Sifat kepimpinan yang ada di dalam dirinya sudah terserlah sejak bangku sekolah lagi apabila sering mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti pengucapan awam seperti pidato, syarahan, bercerita dan sebagainya.

Kepetahannya berbicara di hadapan khalayak ini ternyata menambat hati guru untuk memberi kepercayaan kepadanya dan melantik menjadi pengawas sekolah, seterusnya sebagai ketua pengawas ketika darjah enam.

Minat dalam pengucapan awam diteruskan lagi ke peringkat menengah apabila sekali lagi Muhammad Ammar Rafiq Ruslan atau lebih dikenal Ammar Rafiq diberi kepercayaan menjadi pengawas sekolah bermula ketika tingkatan dua dan kemudian sebagai ketua murid ketika di tingkatan lima.

"Selepas tamat alam persekolahan, saya telah menerima tawaran menyertai PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) yang mana ketika ini, kemahiran kepimpinan saya telah dilatih secara mental dan fizikal seterusnya melayakkan saya menerima Anugerah Pelatih Terbaik Kem," ujar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi & Dakwah) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ini.

Memasuki alam universiti, Ammar Rafiq meneruskan minatnya apabila bergiat aktif dengan menyertai beberapa kelab untuk menimba pengalaman berpersatuan.

Ketika di peringkat ijazah inilah Ammar Rafiq telah mencabar diri untuk bertanding dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisza dan diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Kerja 2.

Kini adalah tahun kedua Ammar Rafiq di dalam MPP Unisza.

Lebih menarik lagi dia diberi kepercayaan ahli MPP apabila dilantik menjadi Presiden MPP Unisza Sesi 2017/2018.

Mengetuai bacaan ikrar MPP Unisza.

Mahu dekati masyarakat Orang Asli 

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Agama Menengah Jeram, seterusnya melanjutkan pengajian peringkat diploma di Unisza dan kini peringkat ijazah sarjana muda, ada sesuatu yang menarik Ammar Rafiq memilih jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi & Dakwah).

"Perkara yang mendorong saya memilih bidang adalah kerana kursus pengajian ini dekat dengan masyarakat yang mana pelajar perlu bersama-sama dengan masyarakat. Antaranya mendekati masyarakat Orang Asli dan lain-lain.

"Kursus ini juga unik kerana ia menggabungkan elemen dakwah dalam memastikan apabila tamat belajar, graduan turutm mempunyai kemahiran berdakwah dan berdepan dengan masyarakat," katanya.

Kata Muhammad Ammar Rafiq, dalam kepimpinan pula, dia menceburinya kerana mahu melatih diri agar sentiasa jadi lebih baik. Ini sebab dia percaya, individu yang baik perlu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Berpegang kepada prinsip itu, saya percaya bidang kepimpinan boleh memberi banyak manfaat kepada orang sekeliling jika kita memimpin dengan cara yang terbaik.

Dalam beribu pelajar di sesebuah universiti, perlu ada ramai yang tampil untuk menjadi wakil mereka.

"Alhamdulillah hasil hubungan yang baik dan elemen profesional yang digunakan dalam berunding dengan pihak pengurusan, urusan saya dan rakan di Unisza amat dipermudahkan.

"Pendorong terbesar saya sudah semestinya ibu dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi. Mereka amat memahami komitmen tugas saya yang menyebabkan saya kurang menghabiskan masa cuti semester di rumah kerana perlu melunaskan tanggungjawab di kampus," jelasnya lagi.

Sebagai mahasiswa yang mempunyai banyak komitmen, Ammar Rafiq akan memastikan pembahagian masa antara aktiviti dan pembelajaran harus terurus dengan betul.

"Saya membahagikan masa dengan membuat jadual aktiviti mingguan dan ia perlu dipatuhi. Sekiranya tidak hadir ke kuliah, saya akan berhubung dengan pensyarah dan rakan sekelas untuk mengulang kaji semula topik yang terlepas.

"Kejayaan saya pada hari ini pastinya tak lain adalah disebabkan bantuan rakan yang cukup memahami tugas saya dan tidak pernah jemu untuk membantu hal pengajian," katanya.

Menurut Muhammad Ammar Rafiq, prindipnya seaktif manapun kita, akademik bukan nombor dua.

"Maksudnya tugas hakiki seseorang mahasiswa adalah belajar, maka saya sering mengingatkan diri bahawa terlibat aktif dalam banyak aktiviti bukanlah menjadi alasan untuk tidak cemerlang akademik.

"Dalam erti kata lain, mesti seimbang iaitu cemerlang akademik dan kemahiran insaniah," ujarnya.

Pendebat Terbaik dalam salah satu kejohanan debat antara IPT.

Jangan mudah selesa

Sudah semestinya apabila bergiat aktif dan terlibat dalam bidang kepimpinan, banyak perkara pahit dan manis yang perlu ditempuhi.

Akui Ammar Rafiq, antara yang menjadi dorongannya adalah kekuatan tekad dan azam supaya tidak sesekali tunduk pada tekanan.

"Saya juga percaya, keadaan saya pada hari ini bukanlah disebabkan kehebatan diri saya semata-mata sebaliknya hasil doa, sokongan dan dorongan orang sekeliling.

"Itulah menjadi penguat untuk terus memberikan yang terbaik kerana kita tidak pernah sedar betapa sebenarnya ramai yang terlibat dan menyumbang dalam membentuk siapa diri kita pada hari ini," katanya.

Selain itu, pesan Muhammad Ammar Rafiq, kita jangan mudah selesa dengan keadaan semasa dan perlu sentiasa mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

"Peluang banyak tersedia di depan mata. Jika tak berjaya bukan ertinya gagal, sebaliknya ia adalah sesi refleksi apa yang kurang dan tambah baik untuk mencuba peluang lain," katanya.

Menerima watikah pelantikan MPP daripada Naib Canselor Unisza, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Profil

Nama: Muhammad Ammar Rafiq Ruslan

Umur: 23 tahun

Adik-beradik: Anak ketiga daripada enam beradik

Asal: Kampung Ijok, Kuala Selangor

Pencapaian:

1. Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

2. Ikon Mahasiswa Nasional 2017

3. Presiden MPP Unisza

4. Calon Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan (Kategori Kesukarelawanan)

5. Tokoh Sukarelawan Harapan Unisza

6. Johan Debat Teknologi UMP

7. Pendebat Terbaik beberapa kejohanan debat antara IPT

Pembabitan aktiviti peringkat antarabangsa:

1. Mewakili Mahasiswa Malaysia ke Program Jenesys anjuran Kerajaan Jepun di Tokyo

2. Mewakili Malaysia sebagai Sukarelawan Siswa ke Program GSVC anjuran Kerajaan Vietnam

3. Pengarah Program Kembara Mahasiswa Unisza ke bumi Turki di Istanbul.