Aktif, berkeyakinan tinggi dan sentiasa ingin ke hadapan. Itulah antara ciri-ciri yang ada pada diri Saffiah Khadeejah Noor Azhar, 12 yang melayakkannya menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum 2017 oleh pihak sekolah baru-baru ini.

Saffiah Khadeejah telah dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum SK Pengkalan 2017.

Murid ini yang mesra dengan panggilan Saffiah yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan di Lahat, Perak ini sememangnya gemar menyertai pelbagai pertandingan anjuran sekolahnya.

Pembabitannya dalam pelbagai pertandingan seperti pertandingan bercerita, bicara berirama, catur dan lain-lain membuatkannya layak menerima anugerah ini.

Sebagai seorang Pengawas di sekolah, ternyata Saffiah mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang baik, selain berkeyakinan tinggi dan sentiasa ingin ke hadapan. Dek kerana sifat-sifat semula jadi yang ada pada dirinya inilah yang membuatkan Saffiah sering tidak gentar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan tidak kekok berada di atas pentas untuk berhadapan dengan penonton.

Bakatnya mula digilap sewaktu tahun 3 lagi apabila memenangi pertandingan bercerita Tahap 1.

Jika diimbas kembali zaman kecilnya, bakat bercerita Saffiah mula dikesan sejak berusia tiga tahun. Ketika itu, dia terpilih untuk menyertai pertandingan bercerita tahap satu. Menurut ibunya, Saffiah sebenarnya telah mempamerkan bakat semulajadinya itu seawal umur empat tahun lagi apabila sering membuat persembahan di sekolah. Sehingga kini, Safiah telah menyertai pelbagai pertandingan dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Saffiah Khadeejah sedang beraksi di pentas Pertandingan Bicara Tunas Orator Milenia Peringkat Kebangsaan.

Sempat berlatih di belakang pentas.

Saffiah mengakui, kejayaannya pada hari ini banyak mendapat dorongan daripada ibu bapa dan guru-guru. Sementelahan pula, Saffiah sendiri memang aktif dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap pertandingan yang disertai. Jadi, kejayaan dan kemenangan itu lebih mudah untuk digapai hasil usaha pelbagai pihak.

Bagi guru besar SK Pengkalan, Aslinda Saari menyifatkan Saffiah sebagai murid yang berani dan sentiasa berusaha mempamerkan bakatnya menerusi pelbagai pertandingan.

ASLINDA SAARI

”Saffiah Khadeejah merupakan seorang murid yang berketrampilan serta mempunyai keyakinan diri yang cukup tinggi. Selain itu, sifat kepimpinan juga jelas terserlah dan berani dalam menghadapi apa jua cabaran dalam usaha mencapai kejayaan dalam sebarang aktiviti yang disertainya.

Bukan itu saja, malah dia juga mempunyai keperibadian yang tinggi serta disenangi oleh semua guru dan rakan taulan,” katanya.

PENCAPAIAN:

1. Menyertai Pertandingan Bicara Tunas Orator Milenia peringkat Kebangsaan

2. Menyertai Pertandingan Bercerita Tahap 2 peringkat Negeri (Tempat ketiga)

3. Menyertai Pertandingan Pidato Piala Diraja peringkat Negeri

4. Menyertai Pertandingan Mendirikan Khemah dan Gajet Karnival PPIM peringkat Negeri Perak

5. Menyertai Pertandingan Catur peringkat Daerah

6. Menyertai Pertandingan Bicara Berirama peringkat Daerah

7. Menyertai Pertandingan Tilawah Al Quran peringkat Zon

8. Menyertai Pertandingan Hafazan peringkat Zon

9. Menghafal Surah Al Mulk sempena aktiviti Ihya Ramadhan peringkat Sekolah

10. Tokoh Kokurikulum sempena Hari Anugerah Kokurikulum SK Pengkalan

Saffiah Khadeejah bersama kedua ibu bapanya selepas menerima hadiah tempat ketiga Pertandingan Bercerita peringkat Negeri.

Berjaya ke peringkat negeri dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja.

Ketika menyertai Pertandingan Mendirikan Khemah Karnival PPIM peringkat negeri.

Ketika menjadi johan bercerita peringkat daerah untuk melayakkannya ke pertandingan peringkat negeri.

Beraksi dalam pertandingan Kalam Jamai'e peringkat Daerah.