Dilahirkan dalam keluarga sederhana tidak menjadi penghalang kepada anak bongsu daripada lima beradik ini untuk menggenggam ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada usia 26 tahun.

Berpegang kepada kata-kata ‘don’t rest till you beat the best’, Dr Nor Hasrul Akhmal Ngadiman mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jaya.

Ketika itu dia berjaya lulus Peperiksaan Tahap Satu (PTS) yang membolehkannya melangkah terus ke darjah lima dari darjah tiga.

Dengan berbekalkan keputusan cemerlang ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia meneruskan persekolahan pada peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab.

Minat bidang kejuruteraan

Minat yang mendalam dalam bidang kejuruteraan membuatkan anak jati Kota Tinggi ini memilih melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru sebelum meneruskan pengajian di Matrikulasi Johor dan kemudian mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Nor Hasrul bukanlah seorang yang pasif ketika di bangku sekolah, buktinya dia berjaya memenangi anugerah pembahas terbaik Johor Bahru.

Ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia merupakan pelajar terbaik aliran teknikal dan pelajar terbaik keseluruhan SPM 2006 sekali gus dinobatkan sebagai Tokoh Sri Dagang 2006.

Sifat kepimpinan terus terserlah ketika di universiti apabila dia menyandang beberapa jawatan penting seperti Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, Presiden Anak Johor UTM (Sejati UTM), Pengerusi Majlis Perundingan Kolej (MPPK), UTM dan pelbagai lagi.

Terima banyak anugerah

Biarpun aktif kokurikulum, akademik tetap tidak dilupakan apabila Nor Hasrul mendapat anugerah dekan pada setiap semester sehingga tamat pengajian dan juga pernah mendapat keputusan 4.00.

Dia juga adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Anugerah Kecemerlangan Akademik Kolej Tuanku Canselor, Anugerah Akademik UMW Holdings sempena Majlis Konvokesyen UTM yang ke-49.

Menerima Anugerah Graduan Terbilang Kebangsaan 2016 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Melalui pencapaian yang memberangsangkan, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran terus ke peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di bawah program fast track.

“Bagi saya ilmu sangat berharga, sebab itu masa saya terima tawaran belajar ini saya tidak kisah lepaskan tawaran bekerja sebagai jurutera mekanikal di sebuah syarikat cari gali minyak yang berpangkalan di Houston, Amerika Syarikat,” katanya.

Peluang melanjutkan pengajian di peringkat PhD tidak disia-siakan anak jati Kota Tinggi ini apabila dia bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik dalam setiap tugasannya.

Nor Hasrul (kanan) ketika menjuarai kategori Kejuruteraan dan Sains Sosial pertandingan 3MT (Minute Thesis) peringkat kebangsaan.

Hasilnya, kajian yang dihasilkan berimpak tinggi sehingga memenangi beberapa anugerah seperti Pingat Emas dan Anugerah Khas Juri di Industrial Art & Technology Exhibition (Inatex) 2015, Anugerah Poster Terbaik ketika International Symposium on Green Manufacturing and Applications 2016, johan bagi 3MT (Minute Thesis) kategori kejuruteraan bagi peringkat UTM, kebangsaan dan Asia.

Penulisan berkenaan kajiannya juga telah diterbitkan oleh beberapa jurnal antarabangsa.

Selain itu, Nor Hasrul juga pernah terpilih sebagai penyelidik di Korea Institute Materials Science (KIMS) pada 2014 serta mewakili UTM di beberapa persidangan atau pembentangan antarabangsa.

Aktif program kepimpinan, kemasyarakatan

Biarpun sibuk dengan pengajiannya, Nor Hasrul tetap aktif dengan aktiviti kepimpinan dan juga kemasyarakatan.

Bersama Datuk Seri Dr Adham Baba dan masyarakat dalam program Khidmat Bakti Servis Motosikal.

Malah dia juga menyandang beberapa jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pengerusi Gerak Remaja 4B Negeri Johor, Pengerusi Kelab Wadah Pemikir 1Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Presiden Pertubuhan Strategis Bersatu dan Setiausaha Kelab Generasi Ilmu 1Malaysia.

Bersama pasukan bola sepak TKJ FC 8.

Khidmat bakti menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada warga setempat yang sakit.

Keberkatan ibu bapa penting

Kejayaan demi kejayaan dilakar anak muda ini, malah ketika menamatkan pengajiannya, Nor Hasrul juga telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Pasca Siswazah UTM dan menerima Anugerah Canselor ketika Majlis Konvokesyen UTM 2016 yang disampaikan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Bersama ibu tercinta ketika Majlis Konvokesyen UTM.

“Detik paling membanggakan juga apabila saya memenangi Anugerah Graduan Terbilang Kebangsaan 2016 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mungkin orang lihat perjalanan saya mudah, namun semuanya itu sekiranya tiada usaha dan fokus serta tidak mendapat keberkatan daripada kedua ibu bapa pastinya kejayaan itu tidak dapat diraih," katanya.

Menurutnya, usaha keras dalam diam sangat berguna supaya kita terus fokus dan akhirnya biarlah kejayaan kita itu yang membuktikannya kepada semua,” katanya.

Kini anak muda ini bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Bahan, Pengeluaran dan Industri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM dan juga merupakan Pengerusi Pembangunan Pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM.