Tidak semua kehidupan seseorang manusia indah.

Walaupun sekarang sudah berjaya mencapai impian, mungkin ramai yang tidak tahu...apa pahit maung yang pernah dilalui oleh mereka ini.

Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir misalnya, telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana. Namun di sebalik kejayaannya itu, pasti tersemat kenangan yang sukar dilupakan.

"Ya puan...saya tidak bermula dengan mudah. Kejayaan hari ini adalah hasil daripada kesusahan yang saya lalui masa lalu," katanya kepada GPS Bestari.

Ikuti perkongsian Cikgu Mohd Ridzuan ini. Semoga menjadi inspirasi buat semua pelajar dan guru-guru lain.

**

SPM saya tiada ‘A’.

Musim SPM datang lagi. Teringat kisah dulu-dulu. Perasaan sewaktu mengambil keputusan SPM masih saya ingat. Saya bukan budak pandai. Keputusan SPM tak ada A sebiji pun. Tak ditawarkan masuk mana-mana universiti masa itu. Akhirnya terima tawaran diploma di politeknik.

Keputusan diploma setiap semester tak pernah dapat 3 point. Semester akhir hanya dapat 2.75. Lepas itu minta kerja tiada siapa nak terima. Mungkin sebab tak ada ‘pakej’. Masa itu pun tiada niat nak sambung ijazah sebab rasa macam kita tak pandai.

Selepas diploma, pernah kerja macam-macam. Pernah kerja pam minyak dan jurujual di pasar raya. Pernah juga jadi jurujual racun serangga di syarikat pest control. Bertahan beberapa bulan sahaja.

Lepas itu dapat kerja kerajaan jadi kerani dekat hospital yang masa tu gaji level SPM, RM800. Orang pandang sebelah mata saja. Kalau ingat semula rasa macam nak menangis. Masa itu baru saya sedar bahawa tahap pendidikan sangat penting kalau nak ‘berjaya’ pada pandangan mata masyarakat.

Selepas satu tahap, saya tak tahan dengan iklim kerja ketika itu, saya cuba mohon sambung Ijazah Sarjana Muda di UPSI. Permohonan kali pertama tak lulus. Kakak saya nasihatkan buat rayuan.

Alhamdulillah, rayuan saya diterima. Tapi selalu juga kena perli dengan pelajar yang pengambilan pertama (first intake). Kononnya kita ini hanya pelajar yang datang dengan tiket rayuan. Bukannya betul-betul layak. Selalu jadi isu. Tapi semua itu saya tak peduli. Yang negatif saya letak tepi.

Saya berjanji dengan diri sendiri dan berazam mesti belajar sungguh-sungguh. Saya tak mahu lagi duduk di tempat yang masyarakat asyik rendah-rendahkan saya.

Sewaktu di universiti, saya pernah beberapa kali dapat Anugerah Dekan. Akhirnya saya grad dengan pointer 3.45. Itu pun saya dah bersyukur sangat. Selepas konvokesyen dan lulus temu duga, akhirnya saya menjadi seorang guru. Syukur yang tidak terhingga.

Selepas jadi guru, saya jadi semakin cintakan ilmu. Tambahan pula saya terpaksa mengajar subjek bukan opsyen. Semangat untuk terus belajar dan meningkatkan potensi diri tu sangat kuat.

Saya cuba mohon sambung master di bawah tajaan KPM. Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya. Pengajian master saya ditaja sepenuhnya oleh kerajaan tanpa saya perlu mengeluarkan satu sen pun.

Tanggal 28 Oktober 2019, saya sekali lagi berkonvokesyen untuk menerima Ijazah Sarjana saya di Unimas. Tamat dengan cemerlang dalam tempoh dua tahun. Alhamdullilah.

Sedikit nasihat daripada saya;

...berusahalah, kamu pasti berjaya. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kejayaan pasti akan jadi milik kita andai kita menginginkannya dan ingatlah, tidak ada yang akan gagal selamanya. Walaupun pada awalnya kita tidak bermula dengan baik, tidak semestinya pengakhiran kita juga tidak baik. Jadilah seseorang yang bukan biasa-biasa.

Kesimpulannya, tiada A dalam SPM tidak semestinya awak gagal dalam kehidupan. Yang penting jangan berhenti belajar dan berusaha.

Mohonlah doa daripada ibu bapa. Sesungguhnya doa mereka untuk anak-anak pasti dimakbulkan. Teruslah melangkah ke hadapan.

INFO

Pencapaian dan Pengalaman

1) Penerima Anugerah Guru Inovatif peringkat JPN Negeri Sarawak tahun 2017

2) Penerima Anugerah Guru Inovatif peringkat PPD Serian tahun 2016

3) Penerima Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), KPM (2017 hingga 2019)

4) Penerima Anugerah Emas Pertandingan The Teachers Innovation (T-NOVATE) peringkat antarabangsa (IUCEL 2018)

5) 50 peserta terbaik Kempen Guru PAK 21, KPM tahun 2019

6) Jurulatih Utama eDidik Malaysia (bidang inovasi dan kajian tindakan)

7) Memenangi tempat ke-2 Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif Berimpak Tinggi Zon Sarawak tahun 2019 anjuran Yayasan Inovasi Malaysia dan SME Corp Malaysia

Sumber: Facebook Mohd Ridzuan Md Nasir

Artikel menarik

Ini cara senang tukar imej menjadi teks guna Telegram sahaja... sangat membantu cikgu

Cikgu Fadhli kongsi tip buat guru baru, nombor 15 paling dalam maksudnya...

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya