Menurut mereka yang pernah diganggu. Perempuan ini seperti bertudung. Berwarna hitam. Mengganggu wanita-wanita dan anak dara. Selalu berkeliaran di tengah malam.

Sama juga seperti tadi. Sejauh mana kebenarannya, Wallahu a’lam. Allah sahaja yang mengetahuinya.

Berangkat Ke rumah Laila

Pada malam tersebut, selepas solat Isyak kami bertiga berangkat ke rumah Laila. Kami memang rapat dengan keluarga Laila.

Sepanjang Syawal, semalam kami habiskan masa di rumah mereka. Sebagai rumah penutup sepanjang hampir seminggu berhari raya. Setiap malam.

Cuma pada malam tersebut. Suasananya agak berlainan. Saya tidak pasti kenapa. Malam itu kami lepak dan merancang untuk tidur di ruang tamu. Kebetulan mata saya terlalu mengantuk.

Jadi saya mengambil keputusan untuk tidur awal kerana keesokan harinya saya dan Abu terpaksa bangun sebelum subuh dan menunggang motosikal Suzuki Best Hitam milik abang saya Amir dan balik ke rumah ibu saya.

Selepas itu mandi, solat subuh dan balik semula ke Kidurong untuk mengangkut ayam yang telah sembelih untuk dimasukkan ke belakang lori sebelum dihantar ke kedai-kedai makan dan di sekolah-sekolah.

Tetapi pada malam itu tidak seperti apa yang dijangka. Dalam keadaan saya tengah nyenyak di hanyut mimpi, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kasar oleh Amir dan sepupu saya Abu.

“Malik..Saiful..Bangun..Laila kena rasuk. Bangun cepat..”

Selepas itu saya terus terbangun dari tempat tidur saya. Saya mengesat-ngesat mata saya sambil melihat keadaan sekeliling. Suasana ruang tamu ketika itu terang benderang.

Cuma pada ketika itu saya sempat melihat Saiful. Apabila Amir dan Abu mengejutkan Saiful, Saiful tiba-tiba bangun dan duduk di kerusi tetamu.

Sambil mengatur butang baju Melayunya hingga ke atas dan mengenakan songkok. Lucu betul keadaan ketika itu.

Sempat juga Amir dan Abu ketawa melihat tingkah laku Saiful. Sedangkan pada ketika itu saya cuma memerhatikan sahaja telatah Saiful. Maklumlah ketika itu saya masih lagi mamai.

Selepas itu Amir dan Abu duduk di hadapan Laila. Saya perhatikan Laila sedang ditahan oleh kedua orang adik lelakinya sambil dibantu kembali oleh Amir dan Abu.

“Malik..Tolong kami..Cepat..”

Tanpa membuang masa saya terus berlari ke arah mereka. Saya cuma untuk membantu apa yang termampu. Ketika itu saya sedang perhatikan Abu dan Amir sedang menahan kedua tangan Laila. Laila pula ketika itu sedang mencekik dirinya sendiri hingga merah kebiruan wajahnya.

Manakala kedua adik Laila pula sedang menahan badan Laila. Walaupun dalam keadaan terbaring, seluruh badan Laila terangkat juga pada masa tersebut.

Sungguh keras sekali tangan Laila pada ketika itu sehingga kami bertiga terpaksa berhempas pulas untuk membuka kedua belah tangannya dari mencekik dirinya sendiri.

Selepas beberapa ketika kedua belah tangan Laila dapat kami buka. Berpeluh juga kami bertiga untuk membuka tangannya. Kerana kami juga risau takut-takut ketika pergelutan tersebut akan menyebabkan Laila tercedera.

Akhirnya Laila kembali tenang seperti biasa. Kami cuba untuk mengejutkan Laila. Manalah tahu yang Laila sebenarnya sedang mengigau sahaja.

Kami perhatikan wajah Laila. Laila masih lagi menutup matanya. Selepas itu kami kejutkan Laila berkali-kali hinggalah Laila mula membuka matanya. Laila tersenyum memandang kami. Kami juga tersenyum memandang Laila.

“Laila..Bangun.. Kamu mengigau.”

Amir cuba untuk memulakan ceritanya. Laila cuma tersenyum memandang Amir. Kemudian Laila memandang wajah kami semua. Kelihatannya Laila sudah tersedar dari ngigaunya. Kemudian Amir kembali bersuara.

“Laila, bangun. Cuba baca Surah Kursi.”

Laila kembali tersenyum. Lalu memandang wajah Amir. Kali ini dengan senyuman yang menakutkan. Tetapi secara tiba-tiba pula Laila mula menyanyi. Susah untuk saya jelaskan di dalam cerita ini bagaimana alunan melodinya.

Bulu roma kami mengerbang dan jiwa terasa gelisah apabila mendengarkannya apabila alunan melodi tersebut memenuhi ruang tamu pada ketika itu.

Tetapi alunan melodinya tak berapa ingat namun ia tetap terngiang-ngiang lagi di telinga saya sampai sekarang. Mungkin saya cuma boleh jelaskan sendiri di hadapan pembaca bagaimana lenggok melodinya.

Atau mungkin boleh juga untuk saya nyanyikan alunan melodinya suatu masa nanti. Kalau tidak pun mintalah kepada abang saya Amir dan sepupu saya Abu Suffian untuk menyanyikan melodi tersebut.

