“SAYA malu, tak pandai bahasa Inggeris.” Ini antara ayat yang bermain di dalam fikiran kebanyakan pelajar di sekolah pedalaman.

Begitulah juga yang dialami pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Panglima Jakarullah, Semporna, Sabah.

Perasaan rendah diri kerana tidak dapat menguasai bahasa itu menyebabkan mereka tidak mahu mencuba kerana takut dan malu jika melakukan kesilapan.

Tidak kurang juga, ada sesetengahnya gagal menyebut dan membaca perkataan mahupun ayat dalam bahasa tersebut setiap kali guru memberi tugasan di dalam kelas.

Menyedari keadaan itu, guru bahasa Inggeris, Mohd Azwan Rahman mengambil inisiatif untuk membantu pelajar mengatasi masalah keyakinan diri.

Beliau yang mesra dengan panggilan Sir Azwan memperkenalkan aplikasi Say-It-Right agar semua pelajarnya mampu menguasai bahasa Inggeris dengan mudah.

“Say-It-Right adalah aplikasi yang menggabungkan Mobile Apps dan Sistem Arduino Uno. Ia dijadikan alat bantu belajar dan digunakan untuk mengesan sebutan bahasa Inggeris pelajar.

“Dengan memasang bluetooth dan beberapa lampu LED pada papan Arduino, Mobile Apps pada telefon pintar, ia boleh digunakan untuk merakam dan menghantar sebutan atau jawapan pelajar ke sistem Arduino.

“Sekiranya sebutan atau jawapan pelajar betul dan jelas, maka lampu LED pada papan Arduino akan menyala,” katanya.

Menurut beliau, antara alat yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti itu ialah komputer riba (untuk memuat naik perkataan atau jawapan yang diperlukan), power bank, papan Arduino dan telefon pintar (sistem Android). “Ia sangat mudah untuk dibawa ke mana sahaja,” katanya.

Menerusi aplikasi Say-It-Right yang dibangunkan itu, beliau telah terpilih antara 100 guru Edufluencer pada Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), baru-baru ini.

“Saya tak sangka dengan inovasi aplikasi ini saya tersenarai dalam 100 Guru Adiwira.

“Sejujurnya, ini adalah penyertaan pertama saya dalam pertandingan seumpama ini. Sebelum ini, saya lebih suka untuk berkongsi kaedah pembelajaran dan pengalaman bersama anak-anak didik saya.

“Atas dorongan rakan guru, saya terbuka hati untuk menghantar penyertaan dan berkongsi pengalaman sebagai pendidik. Saya tidak menyangka perkongsian berkenaan memberi impak yang besar kepada semua,” katanya kepada GPS Bestari.

Sir Azwan bersama rakan guru dan pelajarnya ketika menyertai Pertandingan Young Innovators Challenge peringkat negeri Sabah 2018.

Aplikasi Say-It-Right

Idea menghasilkan Say-It-Right tercetus ketika Sir Azwan menghadiri Bengkel Arduino anjuran Hap Seng dan Chumbaka tahun lalu.

“Saya bersama beberapa rakan guru yang lain dari beberapa sekolah menengah di Daerah Semporna diberikan pendedahan dan latihan untuk menggunakan dan mengendalikan Sistem Arduinoini dalam kehidupan seharian seterusnya untuk dikongsikan bersama pelajar.

“Kemahiran yang saya pelajari daripada bengkel tersebut mencetuskan idea untuk saya menyelesaikan masalah pelajar yang takut dan malu untuk menyebut serta membaca dalam bahasa Inggeris. Dan alhamdulillah, aplikasi Say-It-Right diterima dengan baik oleh warga sekolah,” kata guru yang juga berasal dari Semporna itu.

Alat yang digunakan untuk aplikasi Say-It-Right.

Senarai perkataan yang akan disebut pelajar.

Pada 2018, Sir Azwan telah menggunakan aplikasi Say-It-Right bersama pelajar Tingkatan Empat Harmoni.

“Pelajar Tingkatan Empat Harmoni boleh dikategorikan sebagai pelajar yang agak takut untuk bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris.

