RANAU - Belajar di dalam kelas yang terbuka, berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, seperti berada di sebuah pusat peranginan sudah tentunya diidamkan kebanyakan murid kerana ia memberikan ketenangan dan aura yang berbeza.

Bertuahnya murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Randagong, Ranau, Sabah apabila dapat merasai sendiri pengalaman dan suasana berkenaan, sekali gus belajar sambil menghirup udara segar dan dingin di negeri di bawah bayu itu.

Gambar bilik darjah dengan pemandangan indah berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu itu pernah tular baru-baru ini selepas dikongsikan di media sosial oleh seorang guru di sekolah berkenaan, Sabirun Rubin, 34.

Berkongsi serba sedikit mengenai kelas berkenaan, Sabirun berkata, gambar berkenaan mula tular di Twitter apabila dikongsikan oleh junior beliau sehingga menerima kira-kira 17,400 ciapan semula dan 34,900 likes.

Rata-rata warganet juga turut teruja melihat gambar berkenaan malah ada dalam kalangan bakal guru mahu bertugas di sekolah berkenaan kerana pemandangan yang menarik dan kelihatan tenang itu.

"Kelas ini pada asalnya adalah tempat yang digunakan untuk Program Makanan Tambahan (RMT) murid tetapi ia ditukarkan sebagai kelas untuk sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) selepas sekolah melaksanakan penjarakan sosial bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika musim pandemik COVID-19.

"Memandangkan pelajar Tahun Empat adalah yang paling sedikit di sekolah berkenaan, pihak pentadbiran bersetuju untuk menempatkan murid berkenaan di kelas berkenaan. Bilangan murid yang terdapat di dalam kelas ini ialah seramai 11 orang," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Menurut Sabirun lagi, gambar berkenaan diambil kerana mahu berkongsi kegembiraan bersama murid-murid apabila mereka kembali ke sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Tidak dinafikan pemandangan Gunung Kinabalu itu sudah biasa di mata murid-murid sekolah ini tetapi mereka tetap seronok dapat belajar dalam kelas yang terbuka kerana ia memberikan suasana yang lebih segar, tenang dan santai," katanya.

Artikel menarik

Pelajar KV Keningau menang Anugerah Rapid Youth Success Entrepreneurship (RYSE) kategori komik

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc