Asalnya dia seorang yang pendiam, pasif dan kurang keyakinan diri.

Lama-kelamaan, Ahmad Safiuddin Ibrahim, 22, sedar dia tidak boleh terus berada dalam 'dunia'nya sendiri.

Lantas, demi mengubah sifatnya itu, Ahmad Safiuddin cuba menceburi pelbagai aktiviti terutama yang berkaitan kemasyarakatan.

"Setiap aktiviti yang saya ceburi selain minat, saya akan pastikan ada nilai yang diperoleh untuk bantu karier dan masa depan saya. Paling penting, bukan hanya bantu diri sendiri, tapi pengisian dan nilai aktiviti itu saya boleh kongsi dengan masyarakat.

"Sebab itu sebelum saya buat sesuatu, ada satu soalan yang saya akan fikirkan; “Macam mana aku nak kongsi dengan orang lain?,” katanya yang berjaya 'keluar' daripada kongkongan berkenaan apabila menjadi salah seorang pendebat utama mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM).

Memilih program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian), UUM, menurut Ahmad Safiuddin, pada mulanya dia memilih untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang bagi memenuhi cita-citanya menjadi seorang peguam sebelum menceburkan diri dalam politik.

"Tetapi saya tertarik dengan komponen falsafah yang saya belajar seawal semester pertama Asasi Pengurusan. Bagi saya, ilmu falsafah adalah ibu segala ilmu. Sudut pandang pemikiran saya jadi luas terutama dalam memahami sesuatu isu dan keadaan, menilai dan mengkaji untuk mencari kebenaran mengenai sesuatu perkara.

"Paling menarik, gabungan tiga komponen falsafah, undang-undang dan perniagaan sangat dekat dengan minat saya," jelasnya yang turut aktif dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, memberikan ceramah motivasi, kepimpinan serta bengkel pengucapan awam di sekolah dan universiti.

SYARIKAT SENDIRI

Turut meminati bidang perniagaan, dia membangunkan syarikat sendiri, SFS Biz Generation yang menyediakan platform perniagaan kepada usahawan muda dan Thinkers Circle Training & Consultation sebagai konsultan bagi menjalankan aktiviti kejurulatihan.

"Tetapi, saya bermula dengan aktiviti debat yang memberikan kesan dalam hidup saya. Saya mula terlibat dalam debat sejak tingkatan 1 pada 2009 menerusi 'Debat Kemerdekaan'.

"Bertambah semangat bila saya ikuti perbahasan ahli parlimen di Dewan Rakyat menerusi TV. Setiap hari saya akan menonton video perbahasan dan ceramah politik. Saya cuba belajar seni penyampaian, karisma dan gaya fikir mereka," katanya.

Kata Ahmad Safiuddin,  antara individu pada ketika itu yang dia suka ulang tayang gaya perbahasan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Menurutnya, dia yang mewarisi bakat debat ayahnya, Ibrahim Baba.

"Sebenarnya saya baru maklum ayah saya pun terlibat dalam debat apabila terlihat sekeping gambar ayah berdebat yang mana posisi dan gayanya hampir sama dengan gambar dan gaya saya berdebat. Mungkin kebetulan, tapi ayah dan keluarga sangat supportive," tambahnya.

Katanya, dia mendapat bimbingan daripada mentornya sejak 2009, Allahyarham Harmi Mohamad Jamil dan Rizal Safari Mahmud.

KERJA BERPASUKAN

Baginya, aktiviti pengucapan awam khususnya perdebatan bukan untuk tunjuk siapa menang siapa kalah atau siapa lemah dan siapa yang hebat, sebaliknya perdebatan mengajar untuk berfikir secara mata helang, toleransi dalam menerima dan menguruskan perbezaan pendapat.

"Berdebat adalah kerja berpasukan. Kita akan belajar macam mana kerja berpasukan dengan tekanan dan cabaran yang pelbagai. Daripada situ kita akan bina keyakinan dalam menyampaikan sesuatu terutama apabila kita menjadi ketua.

"Daripada aspek lain, kita tidak rugi sebab debat akan latih kita untuk cakna dengan perkembangan semasa dalam pelbagai bidang. Ini bonus! Berdebat juga bukan untuk pertandingan semata-mata tetapi kemahiran berfikir dan berkomunikasi. Jadi jangan takut untuk berdebat," katanya yang merupakan salah seorang ahli pasukan Pencadang yang dinobatkan Johan dalam Debat Siswa RTM-RTB 2018.

Profil

Nama penuh: Ahmad Safiuddin Ibrahim

Asal: Semenyih, Selangor

Adik-beradik (anak ke berapa): Lima beradik, anak bongsu

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

• Sekolah Kebangsaan Serdang (SKS): 2003-2008

• Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Serdang (SMKSS): 2009-2013

 Pendidikan sekarang (jurusan/bidang pengajian/IPT):

• Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (2014-2015)

• Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian)

Pencapaian:

• Johan Debat Siswa RTM-RTB 2018

• Pendebat Terbaik Diskusi Negaraku Demokrasi Berparlimen & Raja Berperlembagaan, Negeri Kedah 2017

• Perwakilan Parlimen Mahasiswa 2016

• Delegasi ke Intellectual Discourse: UUM-NUS Singapore 2016

• Anugerah Tokoh Pelajar Pusat Asasi Pengurusan 2015

• Pembahas Terbaik Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2013

• Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2013

• Naib Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2012

• Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2011