BEBERAPA kali berdepan  kemalangan yang hampir meragut nyawa, ia bukan  penghalang kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musoh LZ, Azman Abdul Manaf untuk menabur bakti.

Azman, 51,  berkata,  ia antara pengalamannya sepanjang 25 tahun beliau  bergelar guru ketika berkhidmat di sekolah Orang Asli pendalaman.

Katanya, minatnya dalam bidang perguruan menyebabkan beliau  tidak kisah apabila jabatan menghantar beliau  ke sekolah kawasan pendalaman .

“Sekolah pertama saya mengajar di Sekolah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Pos Gedong pada 1988 dan saya masih ingat lagi pada waktu itu sekolah berkenaan diperbuat daripada papan dan jaring malah ia sama  seperti sekolah dewasa dalam filem Bujang Lapok .

“Bukan itu sahaja, disebabkan sukar  keluar masuk kerana laluan  teruk, bekalan makanan kami dihantar gunakan payung terjun yang dilepaskan daripada kapal terbang Carribou. Pada waktu itu, saya menganggapnya cabaran sebagai guru di sekolah pendalaman dan orang lain mungkin tidak akan dapat seperti saya,” katanya.

Katanya, selain sekolah itu, beliau pernah berkhidmat di 11 sebuah sekolah di Daerah Batang Padang dan lima daripadanya  sekolah  Orang Asli.

Azman menunjukkan antara sijil penghargaan diterima pihak sekolah atas kejayaan kehadiran 100 peratus murid.

 

Katanya, antaranya, SK Pos Gedong, Bidor, SK Batu 14, Tapah, SK Sri Kinjang, Chenderiang dan SK Rancangan Penempatan Semula (RPS) Jernang, Sungkai dan SK Pos Musoh, LZ, Tapah.

“Mungkin saya tidak kisah dihantar ke kawasan pendalaman mengajar anak Orang Asli selain saya mahu mereka ini diberi ilmu pengetahuan walaupun berada di jauh di tengah hutan.

“Apa yang menjadi kepuasan bila melihat, ada daripada   anak murid ini berjaya dalam pelajaran dan dapat melanjutkan pelajaran mereka ke lebih tinggi,” katanya.

Azman mengakui pernah  dimasukan ke unit kecemasan kerana terlibat kemalangan ketika pergi dan pulang dari sekolah Orang Asli .

 

Katanya, antara peristiwa tidak pernah dilupai apabila mengalami kemalangan motosikal.

“Bukan itu sahaja, saya juga nyaris maut apabila pacuan empat roda  dipandu terbalik semasa dalam perjalanan membawa keluar jawapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2010 ketika menjadi Ketua Pengawas  Peperiksaan di SK Pos Gedong, Bidor.

“Ketika itu, saya bawa dua guru wanita dan seorang guru lelaki, kami  tidak dapat keluar  kenderaan pacuan empat roda kerana pintu tersekat dan menyebabkan hampir lemas kerana panik,” katanya.

Katanya, mereka bernasib baik apabila dibantu penduduk Orang Asli yang melalui kawasan itu.

“Namun bagi saya itu semua cabaran kepada diri sendiri dan cikgu lain yang mengajar sekolah Orang Asli pendalaman termasuk di SK Pos Musoh LZ

“Menempuh perjalanan 25 kilometer dari jalan utama Batu 8, Jalan Pahang di sini dengan mengambil masa lebih sejam tidak pernah mematahkan semangat  kami  berbakti di SK Pos Musoh LZ,” katanya kepada Sinar Harian.

Pernah tular.. Tanah runtuh antara cabaran yang perlu dihadapi guru di SK Pos Musoh LZ.