KUANTAN - Walaupun menyertai majlis tilawah al-Quran sekadar untuk mencuba dan mencari pengalaman baharu, namun Siti Syahirah Isa, 26, tidak menyangka dinobatkan sebagai johan qariah pada pertandingan tilawah al–Quran peringkat negeri, di sini.

Pelajar kuliyah pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan dan bakal bergelar doktor gigi itu berkata, dia menganggap kemenangan itu rezeki sebagai pelajar.

“Selepas muncul johan peringkat daerah secara automatik saya terpilih mewakili Kuantan ke saingan peringkat negeri di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah.

“Bagaimanapun, sebagai peserta baharu, saya tidak menaruh harapan untuk meraih kejayaan, namun ternyata rezeki berpihak kepada saya apabila diumumkan sebagai johan qariah dan akan mewakili Pahang pada majlis tilawah al-Quran ke peringkat kebangsaan 2 hingga 8 April depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Siti Syahirah berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan menyertai majlis tilawah al-Quran peringkat negeri.

Katanya, dia hanya mampu belajar sekali seminggu sahaja di masjid dengan tunjuk ajar guru kerana kekangan masa sebagai pelajar.

“Kesuntukan masa di bilik kuliah dan latihan amali setiap hari menyebabkan saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap bacaan al-Quran secara berlagu atau bertaranum.

“Saya bersyukur kerana dianugerahkan sedikit kelebihan suara dan kemampuan membaca al-Quran secara bertaranum, semangat serta kesungguhan yang tinggi secara berterusan menjadi penguat semangat,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu sebelum ini pernah menyertai program pensijilan tahfiz al-Quran Darul Quran UIAM, Selangor berkata, selain ayahnya, Isa Yahya, 70, yang banyak mengajar al-Quran, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Melaka, Nooraini Abdullah turut membimbingnya dalam taranum.

Selain itu, dia pernah muncul naib johan majlis tadarus al-Quran sekolah menengah kebangsaan, johan tadarus al-Quran Karnival Amal Islami Institusi Pengajian Tinggi Islam (IPTIM) Peringkat Kebangsaan.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik pada majlis tilawah al-Quran ke peringkat kebangsaan yang pastinya berhadapan dengan cabaran lebih sengit apabila bersaing dengan peserta terbaik negeri,” katanya.