Tik...Tik...Tik...Jam di dinding menunjukkan pukul 5 pagi. Terasa perutnya bagai dihiris sembilu berduri. Tidak tahan rasanya untuk Salina mengharungi derita ini. Alangkah bisanya, pedih. Apakah aku akan mati? Rintih Salina. Ya Allah berikanlah hambamu ini kekuatan, ketabahan dalam menghadapi ujian dari-Mu.

Pagi itu, Salina ingin menyatakan sesuatu kepada rakan-rakannya di dorm. " Farhana, Fara, Azah, Fateha, Naeisyah, Ira, Nadrah.. Lyn akan pulang ke kampung kerana ada perkara yang perlu diselesaikan". Bicaranya terhenti. Sebak rasanya untuk meneruskan bicaranya. Nafasnya dilepaskan sekali lagi, dia menahan sebak di dada, digenggam erat kedua belah tangannya. Tiada sesiapa yang mengerti apa yang terbuku di hati. Wajahnya nampak lesu dan berkerut-kerut manahan sakit yang sesekali mencucuk perutnya.

"Lyn minta maaf di atas segala perbuatan yang lalu, sama ada disengajakan, atau tidak sengaja. Halalkan makan minum Lyn sepanjang kita berkawan".

"Lyn kenapa ni? Apa kena dengan kau? Aku tengok kau pucat je," balas Fara.

Gambar sekadar hiasan

"Yela, kenapa kau tergesa-gesa ni? Sebenarnya kau nak ke mana? Tiba-tiba je kau nak balik. Kan esok kita ada exam lagi. Rugi kalau kau tak habiskan exam. SPM pun dah tak lama lagi. Kau tak takut ke?" kata Azah.

Namun Lyn hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Walau apapun yang dikatakan oleh rakan-rakannya, hanya dibalas dengan sekuntum senyuman yang dirasakan begitu hambar. Lyn terus mengatur langkah sambil menyeka air matanya yang kian gugur.

Maafkan aku. Kalian akan mengerti nanti.

Kepulangan Salina disambut ibunya dengan seribu persoalan. "Eh Lyn! Apa mimpi balik hari ni? Kan masih belum cuti lagi? Kalau tak silap ibu, hari ini masih ada exam lagi kan? Kenapa tak beritahu ibu Lyn balik awal".

"Tak ada apa-apa ibu," jawab Salina lemah. "Ibu, Lyn naik dulu ya," sambung Salina lagi.

"Kenapa muka kamu pucat Lyn? Kau tak sihat ke?" tanya ibunya.

"Biasa je bu, cuma Lyn pening kepala sahaja. Lyn nak minta izin naik dulu ya," sambung Salina lagi.

Selesai solat Isyak berjemaah bersama keluarganya, Lyn terus masuk ke bilik. Dia dapat rasakan masanya hampir tiba. "Ashhaduallailahaillah"...

Tok..Tok.. "Salina buka pintu, mari makan nak. Ibu dah masakkan lauk kegemaran Lyn," panggil ibunya.

Diam...Salina terus diam. Sunyi dan sepi seketika. Ibunya terus memanggil tetapi Salina terus membisu.

Akhirnya, ibunya membuka pintu menggunakan kunci pendua.

"Lyn..Lyn..Kenapa ni nak, bangun sayang..". Namun Lyn tetap membisu. Ibunya berasa tidak sedap hati lalu memeriksa nadi Lyn. Innalillah..

'Tak mungkin! Salina...bangun Salina...Ya Allah, beratnya ujian Mu ini...Salina...bangun..." raung ibunya.

Pemergian Salina untuk selama-lamanya masih tidak dapat diterima oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya. Masih belum puas lagi mereka mendengar gurau senda dan hilai tawanya. Mereka tidak menyangka gadis muda itu akan pergi terlalu awal.

"Maafkan kami Salina".

"Naeisyah, ada surat untuk kamu dan kawan-kawan kamu di atas meja itu," kata ibu Salina. Lantas, surat itu dicapai oleh Naeisyah dan kawan-kawannya. Surat itu dibuka dengan penuh debaran.

Assalamualaikum...

Buat teman-teman tersayang, Farhana, Azah, Nadrah, Ira, Fateha dan Fara, moga ketika kalian membaca warakah ini, senyuman akan terukir di bibir. Janganlah seperti diriku dahulu, derita dalam ketawa, senyum dalam sengsara, bahagia dalam duka. Namun tetap Lyn titipkan warkah ini untuk kalian yang Lyn sayangi.

Rasanya baru sekejap tadi kita ketawa bersama, bermesra, dipayungi awan biru yang salju, berbungakan keriangan yang sentiasa menguntum... Indahnya dunia kita.

Tiba-tiba tangisan dan kesedihan meragut, menodai sebuah kehidupan indah penuh tragis. Kita hanya mampu memangku jasad hidup, mengumpul serpihan memori sebuah teratak. Ianya datang tanpa dipaksa, tanpa kerelaan, aku mangsanya. Kalian memikul bebannya. Tetapi Lyn tidak menyalahkan takdir. Kerana takdir penentu segalanya.

Lyn tidak mahu melihat titisan mutiara terburai dari lautan senyum. Lyn tidak mahu kalian semua di dalam keresahan. Biarlah Lyn melayari sisa-sisa kehidupan ini berseorangan walaupun akhirnya Lyn tewas. Lyn terima dengan rela hati.

Berat untuk Lyn memberhentikan perbicaraan. Sebelum Lyn mengakhiri coretan ini, Lyn ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pertolongan kalian. Semestinya kalian masih tertanya-tanya mengenai pemergian ini. Sebenarnya...ah..berat rasanya untuk Lyn nyatakan. Lyn sebenarnya menghidap penyakit ulser usus di tahap kritikal. Namun, tiada siapa yang tahu mengenai penyakit ini. Harapan Lyn agar kalian mengerti mangapa Lyn merahsiakannya.

Sampai di sini sahaja yang dapat Lyn coretkan. Sampaikan salam Lyn kepada semua rakan yang lain. Semoga Allah memberkati kalian sepanjang masa. Insaflah wahai teman yang Lyn sayangi. Lyn sentiasa mengharapkan doa daripada kalian.

Buat kali terakhir, izinkan Lyn memulangkan memori indah kita bersama.

Selamat tinggal selamanya untuk Ira, Azah, Naeisyah, Nadrah, Farhana, Fateha dan Fara.

Assalamualaikum

Yang menyayangimu, Salina.

Surat Salina dilipat kemas. Suasana muram menyelubungi segenap ruang di bilik itu. Esak tangis mula kedengaran. Tiada ungkapan yang terluah. Masing-masing terbungkam dengan kenangan. Kenangan silam bersama Salina.

"Ya Allah, tempatkanlah dia bersama-sama orang yang Kau redai". Maafkan kami Lyn. Walaupun Salina tiada lagi bersama mereka, namun ikatan persahabatan antara mereka kekal untuk selama-lamanya.

Hasil Nukilan: Nor Azah Abdul Aziz, tingkatan 4.5

Sumber: SMK Convent Muar