Asalnya ketika dalam peperiksaan A-Levels, dia memilih bidang sains dan matematik, namun sejak sering membaca isu berkaitan kehidupan susah ramai orang, minat dan kecenderungan Khalis Khalid beralih ke bidang perundangan pula.

"Saya sedar yang undang-undang adalah cara untuk memudahkan hidup ramai orang dan menegakkan hak mereka.

"Disebabkan itulah saya memilih bidang ini agar dapat membantu lebih ramai orang dengan ilmu perundangan saya," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya yang juga penuntut tahun tiga Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim (Kulliyyah of Laws), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak ini.

Pada masa sama, Khalis, 22, juga sebenarnya salah seorang pendebat utama bukan sahaja mewakili UIAM, bahkan sudah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia ke pertandingan debat peringkat antarabangsa. 

Malah dia baru sahaja dinobatkan Juara Asian British Parliamentary 2018 yang diadakan di Hanoi, Vietnam. 

"Walaupun saya pelajar undang-undang dan memang kesempitan masa, saya kekal memilih debat sebagai aktiviti kokurikulum. 

"Setiap hujung minggu, saya mesti libatkan diri dalam pertandingan debat, sama ada berdebat, menghakimkan ataupun mengurus sebuah pertandingan. Kalau saya tak belajar undang undang atau berdebat, kemungkinan besar saya tengah melibatkan diri dalam permainan catur," katanya.

Kata Khalis, impian sebenarnya adalah ingin menubuhkan NGO untuk mendidik pelajar yang tidak bernasib baik dan tidak berpeluang melibatkan diri dalam dunia debat. 

Baginya, kokurikulum seperti debat dan catur bukan sahaja mencabar untuk mengasah pemikiran kritis dan juga strategi dalam memenangi sesuatu perdebatan atau percaturan, tetapi juga memberinya peluang mewakili universiti ke serata dunia seperti Taiwan, Mexico, UK dan lain-lain.

Sesi penganugerahan selepas kejayaan di kejohanan ABP 2018 di Hanoi.

Pupuk keyakinan diri

Tambah Khalis lagi, selain minat, orang sekeliling juga merupakan pendorong dan pencetus motivasi buat dirinya untuk fokus dalam bidang debat.

"Mereka yang dalam kelab MUN (Model United Nations) dan siswa Yayasan Khazanah sentiasa menggalakkan saya untuk cuba berdebat kerana aktiviti ini membuatkan saya lebih bersedia untuk memohon biasiswa Rhodes bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Oxford.

"Debat juga telah memupuk keyakinan dalam diri untuk berhujah depan khalayak ramai. Contohnya, dalam pusingan akhir di Asian British Parliamentary (ABP), beratus orang mendengar kata-kata saya," katanya.

Justeru, Khalis berkata keyakinan yang dimiliki hanya boleh didapati apabila dipaksa berhujah dengan kerap.

"Saya juga rasa skil berhujah di depan ramai merupakan skil yang penting  dan dapat digunakan pada masa depan," katanya yang menganggap kemenangan sebagai juara ABP berkenaan sebagai amat nostalgik.

Katanya, apabila berdiri di pentas ketika pusingan akhir selain rakan debatnya Syarif dan dua lagi pasukan dari Malaysia, dia rasa bangga sangat sebagai pemuda Malaysia, tambahan lagi apabila mereka meletakkan Jalur Gemilang di atas meja ketika berhujah.

"Semangat cinta pada Malaysia memang tak dapat nak terangkan," imbasnya lagi.

Jangan putus asa

Menurut Khalis, tidak banyak beza cabaran sebagai pelajar mahupun orang kebanyakan.

Apa yang penting dalam kehidupan seharian adalah kebijaksanaan mengurus gaya hidup terutama masa.

"Sibuk bagaimanapun seseorang itu, paling penting dalam membahagikan masa dengan betul adalah disiplin. Saya rasa banyak perkara lain yang patut dikurangkan, contohnya masa menggunakan media sosial dan juga lepak yang menelan terlalu banyak masa.

"Satu lagi, 'perseverance is key'. Ketabahan adalah kunci. Jangan putus asa walaupun kita dalam kesusahan. Saya percaya, kalau kita bersabar dan sentiasa mengambil kesusahan itu sebagai pengajaran, Tuhan akan sentiasa membantu kita dalam mengharungi apa sahaja," katanya berkongsi motivasi diri.

Info

Nama penuh: Khalis Khalid

Asal: Kluang, Johor

Adik-beradik: 5 orang (anak ke-5)

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

Darjah 1-6: SK Cyberjaya

Tingkatan 1-3: SMK Cyberjaya

Tingkatan 4-5: Asia Pacific Smart School

Pencapaian akademik/ kurikulum:

• Anugerah Dekan 3 semester berturut-turut

• Siswa Yayasan Khazanah

• Juara Asian British Parliamentary 2018 di Hanoi, Vietnam

• Wakil Asia untuk World’s University Debate Championship Council 2018

• Hakim untuk pusingan separuh akhir World’s University Debating Championship 2018 di Mexico & Seoul Open 2018 di South Korea

• Ketua Hakim Chung-Ang University (CAU) Debate Open di South Korea 2018

• Naib Johan kategori ESL untuk Oxford Intervarsity Championship 2017

• Naib Johan Asian British Parliamentary 2017 di Krabi, Thailand

• Pendebat separuh akhir untuk Cambridge Intervarsity Championship 2017