Dinobatkan Ikon Guru Kebangsaan 2017, baru-baru ini, memeranjatkan Cikgu Mohamad Khamidon Sadi.

Merupakan guru kanan mata pelajaran bidang Teknik dan Vokasional di SMK Seksyen 16, Shah Alam, Cikgu Khamidon perlu bersaing dengan pelbagai pencalonan serata negeri.

"Bagi memperoleh anugerah ini, calon perlu melalui beberapa penapisan daripada unit pemilihan di peringkat negeri dan kebangsaan dan difahamkan seramai 60 pencalonan disenarai pendek daripada beribu guru seluruh Malaysia.

"Alhamdulillah, berkat doa dan usaha gigih, saya berjaya.

"Insya-Allah, saya akan mengekalkan momentum kerja yang baik, proaktif, lebih kreatif dan inovatif. Perlu lebih bersikap terbuka dalam menghadapi gelombang pendidikan yang semakin mencabar dan sedia hadapi cabaran. Satu perkara yang sentiasa saya pegang untuk capai kejayaan adalah bergembiralah ketika bekerja, terimalah tugasan dengan senang hati dan anggaplah ia bukan bebanan sebaliknya satu penghargaan atas kebolehan dimiliki," katanya yang turut diangkat Ikon Guru Negeri Selangor 2016.

Nasihatnya kepada guru, bekerjalah dengan ikhlas dan jangan terlalu memikirkan anugerah atau apa sahaja kerana jika kita tidak memperolehnya, kita akan kecewa dan ini beri kesan kurang baik pada jiwa dan emosi guru.

Sebaik-baiknya, buat sehabis baik dan ikhlas demi anak anak didik, Insya-Allah sesuatu yang tak terjangka akan datang dengan sendirinya. Percayalah. Berbanggalah menjadi guru.