Kerana Insya-Allah di dalam cuping telinga mereka juga pasti akan terngiang-ngiang lagi alunan melodi tersebut.

Selepas itu Laila kembali memandang kami.

“Kamu semua siapa? Kenapa kamu semua mengganggu kami?”

“Kami? Kamu siapa? Kamu tidak kenal aku Laila?”

Amir cuba memulakan perbualan. Ketika itu malam semakin kelam. Saya memandang ke arah jam dinding. Sekitar pukul 12.30 tengah malam rasanya.

“Nama kami Nan dan Mah. Kami adik beradik. Kami sedang berjalan-jalan sambil menghiburkan hati kami.”

“Kalau kamu berdua sekadar mahu menghiburkan hati, kenapa perlu masuk ke dalam badan Laila. Dia tidak mengganggu kamu bukan?”

Kolam

“Tidak. Tetapi dia yang mula memerhati kami ketika kami sedang bermain-main di kolam tadi.”

“Kolam mana? Ceritakan pada kami.”

“Begini. Kami sedang terbang dan bersiar-siar dan singgah di setiap pokok. Kemudian kami bercerita bersama-sama. Kami juga selalu bergaduh sesama sendiri. Sebab itulah perempuan ini mencekik dirinya sendiri. Sebenarnya bukan seperti itu yang berlaku. Pada kenyataannya saya yang selalu mencekik adik saya sepanjang kami berdua tinggal di dalam badan perempuan ini kerana kami selalu bergaduh.”

“Jadi, kamu berdua tadi main di kolam mana sebenarnya?”

“Di situ ada orang mengail ikan. Di kawasan sekitar sini juga. Di kolam yang airnya cetek.”

“Di mana..?”

“Kolam yang pada remang-remang senja ramai manusia berada di sana. Sedangkan kami yang jumlahnya lebih ramai sebenarnya memerhatikan mereka.”

Saya mengamati dengan tekun apa yang dibicarakan oleh Amir dan jin tersebut. Seingat saya ada sebuah sahaja kolam di Kidurong. Tidak jauh dari kedai Fair Choice tadi.

Kalau dari kawasan Kidurong Club, jalan terus. Melintasi simpang masuk ke Pantai ABF sehingga sampai ke lampu isyarat. Belok ke kiri dan kemudian masuk ke simpang kanan.

Di sebelah kanan ada sebuah kolam ikan lama yang telah ditinggalkan dan mengering airnya secara alami.

Sekarang ini saya perhatikan kolam ini sedang dibangunkan kembali. Dengan laluan jalan kaki dan berjogging untuk kegunaan penghuni di sekitar kawasan ini di bahagian sebelah kanannya.

Kolam ini pernah mengering airnya dalam beberapa tahun terakhir ini dan dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan kecil yang meliar.

Dan sepertinya kolam ini mula dibangunkan semula oleh pihak yang berwajib sebagai suatu tarikan penduduk di sekitarnya untuk beriadah dan merehatkan minda pada petang hari.

“Selepas itu apa yang berlaku?”

“Pada mulanya kami cuma bersiar-siar sahaja. Kami terbang ke sana dan ke mari dan akhirnya kami telah sampai di kolam ini. Kami sempat bermain-main di sini. Airnya cetek sahaja. Separas buku lali kami. Ketika kami bermain-main, datanglah perempuan ini dan dia duduk di kerusi. Pada asalnya dia tidak melihat kami. Tetapi ketika dia mula berkhayal, kami mula merasuki dirinya dan menampakkan pada pandangan matanya yang kami seolah-olah masih berada di kolam ini.”

“Maka pada ketika itulah kami mempermainkan dirinya. Kami merasuki tubuhnya dan kami arahkan akalnya supaya membawa kami ke mana-mana sahaja tempat yang kami mahu pergi. Juga senang untuk kami mengarahkan badannya bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Di mana sahaja dia pergi maka dia sentiasa akan melihat kami. Kerana kami sebenarnya sudah berada di dalam badannya.”

“Jadi, apa yang kamu mahu sebenarnya?”

“Kami mahu terus tinggal di badannya. Hahaha..Senang untuk kami menyuruhnya pergi ke mana-mana sahaja tanpa perlu untuk kami berusaha sendiri terbang untuk bergerak bebas.”

Pada ketika itu kami tidak mempunyai pengalaman untuk merawat pesakit. Apa yang mampu kami lakukan cumalah membaca sebanyak-banyaknya ayat–ayat al-Quran yang kami tahu dan hafal.

Selepas beberapa ketika Laila kembali ketawa dan menyanyikan semula alunan melodi yang menyeramkan itu sehingga bergema seisi ruang tamu.

Kami cuma mampu untuk berserah kepada Allah sahaja. Perasaan takut kami hanya Allah sahaja yang tahu. Kami tidak mempedulikan apa yang berlaku. Kami cuma menumpukan pada bacaan ayat al-Quran yang kami baca sahaja.

Sehinggalah Laila terdiam dari ketawa dan nyanyian alunan melodinya. Laila kemudiannya memandang kami. Bermula dari Amir, saya, sepupu saya Abu Suffian dan Saiful dan kedua adik lelakinya.

“Amir, kenapa kamu ada di sini? Kenapa kamu semua menahan badan saya? Kenapa kamu semua berada di sini? Apa yang berlaku sebenarnya?”

