Gara-gara suka perkara yang mencabar sejak kecil, anak lelaki sulung kelahiran Mersing yang satu ini memilih untuk menyertai pasukan polis selepas tamat persekolahan pada 1962.

Tan Sri Shamsuri Arshad, 75, berkhidmat selama 34 tahun sebelum bersara dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara selama tiga tahun.

“Sejak sekolah saya memang suka aktiviti mencabar lebih-lebih lagi saya duduk kampung. Panjat pokok, tidur dalam hutan, memancing di laut dan macam-macam lagi saya buat zaman kecil dulu.

“Arwah bapa saya pula memang jaga disiplin kami adik-beradik lapan orang. Solat memang dijaga, mesti jemaah di surau, mungkin dari situ juga saya lebih menjaga disiplin,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing, menyambung pengajian di English College di Johor sebelum ke London mengambil ijazah undang-undang.

Sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Negara, beliau pernah dilantik sebagai ketua polis negeri di Selangor dan Perak, selain menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah lalu ke London selama setahun bersama 82 pegawai keselamatan dari seluruh negara pada 1992.

Menurutnya, pelbagai pengalaman dilalui sepanjang bertugas sebagai pegawai polis termasuk mengendalikan kes lanun, samun besar-besaran dan penculikan.

Shamsuri dan isterinya bersama cucu-cucu mereka.

Aktif badan dakwah

Setelah bersara, beliau kini memilih untuk aktif dengan Majlis Dakwah Negara.

Shamsuri akui penglibatannya dalam badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat terutama generasi hari ini.

Kataya, orang kita perlu hidup berteraskan agama Islam supaya dapat melahirkan masyarakat yang bermaruah.

“Jati diri mesti ada walau siapapun kita, jangan jadi lalang tapi jadilah padi. Maka tidak akan timbul isu integriti.

“Kalau jadi pemimpin, doktor, jurutera atau apa sekalipun kerjaya kita, perlu ada keimanan dan takwa. Bentuk jati diri itu dari luar dan dalam.

“Belajarlah setinggi mana, sampai ke bulan sekalipun, jangan diabaikan agama kerana itulah yang membentuk jati diri kita,” katanya.

Meskipun sudah berhijrah ke Kuala Lumpur sejak puluhan tahun lalu, Shamsuri sering pulang ke kampung halamannya walaupun kedua ibu bapanya sudah tiada.

“Masih ada kakak saya di Kampung Sawah Dato’. Saya memang suka dengan Mersing dari dulu lagi. Alhamdulillah Mersing hari ini begitu bersih, itu kita jaga bersama-sama,” katanya.

Shamsuri yang mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Noraini Yahya dikurniakan empat cahaya mata dan 13 cucu.

Shamsuri sewaktu berucap pada majlis Solidariti Ex Sri Mersing, baru-baru ini.