Ditugaskan menerajui sebuah sekolah menengah terbaik di Malaysia tentunya bukan mudah.

Pelbagai tanggungjawab perlu digalas dalam memastikan sekolah tersebut kekal sebagai sekolah yang terbaik seperti sebelumnya.

Bagi [email protected] Mohamed, pengetua baharu Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) yang memulakan tugas pada 23 Disember 2018, bertekad akan meletakkan Sesma di Top SBP dan memastikan Sesma lebih berkualiti serta kemenjadian pelajar lebih hebat ke peringkat antarabangsa.

"Terkejut dan dalam masa sama bersyukur kerana diberi penghargaan untuk menyumbang khidmat, pengalaman serta kepakaran di Sesma.

"Sememangnya ini tanggungjawab yang lebih besar kerana Sesma bukan calan-calang sekolah kerana ia merupakan sekolah berasrama penuh (SBP) harapan negara," katanya.

Kata beliau, semua pelajarnya adalah yang terpilih dalam kalangan terbaik dari seluruh negara dan memerlukan sentuhan serta gaya kepimpinan yang membawa impak yang tinggi," katanya kepada GPSBestari.

Menurut Kamsah, ini kali pertama beliau ditugaskan untuk menerajui SBP.

"Sebelum ini, saya berkhidmat di sekolah harian biasa saja.

"Bermula dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Gelanggi, Jerantut Pahang sebagai guru penolong hinggalah ke beberapa sekolah iaitu SMK Sultan Mansor, SMK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, SMK Tengku Bariah dan SMK Belara sebagai pengetua," ujarnya.

Jelas beliau, usaha keras dan bersungguh-sungguh perlu dilakukan kerana Sesma sudah melakar kecemerlangan yang tersendiri sebelum ini.

"Bila datang ke sini, satu debaran buat saya. Dengan guru-gurunya yang hebat dan seluruh pelajarnya yang sangat cemerlang, hebat hingga berjaya ke peringkat antarabangsa dalam bidang masing-masing.

"Saya sangat berharap, warga Sesma dapat menerima saya dan kita dapat bekerjasama dengan baik kelak," katanya.

Beliau berharap Sesma berada pada ranking paling atas daripada 68 SBP di seluruh negara sama ada dalam bidang akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

 

Kamsah menggunakan PdPc Smart Learning dalam kelas menggunakan Ipad app dan Apple TV.

 

Pendekatan tersendiri

Kamsah merupakan pengetua kesembilan Sesma manakala lapan pengetua sebelumnya semuanya dikategorikan sebagai pengetua hebat.

"Lapan pengetua terdahulu seperti Cikgu Noor Aza Abd Aziz hebat-hebat belaka. Mereka menjadi ikon, idola dan suri teladan kepada saya.

"Mereka telah meletakkan Sesma di persada kebangsaan dan antarabangsa dan saya perlu meneruskan legasi yang mereka tinggalkan agar Sesma lebih hebat lagi," ujarnya.

Kata Kamsah, setiap pengetua ada pendekatan tersendiri dan begitu juga beliau yang akan utamakan kebajikan, sentiasa hormat menghormati, kasih sayang, bina hubungan yang baik dengan seluruh warga dan kejelekitan dan solidariti.

"Saya juga menggunakan pendekatan tegas dan berperaturan, kerja berpasukan, dahulukan perkara pertama, susah senang bersama, kepimpinan Instruksional dan banyak lagi," katanya.

Prinsipnya, sentiasa berpandangan positif, jadi pendengar yang baik, memuhasabah diri dan mengutamakan keseronokan bekerja.

Sepanjang bergelar pendidik, pelbagai kenangan manis dan indah dilalui oleh cikgu berusia 50 tahun ini.

"Walaupun masih baru berada di SBP, tetapi saya seronok. Banyak beza antara SBP dan sekolah harian biasa, SBP memerlukan pengorbanan masa selama 24 jam kerana semua berada di asrama dan perlu tumpuan sepenuhnya kerana guru berperanan sebagai ibu bapa gentian ('in loco parantis').

"Di sekolah harian pula, cabaran pun hebat juga terutama dalam menangani masalah sahsiah dan disiplin pelajar tetapi kalau berjaya membentuk akhlak mereka, itu kejayaan dan kepuasan yang terbaik kepada saya," katanya.

Sepanjang menjadi pendidik, kejayaan yang dianggap paling besar dalam hidupnya adalah ketika menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Kompleks Gong Badak apabila sekolah itu berjaya mendapat Pengurusan Kokurikulum Terbaik Sekolah Menengah Peringkat Negeri Terengganu.

"Ketika di SMK Tengku Bariah pula ketika menjadi Penolong Kanan HEM, antara yang paling tak dapat lupa, berjaya membawa Unit Bimbingan dan Kaunseling di bawah Pengurusan HEM ke peringkat kebangsaan dalam Amalan Terbaik Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah," jelasnya.

 

PROFIL

Nama: Kamsah @ Kamal Mohamed

Umur: 50 tahun

Asal: Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu

Akademik: SK Rengas Bekah ; SMK Sultan Ahmad (SPM); SMK Padang Midin (STPM)

          - USM (bidang Sains Sosial, Major Sains Politik, minor Sejarah)

          - UPSI Tanjung Malim, Perak (KPLI - bidang Bahasa Melayu dan Sejarah)

          - Diploma Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan serta Sijil Kelayakan Profesional

            Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki.

 

Anugerah:

          1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2002, 2009

          2) Anugerah Pengurusan Koko terbaik negeri - semasa PKKO

          3) Anugerah Amalan Terbaik Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan - ketika PKHEM

          4) Anugerah Amalan Terbaik Pengetua Kebangsaan - Pengetua di SMK Belara

 

Perkhidmatan:

              - Guru Penolong SMK Kota Gelanggi, Jerantut Pahang (1996-2001)

              - Guru Penolong SMK Sultan Mansor Kuala Terengganu (2002-2011)

              - Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus (Ogos 2011-2013)

              - Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu (Disember 2013-2017)

              - Pengetua SMK Belara, Kuala Terengganu (Januari 2017-2018)

              - Pengetua Sesma (23 Disember 2018 hingga kini)  

 

Hobi : Membaca, menulis dan melancong

Jawatan kini : Pengetua Sesma

               Panel AKRAM Bahasa Melayu SPM

               Penggubal soalan SPM Terengganu  

               Pembina Modul BM SPM Negeri Terengganu Peringkat PPDKT dan JPNT

               Penolong Setiausaha Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Negeri Terengganu

Nama isteri: Asbaida Muhamad Bakri (guru SMK Panji Alam Kuala Terengganu)

Anak: Lima orang (4 lelaki seorang perempuan)  

 

Kamsah melakukan pemantauan kelas malam pelajar Sesma.

 

Bersama pelajar tingkatan 5 ketika berkunjung ke asrama putera.