“Apa kamu tidak tahu apa yang berlaku?”

“Tidak. Saya cuma tidur. Itu sahaja. Sehinggalah saya tersedar dan melihat yang saya sedang dikelilingi oleh kamu semua.”

“Malik, kenapa kamu takut melihat saya? Seperti melihat hantu sahaja. Hahaha..”

Tersedar

Saya cuma tersenyum. Ketika itu saya tidak pasti yang terbaring di hadapan kami ini benar-benar Laila atau Laila ‘jadian’. Saya terus membacakan Surah Kursi walaupun bacaannya memang tunggang langgang.

Kemudian Amir kembali bertanya soalan kepada Laila.

“Laila, kamu ke mana sahaja pada hari ini tadi?”

“Pagi dan tengahari saya tidak ada pergi ke mana-mana. Cuma petang selepas Asar tadi saya keluar berjalan-jalan. Selepas selesai membeli barang saya pergi ke kolam tak jauh dari kedai Fair Choice tu. Semasa duduk di sana saya termenung sambil memerhati kolam tersebut.”

“Entah kenapa secara tiba-tiba saya melihat dua orang budak kecil sedang bermain-main di kolam tersebut. Yang menghairankan saya, kedua orang budak tu, badan mereka lebih besar dari lelaki dewasa. Saya perhatikan mereka dan saya terhibur dengan karenah mereka berdua.”

“Selepas itu salah seorang dari mereka memanggil-manggil nama saya. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh tahu nama saya. Mereka meminta saya untuk masuk ke dalam kolam tersebut dan bermain-main bersama mereka.”

“Saya tahu kolam tersebut tinggi airnya dan dalam dasarnya. Sebab itulah saya menolak sambil tersenyum. Saya juga pelik kerana ketika mereka berdiri di tengah kolam tersebut, airnya cuma sebatas buku lali mereka sahaja.”

“Entah kenapa kemudiannya saya pergi ke Pantai Tanjung Batu. Semasa saya duduk di tepi pantai, saya melihat kedua orang budak tadi tiba-tiba sudah ada di sana. Mereka sedang bermain dan berlari. Yang peliknya kesemua manusia yang ada di situ tidak melihat mereka. Tetapi mereka berdua memandang saya sambil kembali mengajak saya bermain bersama. Saya cuma tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.”

“Oleh kerana hari semakin senja, saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah. Saya sempat berhenti di kedai Fair Choice. Di situlah saya melihat Malik dan Abu duduk di dalam lori ayam. Tetapi wajah mereka berdua sangat-sangat menyeramkan.”

“Saya takut melihat wajah mereka berdua. Kemudian saya mula terfikir tentang kedua orang budak tadi. Saya risau akan keselamatan mereka. Lalu saya cuba untuk mencari mereka di Pantai Tanjung Batu. Takut-takut mereka lemas di pantai.”

“Apa yang menghairankan saya, ketika saya melintas kolam itu saya melihat mereka berdua telah berada di sana dan sedang bermain-main sambil melihat saya. Mereka kembali mengajak saya bermain bersama di tengah kolam tersebut. Sedangkan sebelum itu mereka berada di Pantai Tanjung Batu. Saya tidak terfikir pun apa-apa pada ketika itu. Saya cuma risaukan keselamatan mereka berdua.”

“Selepas itu saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah. Sepanjang perjalanan tersebut motosikal yang saya naiki seperti berada di awang-awangan. Saya seperti sedang berterbangan di awan biru. Lalu akhirnya saya tidak tahu apa yang berlaku. Cuma yang saya tahu saya telah sampai ke rumah dan saya terus tidur. Itu sahaja.”

“Mungkin ada benda yang mengikuti kamu balik ni Laila. Sebab kamu seperti orang kena rasuk tadi.”

“Iye ke? Hahaha..Saya ok ja. Mungkin penat kot.”

“Kalau tak ada apa-apa Alhamdulillah. Tetapi kalau ada sesuatu yang berlaku, itu yang kami risaukan.”

“Sebenarnya apa yang berlaku tadi Amir?”

“Tadi saya dan Abu duduk di luar rumah. Tiba-tiba kami terdengar bunyi sesuatu yang pelik. Bunyi seperti suara orang mengeluh kuat. Saya dan Abu kemudiannya cuba melihat dari pintu. Mencari kalau-kalau ada orang yang mengigau. Selepas itu kami melihat kamu terbangun dan melihat jam dinding.”

“Saya dan Abu ketawa melihat karenah kamu. Kami ingat kamu mengigau. Kami sendiri pun tidak tahu yang kamu berada di ruang tamu. Sebab sebelum itu kamu tidur di dalam bilik.”

“Selepas itu kami kembali duduk di luar rumah. Tidak lama kemudian kami terdengar seperti suara orang menjerit. Semakin lama semakin kuat. Kami kemudian masuk ke ruang tamu untuk mengejutkan kamu. Apabila kami membuka suis lampu di ruang tamu, kami lihat kamu sedang mencekik diri kamu sendiri. Lalu saya mengejutkan Malik, Saiful dan adik kamu untuk membuka tangan kamu dari mencekik diri kamu sendiri.”

“Owh.. Begitu..”

