KOTA BHARU -  Tiada siapa menduga, anak keenam daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup Daud Che Long dan Semah Ahmed ini sebenarnya mempunyai kekuatan dan kecekalan yang tersendiri, apabila terpaksa berdepan ujian hidup setelah Allahyarham bapanya lumpuh ketika beliau di tahun empat.

“Sejak ayah lumpuh, tugas mencari rezeki digalas ibu sepenuhnya, dan dari saat itulah ia banyak mengajar Datuk Mohd Faizal Daud atau mesra dengan panggila Abe Ja untuk hidup berdikari.

"Arwah ayah selalu pesan, walau apapun berlaku, janganlah berputus asa untuk belajar rajin-rajin dan ubah nasibkeluarga, selain bantu orang lain yang memerlukan,” katanya.

Berkat pesanan kedua ibu bapanya, Pengerusi Tabung Pendidikan Anak Desa Kelantan itu kini berjaya merealisasikan kecemerlangan dalam hidupnya dan tidak akan berhenti membantu orang lain untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik dalam bidang pendidikan.

Sokongan yang tidak terhingga daripada isteri, Datin Norhasmazura Hamzah dan tiga anaknya memberi lebih kekuatan kepada pemimpin muda ini terutamanya untuk terus melebarkan sayap dalam setiap misi yang dilakukan.

“Bagi Abe Ja, pendidikan sangat penting kerana pendidikan merupakan senjata terbaik untuk mengubah nasib sesebuah keluarga itu. Dalam masa yang sama, Abe Ja juga mahu melahirkan mahasiswa Kelantan yang berketerampilan, mempunyai kebolehpasaran sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Ini sesuai dengan moto Abe Ja iaitu tidak mahu melihat mahasiswa Kelantan menganggur,” katanya.

Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga mempunyai sebuah perpustakaan kecil untuk menyimpan koleksi buku yang pernah dimilikinya dan percaya, dengan membaca, ia dapat membezakan antara individu yang berilmu atau tidak berpengetahuan.

Ketika membentangkan laporan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bantu anak bangsa

Tiada siapa sangka, berkat kesabaran dan kecekalan bergelar seorang anak kampung membawa Abe Ja melangkah jauh ke hadapan, terutamanya memartabatkan pendidikan anak muda negeri ini.

Pemuda berusia 36 tahun dari Kampung Bakat, Rantau Panjang ini tidak pernah mengenal penat lelah dalam memastikan anak-anak kampung dan desa berjaya melangkah ke menara gading, sebagaimana yang beliau pernah duduki sebelum ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia ini merupakan seorang yang sangat komited dalam membantu urusan mahasiswa dan mahasiswi negeri, bukan hanya dari segi pendidikan, malah kebajikan dan sosioekonomi kumpulan tersebut.

Kecaknaannya dalam bidang pendidikan membawa pemimpin muda ini mengemudi beberapa badan bukan kerajaan seperti Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) dan juga Presiden Gerakan Destini Anak Bangsa, yang antaranya memberi fokus kemasukan ke universiti, melibatkan golongan kurang berkemampuan dan sebagainya.

Malah beliau mengakui, perjuangannya dalam bidang pendidikan sebagai anak kampung bukanlah mudah dan sebab itu beliau mahu anak-anak muda tidak mengalah dan diberikan peluang untuk mengubah sendiri masa depan mereka.

Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan Laporan Tahunan Himsak 2017, baru-baru ini.

Aktif laksana program untuk mahasiswa

Berkat kesungguhannya untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berpengetahuan dan berdaya saing, beliau telah membuka Pusat Tuisyen Rakyat dan menubuhkan Pusat Latihan Graduan Kelantan dalam membantu graduan membuat persediaan yang cukup sebelum ke alam pekerjaan.

Berkejar dengan masa, namun itu bukan halangan kepada beliau merancang dan mengadakan pelbagai program seperti motivasi, ceramah dan minum teh bersama seluruh mahasiswa Himsak di setiap negeri, hampir setiap bulan.

Malah Mohd Faizal menjadi rujukan mahasiswa ini tanpa sebarang protokol khas dan hampir setiap masa beliau dihubungi melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas dan sebagainya.

Abe Ja sering mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Himsak Kebangsaan bagi membincangkan pelbagai program khas untuk mahasiswa negeri ini.

Pengerusi Biro IPTA dan IPTS Umno Kelantan ini juga memberitahu, niatnya untuk membantu anak bangsa terus maju dalam bidang pendidikan tidak akan terhapus sampai bila-bila, memandangkan pendidikan adalah kunci utama kepada penghasilan generasi yang berkualiti.

Memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Destini Anak Bangsa sejak lima tahun lalu banyak membantu dan memberi kelebihan kepada beliau untuk membantu pelajar miskin luar bandar menyambung pelajaran melalui program khas Jelajah Pendidikan Bumiputera.

Dengan segala usaha yang dilakukan, Mohd Faizal juga pernah menerima beberapa penganugerahan iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang, Darjah Kebesaran Seri Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang, Kolonel Kehormat (PA) Angkatan Pertahanan Malaysia dan sebagainya.