“Namun dengan Say-It-Right, keinginan untuk mencuba itu lebih tinggi kerana mereka beranggapan alat Arduino itu sendiri seperti permainan untuk mereka selesaikan,” katanya.

Jelasnya, program Say-It-Right tersebut juga sangat fleksibel di mana tahap kesukaran tugasan boleh disesuaikan dengan tahap penguasaan pelajar bermula daripada sebutan perkataan sahaja, kepada frasa atau ayat lengkap, seterusnya bentuk kuiz.

Pada peringkat awal, Sir Azwan mengakui yang pelajarnya tidak begitu biasa dengan sistem Adruino.

“Saya telah menerangkan dan memberi tunjuk ajar kepada mereka tentang penggunaan alat ini. Setelah mencubanya untuk pertama kali dan berjaya, mereka mula berasa teruja," katanya.

Akhir sekali, Sir Azwan melahirkan rasa gembira kerana berpeluang dan duduk sebaris dengan rakan guru inovasi yang lebih hebat serta berpengalaman.

"Apabila bersama mereka, ia telah membuka minda dan mengubah persepsi saya bahawa golongan pendidik perlu sentiasa memperbaharui kemahiran dan mempelbagaikan kaedah pengajaran seiring dengan peredaran zaman.

"Guru harus sentiasa menyokong antara satu sama lain dan meraikan semua idea dan kaedah pembelajaran yang pastinya memberi manfaat kepada pelajar. Kini, saya rasa sangat bertuah kerana telah mengenali lebih ramai guru inovatif dan cemerlang dalam pelbagai aspek untuk saya jadikan rujukan bagi menghasilkan kaedah PAK21 yang lebih segar, baharu dan efektif," jelasnya.

Bengkel Arduino Daerah Semporna 2018.

 Kumpulan pertama yang mencuba aplikasi tersebut.

Sir Azwan bersama Tingkatan Empat Harmoni.

REAKSI

1) "Kaedah Say-It-Right yang diperkenalkan oleh Sir Azwan itu sangat bagus dan membantu kami yang kurang berkeyakinan dalam subjek bahasa Inggeris khususnya. Selain menarik, ia juga membuatkan kami lebih bersemangat untuk mencuba dan belajar.”

- Norhafizah Kassim

Tingkatan Empat

2) "Saya berminat dengan cara Sir Azwan mengajar. Beliau sentiasa bersemangat, ceria dan bijak kawal kelas. Selain itu, saya juga suka melihat beliau yang sentiasa berpakaian kemas dan berketerampilan semasa mengajar.”

- Noorimsiah Timbasal

Tingkatan Empat

3) "Saya mengharapkan agar Sir Azwan akan mempelbagaikan lagi cara pengajaran di dalam kelas dan menggunakan lebih banyak teknologi seperti telefon pintar, Arduino dan macam-macam lagi. Semoga Sir Azwan tidak pernah putus asa mendidik kami dan pelajar yang lain.”

- Azhar Ali

Tingkatan Empat

INFO

Nama: Mohd Azwan Ab Rahman

Umur: 33 Tahun

Asal: Semporna, Sabah

Akademik: B.Ed (Hons) TESL – Program berkembar UiTM dan Institut Perguruan Kampus Gaya

Kerjaya: Guru bahasa Inggeris di SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah, Semporna, Sabah

Pencapaian

1) Edufluencer (KPM), 2019

2) Jurulatih Utama I-Think

3) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015

4) Anugerah Rancangan Pengajaran Harian (RPH)/ERPH Terbaik Bidang Bahasa SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah 2017, 2018 dan 2019

5) Anugerah Guru Dinamik SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah 2012

Senarai Projek 2019

1) Project ID

2) SBOA Project –VLOG

3) Say-It-Right!

4) Kahoot Challenge

5) Breakfast with Class Teacher

Senarai Projek 2020

1) Young Innovators Challenge 2020

2) 60 Seconds Instagram Speech

3) Board Game project

4) Flipped Classroom

Artikel Menarik:

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya

Guru ini sanggup menyumbang sejumlah wang gaji untuk sedia kelengkapan pelajar yang rata-rata miskin

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Cara ustaz ini ajar Pendidikan Islam buat pelajar benar-benar faham konsep aurat