“Apa kata kamu membaca Surah Kursi dulu Laila. Sebelum kamu kembali untuk tidur.”

“Baiklah.. Bismillahir rahmaanir rahiim..”

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Laila kemudiannya mula membaca Surah Kursi. Pada awal bacaan suaranya kuat, jelas dan yakin. Tetapi apabila pada ayat yang terakhir Laila menghentikan bacaannya.”

“Baca lagi Laila. Baca lagi. Wa laa ya uuduhu hifdzuhumaa wa huwal ‘aliyyul ‘azhiim..”

Laila cuma terdiam. Kami semua memandang Laila. Juga cuba mengatur langkah persediaan sekiranya Laila mula mengamuk. Laila mula memandang wajah kami. Matanya mula bertukar menjadi merah dan berair.

Dengan tidak semena-mena Laila mula menendang apa sahaja yang ada di hadapannya. Kami berusaha untuk menahan tangan Laila. Manakala kedua orang adik Laila pula berusaha untuk menekan badan dan kaki Laila.

“Lepaskan aku.. Lepaskan aku. Kalau tidak, aku akan bunuh kamu semua. Lepaskan aku..”

“Tidak. Kamu yang mesti lepaskan Laila. Kalau tidak kamu akan terbakar dengan ayat al-Quran.”

“Hahaha.. Bacalah semampu kalian. Aku tidak takut. Kesemua kawan-kawan aku sedang mengelilingi dan memenuhi setiap ruang di rumah ini. Hahaha..”

Takut

Kami mula memandang sesama sendiri. Perasaan takut mula menyelubungi diri. Maklumlah. Pada ketika itu kami tidak pernah mengalami atau berhadapan dengan kes histeria seperti ini. Kami tidak meneruskan bacaan al-Quran ketika itu. Takut diugut bunuh oleh jin yang merasuk Laila.

Selepas itu kami berbincang. Apa yang perlu dilakukan. Memandangkan pada ketika itu kami tidak mempunyai apa-apa pengalaman, jadi kami meminta pertolongan ibu saya untuk menghubungi seorang ustaz yang tinggal di Bintulu.

Semasa ibu saya menghubung ustaz tersebut, kebetulan ustaz tersebut baru balik dari mengajar mengaji di sebuah surau. Jadi ustaz tersebut berkelapangan untuk membantu merawat Laila yang sedang kerasukan.

Saya sudah lupa nama ustaz tersebut. Kalau tidak silap namanya adalah Ustaz Saif. Sekarang Ustaz Saif sudah berpindah di Semenanjung Malaysia dan bekerja di sana.

Semasa menunggu kehadiran Ustaz Saif, kami kembali membaca ayat-ayat al-Quran sebagai pemberi kekuatan kepada kami.

Sedangkan Laila ketika itu terus-terusan menyanyi dan ketawa sambil memandang kami dengan penuh dendam dan amarah.

Saya memandang ke arah luar rumah. Gelap dan menakutkan. Bunyi cengkerik tidak senyaring tadi. Sesekali dari kejauhan terdengar bunyi anjing melolong sayu.

Mata Laila tetap terbuka dan memandang kami tanpa mengalih sedikit pun bola matanya kepada kami. Wajahnya sentiasa tersenyum sedangkan dari raut wajahnya penuh dengan dendam.

Walau bagaimanapun, kami teruskan juga bacaan al-Quran kami. Lintang pukang sahaja kedengaran bunyinya.

Kemudian, Ustaz Saif sampai di rumah Laila. Wajahnya tenang. Berjubah dan berkopiah putih.

Senyumannya manis. Tetapi langsung tidak menampakkan perasaan takut dan risau pada raut wajahnya.

Ustaz Saif memberi salam dan lantas dijawab oleh kami yang berada di ruang tamu rumah Laila. Setelah itu kami menerangkan apa yang berlaku pada Laila bermula dari A hingga ke Z.

Itu saja yang kami mampu lakukan ketika itu. Kerana kami sendiri takut dan juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Setelah mendengar penjelasan dari kami, Ustaz Saiz tersenyum lalu duduk di hadapan Laila. Kedua adik lelaki Laila cuba untuk mengubah posisi Laila dari terbaring kepada duduk melunjur. Itu permintaan dari Ustaz Saif.

Tiba-tiba Laila tersedar dari rasukan syaitan yang mengganggu jiwanya. Laila mula tersedar dan meminta izin untuk ke tandas. Ustaz Saif serba salah untuk membenarkan Laila ke tandas sebenarnya. Risau-risau kalau Laila pengsan atau tidak sedarkan diri lagi.

Akhirnya Ustaz Saif terpaksa membenarkan Laila untuk pergi ke tandas kerana Laila berulang kali merayu. Laila mengugut kami sekiranya kami tidak benarkan dia pergi ke tandas maka dia akan kencing di ruang tamu.

Oleh kerana kami tidak mahu dipukul kepala kami dengan menggunakan senduk dan dicucuk hidung kami dengan menggunakan garpu oleh ibu Laila ketika ibu Laila balik ke Bintulu nanti kerana mengetahui kami melarang Laila untuk ke tandas, maka kami benarkan juga Laila pergi ke tandas.

Ustaz Saif meminta adik Laila untuk menemani Laila hingga ke muka pintu tandas di bahagian dapur dan menjadi ‘security guard’ di situ untuk sementara waktu.

