Afyan Mat Rawi terlibat dengan dunia perkhidmatan kewangan awal 2003, selepas menamatkan pengajian dalam Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim di Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, sebagai ejen takaful.

Ketika itu, Afyan menjadi ejen separuh masa dan pada masa sama berniaga secara kecil-kecilan. Bermula dengan berniaga di pasar malam dan bazar, kemudian menjual buku sehinggalah kepada alat tulis.

Semua telah beliau lakukan kerana minatnya untuk berniaga.

Sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam perkhidmatan kewangan merangkumi insurans, unit amanah, wasiat dan hartanah secara sepenuh masa pada 2006.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Terengganu ini, melihat kerjaya sebagai ejen takaful yang kebanyakannya lebih kepada jurujual, Afyan terfikir untuk membawa kelainan kepada ejen takaful pada masa datang.

Maka, lahirlah Infaq Consultancy Sdn Bhd yang beroperasi di Lembah Klang dan melatih lebih ramai ejen untuk membantu masyarakat yang memerlukan khidmat konsultasi.

"Saya mahu menjadikan ejen takaful ini bukan semata-mata jurujual produk tetapi sebagai konsultan pengurusan kewangan.

"Sebab itu, saya tubuhkan syarikat ini sebagai trendsetter di dalam industri perkhidmatan kewangan," katanya.

Setakat ini, Afyan telah melatih lebih 100 ejen takaful di seluruh negara.

Kini, Afyan merupakan seorang perunding bertauliah daripada Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) di bawah Bank Negara
Malaysia (BNM).

Dia juga merupakan pelatih dan perunding kanan syarikat itu yang menyediakan perkhidmatan dalam bidang servis kewangan serta konsultan untuk latihan kewangan dan pengurusan harta.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang hartanah, anak kelahiran Selangor yang membesar di Terengganu ini berkata, pelaburan merupakan salah satu daripada tujuh aspek dalam perancangan kewangan.

"Tujuh aspek itu adalah aliran tunai, networth, simpanan, takaful, pelaburan, zakat dan penyucian harta dan wasiat serta pembahagian harta.

"Ketika membuat konsultan mengenai kewangan, ramai mahu memiliki kediaman sendiri. Oleh itu, secara tidak langsung saya juga memberi khidmat nasihat bagaimana mahu membeli
rumah," katanya.

Menurutnya, dia banyak menimba ilmu pengetahuan berkaitan hartanah menerusi pembacaan dan juga menghadiri seminar, forum, kursus hartanah, dalam usahanya untuk memperkukuhkan pengetahuannya dalam bidang tersebut.

"Saya memang suka pelaburan dan salah satu daripadanya adalah pelaburan hartanah. Selain itu, saya juga melabur dalam saham dan unit amanah," katanya.

Afyan kini telah membeli tiga buah rumah bagi tujuan pelaburan dan merancang untuk memiliki rumah lagi pada masa akan datang.