Setelah hampir sepuluh minit, Laila masih juga belum keluar. Bunyi air yang melimpah atau digunakan juga tidak kedengaran.

Akhirnya Ustaz Saif meminta adik Laila untuk mengetuk pintu tandas tetapi tiada balasan dari Laila. Entah-entah Laila tertidur atau pengsan di dalamnya. Pintu tandas kemudian diketuk dengan lebih keras. Tetapi masih lagi tiada apa-apa respon dari Laila.

Kerana mengenangkan keselamatan Laila, akhirnya kedua orang adik Laila setuju untuk memecahkan pintu tandas tersebut.

Berpuluh-puluh kali juga pintu tandas ditendang dengan kuat dah akhirnya engsel pintu tandas tersebut patah dan pintunya sedikit terbuka.

Kami memandang ke bahagian dalam tandas dan ternyata Laila tiada di situ. Kami semakin risau. Bagaimana Laila boleh hilang di dalam tandas di rumah mereka sendiri.

Kami cuba untuk memerhati keadaan sekeliling tandas. Ternyata Laila memanjat keluar rumah melalui tingkap kecil tandas. Tetapi bagaimana Laila boleh menyusup keluar tanpa sebarang kesan bunyi dan tanpa menggunakan peralatan-peralatan lain, itu saya tidak tahu.

Hilang

Semuanya menjadi cemas. Keadaan sedikit riuh kerana Laila telah hilang entah ke mana. Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencari Laila di sekitar MLNG Housing, Taman Matahari, di kedai-kedai sekitar kawasan bangunan kedai Fair Chioce dan sebagainya tetapi kami masih tidak dapat mengesan jejak Laila.

Akhirnya kami berpecah. Saya dan Abu mencari di sekitar kawasan kolam walaupun kami berdua sebenarnya melintasi sahaja di kawasan tersebut tanpa berani untuk menoleh atau berhenti. Apa lagi untuk mencari Laila. Amir di kawasan lain.

Begitu juga Saiful dan adik-beradik Laila. Kesemua kami menaiki motosikal untuk memudahkan pencarian kami. Ustaz Saif pula mencari di kawasan berdekatan dengan SK Kidurong.

Semasa saya dan Abu sibuk mencari Laila, tiba-tiba dari kejauhan sebuah motosikal bergerak laju ke arah kami.

Sepertinya itu abang saya Amir. Amir memecut selaju yang boleh. Boleh jadi Amir telah menemui Laila dan cuba untuk memaklumkan kepada kami. Ataupun juga Amir juga takut seperti kami. Apatah lagi Amir bergerak seorang untuk mencari Laila.

Akhirnya Amir berhenti di hadapan kami. Wajahnya pucat dan peluh dingin keluar dari arah tepi dahinya. Ketika itu Ustaz Amir masih lagi mempunyai rambut yang lebat. Tidak seperti sekarang. Kepalanya seperti buah kelapa muda. Licin dan berkilat.

Kemudian Saiful dan adik beradik Laila juga ada bersama kami. Mereka telah mencari Laila di kawasan R.P.R Kidurong tetapi hampa. Tiada kelibat Lailapun di sana.

“Malik..Abu..Aku dah jumpa Laila.”

“Di mana?”

“Di pantai ABF. Laila berjalan masuk ke tengah laut. Tadi aku sempat memanggil-manggil nama Laila. Laila kemudian menoleh dan aku lihat matanya putih berkilat. Sudahlah masa tu gelap. Aku cuma nampak melalui pancaran cahaya bulan sahaja.”

“Jadi kau tak terjun ke laut ke tadi nak tolong Laila?”

“Aku mana pandai berenang.”

“Tak pandai berenang ke kau memang takut.”

“Dua-dua sekali.”

“Kalau begitu kita pergi ke sana sekarang.”

“Nanti kita minta adik Laila untuk cari Ustaz Saif.”

Selepas itu saya meminta kedua orang adik Laila untuk mencari Ustaz Saif. Manakala kami terus menuju ke Pantai ABF. Dulu pantai ABF sangat cantik.

Tidak seperti sekarang. Kotor, tidak terurus dan penuh dengan sampah. Sedangkan Pantai ABF suatu ketika dulu lebih ramai pengunjungnya dari Pantai Tanjung Batu. Tapi itu dulu.

Sesampainya di pantai ABF kami sudah tidak melihat kelibat Laila. Perasaan risau semakin menebal di dalam diri. Ustaz Saif dan adik beradik Laila juga telah sampai dan kami meminta pendapat Ustaz Saif.

Setelah berbincang, Ustaz Saif kemudiannya mula membaca sebuah doa yang berbunyi;

“Bismillahir rahmaanir rahiim. Ya Jami’an Naasi li yaumil la raiba fihi, ijma’ alayya dhollati” yang di baca berulang-ulang kali.

Maksudnya,

“Wahai Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya, himpunkanlah aku dengan barang aku yang hilang itu.”

Petikan dari Kitab Bustanul Arifin (Taman Orang-orang yang A’rifin/Ahlillah/Awliya’ Allah) tulisan Imam An Nawawi. Imam Nawawi meriwayatkan doa ini daripada kitab Risalah al Qusyairiah tulisan Imam Abul Qasim al Qusyairi radiallahu anhu di dalam bab ‘Karamah Awliya’.

Kami mula berpecah di sekitar pantai. Pandangan mata kami tetap menuju ke arah laut Pantai ABF. Memerhati sebarang pergerakan kalau ada. Agak lama juga kami menunggu tanda-tanda akan kelibat Laila di permukaan laut yang gelap ketika itu.

Alhamdulillah. Dengan izin Allah, Abu menjerit-jerit sambil menunjuk ke arah tengah laut.

“Laila..Laila..Aku dan jumpa Laila..”

Berjumpa Dengan Laila

Kami semua terus bergegas menuju ke arah Amir. Ketika itu Amir berlari ke arah tengah laut untuk mendapatkan Laila. Mungkin Amir lupa dia tidak pandai berenang. Tetapi Alhamdulillah. Tiada apa-apa yang berlaku kepadanya.

Sedangkan Laila ketika itu sudah hampir tenggelam keseluruhan badannya ditelan air laut. Pada ketika itu suasananya agak tegang. Kerana ini melibatkan nyawa Laila. Berjalan menuju ke tengah laut. Pada tengah malam yang gelap.

Apa yang mampu kami lakukan cumalah berenang mendekati Laila. Kecuali Amir. Laila kemudiannya tenggelam entah ke mana.

Kami mencari di sekitar kawasan tersebut dan akhirnya salah seorang dari kami dapat mencapai rambut Laila dan menariknya keluar ke permukaan air.

Ombak ketika itu agak tenang. Jadi mudahlah untuk kami membawa Laila ke tepi pantai. Ketika itu Laila tidak melawan dan memberontak. Dia cuma mengikuti sahaja ketika kami membawanya naik ke pantai.

Ketika itu Ustaz Saif telah bersiap sedia menunggu kami. Kami cuba untuk membawa Laila ke tepi jalan selepas melalui pasir-pasir putih dan batu-batuan yang besar.

Kami semua basah kuyup ketika itu dan menggigil kesejukan. Angin malam menambahkan lagi kesejukan hingga meresap menyentuh tulang.

Sesampainya di kawasan rumput di tepi jalan iaitu di antara pokok-pokok yang di tanam di sepanjang pantai, kami membaringkan Laila di situ. Laila ditahan oleh adik-adiknya. Sebagai persediaan sekiranya Laila ingin melarikan diri lagi.

Selepas itu Ustaz Saif memulakan dialognya;

“Assalamualaikum. Kamu ini siapa?”

“Waalaikumsalam. Aku Nan dan juga adik aku yang berada di dalam perempuan ini. Nama adik aku Mah. Apa yang kamu mahu dari kami?”

Kamu ni membawa perempuan ini ke mana?”

“Ke tengah laut. Aku ingin menikah dengan perempuan ini dan membawanya tinggal di tengah lautan.”

“Kalau kau membawanya ke lautan sudah pasti dia akan mati kelemasan.”

“Tidak. Selagi dia bersama aku dia tidak akan mati. Selepas ini nanti aku akan pergi ke kubur kedua ibu bapa aku untuk meminta restu dari mereka.”

“Apakah kedua ibu bapa kamu sudah meninggal dunia?”

“Ya. Kamu yang membunuh mereka dahulu kerana mengganggu manusia.”

“Itu kerana kezaliman mereka mengganggu manusia. Setiap jin atau syaitan yang merasuk manusia pasti akan aku berikan peringatan dan amaran dahulu untuk keluar. Kalau tidak dengan izin Allah mereka akan terbakar apabila dibacakan ayat al-Quran kepada mereka.”

“Ya. Aku tahu itu. Sebab itulah aku mengambil keputusan untuk menikahi perempuan ini untuk membalas dendam kepada manusia. Hampir sedikit masa sahaja lagi perempuan untuk ini mati lemas. Kalau bukan kerana kamu semua, sudah pasti dia tidak akan dapat dijumpai untuk selamanya.”

“Di mana kubur ibu bapa kamu?”

“Di situ. Di pokok itu.”

Kami secara serentak memandang sebatang pokok yang ditanam bersama pokok-pokok yang lain. Bentuk pokok itu kelihatan sedikit ganjil dari pokok-pokok yang lain. Dulu ada banyak pokok-pokok yang ditanam di situ.

Sekarang banyak pokok-pokok yang ditanam sepanjang jalan Pantai ABF yang telah ditebang dan dijadikan tempat peniaga menjual makanan seperti kuih, sate dan minuman secara kecil-kecilan.

Saya tidak pasti pokok tersebut masih ada atau tidak. Sudah lama saya tidak melihat pokok tersebut. Kalau dulu, sekiranya saya ada melintasi kawasan Pantai ABF ini, mata saya pasti akan tertumpu pada pokok tersebut kerana bentuknya yang ganjil serta menyimpan misterinya tersendiri.

Apabila kita masuk ke jalan Pantai ABF setelah melalui Jalan Kidurong, lebih kurang seratus meter kita akan berjumpa dengan simpang ke kiri untuk pergi ke Tanjung Batu.

Pokok tersebut kedudukannya selepas simpang tersebut. Cuma itu yang boleh saya bagi tahu.

Tapi saya tidak akan beritahu secara jelasnya di mana kerana saya pernah memarahi dan menampar seorang lelaki suatu ketika dulu kerana dia bertanya kepada saya tentang kisah dan pokok tersebut.

Setelah saya ceritakan secara terperinci kepadanya, ternyata lelaki tersebut menjadikan pokok tersebut sebagai tempat meminta nombor ekor.

Sampai sekarang lelaki tersebut tidak mahu menegur saya sedangkan setiap kali berjumpa saya akan menghulurkan salam kepadanya. Tapi itu urusan dia. Tanggungjawab saya adalah mengelakkan perkara syirik dan kurafat berlaku. Itu saja.

“Kalau begitu bawa aku ke situ.”

“Baiklah..”

Kemudian kami dibawa ke sana. Kebetulan pokok tersebut tidak jauh dari kami. Setelah itu Laila memegang pokok tersebut dan memandangnya berulang kali.

“Di sinilah kubur ibu bapa kami.”

Kubur Ibu Bapa Nan Dan Mah

Selepas itu Laila terdiam dan menutup matanya. Agak lama juga kami menunggu Laila. Saya memerhatikan keadaan sekeliling. Sangat sunyi.

Cuma terdengar bunyi ombak dan desiran angin yang menyeramkan. Terasa seperti kami sedang diperhatikan dari segenap sudut sahaja.

Tidak lama selepas itu Laila kembali membuka matanya sambil tersenyum dan memandang ke arah kami.

“Kamu sudah meminta restu dari mereka?”

“Sudah. Sekarang aku ingin pergi ke sana sebentar.”

Laila menunjukkan kepada kami dengan ibu jarinya ke arah suatu tempat. Di seberang jalan tetapi agak jauh sedikit ke dalam. Ustaz Saif mengikuti sahaja apa kemahuan Laila ketika itu.

Di kawasan perumahan ABF ada suatu tempat belukar yang rimbun. Sesuai untuk dijadikan tempat istirehat. Tetapi sama ada siang apatah lagi malam, kawasan tersebut tetap menyeramkan. Kawasan tersebut terletak sekitar di belakang gereja.

Saya juga kadang-kadang melalui kawasan tersebut. Sehingga sekarang kawasan tersebut tidak berubah. Masih seperti dulu.

Ketika sampai di sana saya lihat kawasan tersebut seperti dihuni oleh sesuatu. Saya tidak tahu siapa. Manusia atau bukan. Terasa sedang memasuki ke sebuah tempat yang sangat asing sekali.

Selepas itu Laila kelihatan sangat gembira. Dia ketawa dan bernyanyi. Tetapi suara dan melodinya sangat-sangat menyeramkan sehinggakan saya cuba untuk menutup telinga ketika itu.

“Di sinilah tempat aku dan adik aku Mah selalu bermain. Melihat manusia dan mencari ruang untuk mengganggu mereka. Kadang-kadang kami juga selalu bermain di kolam. Memerhati manusia di situ. Kadang-kadang kami duduk di samping mereka. Kadang-kadang kami memerhati mereka dari dalam kolam.”

“Baiklah. Sekarang apa yang kamu mahu?”

“Tidak ada apa-apa. Sekadar mahu menyusahkan kamu. Hahaha..”

“Aku minta kamu berdua keluar dari badan perempuan ini. Itu saja.”

“Tidak. Aku ingin balas dendam. Kalau aku tidak dapat membunuh kamu maka aku akan membunuh dia.”

“Kan tadi kamu kata kamu mahu menikahi dia dan meminta restu dari ibu bapa kamu?”

“Jadi kamu percaya. Hahaha..Hampir-hampir saja perempuan ini mati di tangan kami tadi. Kalau tidak kerana kebodohan kamu pasti nyawanya sudah melayang.”

“Aku memang tidak percaya kepadamu. Kerana syaitan seperti engkau memang suka berbohong.”

“Selagi dendam aku tidak terbalas. Kematian kedua ibu bapaku tidak dituntut maka selagi itulah aku tidak akan berhenti.”

Ustaz Saif kemudiannya mula membaca Surah Kursi dengan suara yang nyaring. Laila kemudiannya menjerit dan cuba untuk melarikan diri. Kedua orang adik Laila berusaha sekuat-kuat hati untuk menahan Laila agar tidak terlepas.

Tetapi oleh kerana kekuatan Laila bukan kekuatan seorang wanita pada ketika itu maka dengan mudahnya Laila melepaskan dirinya dari adik-adiknya. Kekuatan Laila pada ketika itu kekuatan sepuluh orang lelaki dewasa.

Laila akhirnya terlepas juga. Laila berlari sekuat hati menuju ke arah laut Pantai ABF. Kami melihat sendiri bagaimana Laila berlari dengan selaju-lajunya melintasi jalan raya. Alhamdulillah. Nasib baik ketika itu tidak ada kereta yang lalu lalang.

Selepas melalui jalan raya, Laila terus berlari di atas kawasan batu-batu yang besar tanpa melihat ke bawah. Kepala dan matanya cuma tertumpu di lautan luas di hadapannya.

Kami semua berlari untuk mengejar Laila. Sedangkan Laila telah sampai ke kaki pantai dan berusaha untuk bergerak ke tengah laut. Dengan apa sahaja daya dan kekuatan, kami cuba untuk mengejar Laila agar tidak lemas dan dibawa arus ke tengah laut.

Alhamdulillah dengan izin Allah kami dapat menahan dan membawa Laila ke darat walaupun pada ketika itu Laila cuba untuk melawan. Laila menendang, memukul, menggigit dan menggunakan apa sahaja anggota badannya untuk melepaskan diri.

Alunan Ayat Al Quran

Sesampainya di pantai Laila terus tidak sedarkan diri. Ustaz Saif kemudiannya membacakan beberapa ayat al-Quran. Saya terdengar Ustaz Saif membaca Surah Al-Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul sahaja.

Saya perhatikan wajah Laila. Laila cuma memandang wajah Ustaz Saif dengan perasaan marah. Tidak seperti mula-mula tadi. Ketika itu wajah Laila sangat bengis dan menakutkan.

“Aku akan bunuh kamu. Aku akan bunuh kamu. Aku akan bunuh kamu. Kamu ingat itu.”

“Keluar kamu dari badan Laila sekarang.”

“Aku tidak akan keluar. Aku sanggup mati di dalam badan perempuan ini.”

“Baiklah kalau begitu.”

Ustaz Saif kemudian meneruskan bacaannya tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

“Aku tidak akan keluar. Aku mula terbakar sekarang. Ingat. Selepas aku mati, kawan-kawan aku, keluarga aku dan tentera-tentera aku akan memburu dan membunuh kamu. Mereka tidak akan melepaskan kamu. Kalau kami tetap tidak mampu, kawan-kawan kami dari tengah lautan akan datang membalas dendam. Sedangkan mereka tidak pernah kenal erti belas kasihan. Kamu tunggu nanti akan kedatangan mereka. Tunggulah..”

Selepas itu Laila menjerit sekuat-kuatnya. Angin mula bergerak pantas menuju ke darat. Kami semua kesejukan dan menggigil kerana masih basah kuyup kerana berusaha menyelamatkan Laila tadi.

Kekuatan jeritan Laila merunsingkan kepala saya. Desingannya sungguh kuat. Saya cuma membaca Surah Kursi sahaja secara berulang-ulang kali.

Saya tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling saya. Kepala saya mula terasa pening tetapi selepas itu pening saya mula berkurangan.

Akhirnya Laila terdiam. Ustaz Saif mendekati Laila dan membaca dua ayat terakhir dari Surah Al Fath ayat 18 lalu menghembus ke wajah Laila. Secara perlahan-lahan Laila membuka matanya. Laila memandang kami dengan wajah kehairanan.

“Sesungguhnya Allah telah rida terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dengan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).”

“Malik..Apa yang berlaku kita di mana ni?”

“Kamu dirasuk Laila. Sekarang kita berada di Pantai ABF.”

“Pantai ABF. Macamana kita boleh ada di sini? Sedangkan di rumah saya cuma sedang tidur saja tadi.”

“Entahlah Laila. Balik nanti kita cerita.”

Selepas itu kami membawa Laila balik ke rumah. Kedua orang adik Laila memimpin tangan Laila untuk di bawa ke tempat kami meletakkan motosikal. Kemudian mereka membonceng motosikal tersebut bertiga.

Agak lawak juga keadaan pada ketika itu. Wajah ketakutan adik-adik Laila terpampang jelas. Mungkin mereka risau yang kakak mereka akan histeria sekali lagi.

Sesampainya di rumah Laila, Laila terus mandi dan menukar pakaiannya. Sedangkan kami terpaksa menunggu di luar rumah kerana masih lagi basah disebabkan mengejar Laila di laut Pantai ABF tadi.

Kami mendengar pesanan dan peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Saif kepada Laila dan keluarganya. Sedangkan kami terus duduk di luar rumah sambil meminum air Cola Cola jenis botol kaca yang agak popular suatu ketika dahulu pada setiap musim perayaan Hari Raya.

Selepas itu tiada apa-apa yang menarik berlaku. Dan akhirnya Ustaz Saif pulang ke rumahnya. Tetapi kisah ini tetap saya ingat sampai bila-bila.

Sebenarnya kisah Laila ini tidak habis sampai di sini. Kerana ada sambungan sebenarnya. Bahkan lebih mencabar, lebih menarik dan lebih menyeramkan.

Cuma cukuplah untuk saya ceritakan kisah Laila ini sebagai pengajaran untuk saya. Saya tidak akan meneruskan sambungan kisah Laila ini.

Sepanjang pengalaman bersama Laila ini banyak mengajar saya erti berserah kepada Allah. Apatah lagi pada ketika itu kami langsung tidak tahu tentang rawatan Islam ini.

Sekarang Laila masih ada di Bintulu. Sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak. Sesekali saya ada juga terserempak dengan Laila bersama keluarganya.

Semoga Allah terus merahmati kita dan Laila sekeluarga. Saya tahu apa yang berlaku sepanjang kisah tersebut. Sebab tulah saya tahu Laila benar-benar seorang yang sangat kuat.

Semoga Allah terus memimpin Laila dengan rahmat dan kasih sayangnya.

Kung Pow menulis di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Rajang Sarawak. Mata Kungpow juga mengantuk sangat..

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

ARTIKEL MENARIK

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

Bawa balik kerang cantik dari Pantai Tanjung Batu..pelajar tingkatan 2 meracau, 'diganggu'

Perempuan tanpa kepala muncul di Jalan Tanjung Kidurong..Ustaz Malik nampak lembaga melambai-lambai