JIKA ditakdirkan anda dianugerahkan anak autisme, apa yang anda akan lakukan? Sembunyikan mereka atau biarkan si kecil terus berada dalam dunia mereka  sendiri tanpa dibela?

Sesungguhnya, tiada apa yang perlu dimalukan  mempunyai anak austisme ini.

Mereka seperti makhluk ALLAH yang lain. Bezanya memiliki kekurangan dari aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku, bukannya kurang upaya.

Di Malaysia, tanda autisme dikatakan sering gagal dikenal  pasti pada peringkat awal.

Berbeza dengan Amerika Syarikat dan Singapura yang menyaksikan kanak-kanak autisme berjaya didiagnos ketika berusia tiga hingga empat tahun.

Mereka juga mempunyai banyak pusat atau sekolah khas  bagi memberi pendidikan dan terapi untuk kanak-kanak kategori ini.

Pada edisi kali ini, Sihat:Aktif akan membincangkan mengenai perihal autisme yang empat kali ganda lebih kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki.

Ikuti juga kisah personaliti Irin Putri Azmi tentang bagaimana beliau menjaga anak istimewanya berusia 10 tahun.

Anak sulung Irin peka, suka bunyi-bunyian

SEAWAL usia dua tahun setengah, Raees Aryan Ezmir atau Raees belum boleh bercakap. Kehendaknya juga sukar difahami.

Ini menyebabkan ibunya, Irin Putri Azmi mengambil keputusan  membawa Raees bertemu pakar.

"Doktor beritahu yang anak  saya perlukan lebih banyak interaksi. Jadi, pada usianya tiga tahun, saya hantar Raees ke taska supaya dia boleh berkawan," kongsi produser yang juga personaliti televisyen popular itu.

Bagaimanapun, menurut Irin, meskipun ke taska, Raees  masih tidak berkomunikasi seperti kanak-kanak lain. 

"Kemudian, kami bawanya berjumpa pakar dan pergi ke program intervensi anak autisme.

"Pada awal tumbesarannya, Raess juga selalu nampak tak keruan, seperti mencari sesuatu terutama bunyi. Ada ketikanya saya mengaku sukar nak kawal dia," kata  Irin yang turut menyediakan kelas terapi khas untuk zuriat tersayang itu.

Dari semasa ke semasa, personaliti itu bersyukur, Raess, 10, kini mampu berkomunikasi serba sedikit, selain tahu  meminta apabila mahu sesuatu.

Menceritakan kelebihan anak sulung daripada dua beradik itu, personaliti itu  berkata, anaknya sensitif kepada bunyian audio seperti muzik.

"Kadang-kadang kita cakap dengandia, dia tak respons tetapi bila dengar lagu, Raees boleh ikut. Dia suka main piano dan belajar sendiri," katanya.

Kepada Sihat:Aktif Irin berkata, menjadi ibu kepada anak istimewa telah  mengajarnya erti kesabaran.

"Tak dinafikan adakalanya saya jadi ‘singa’ di rumah, seperti  juga ibu-ibu lain.

"Namun, jadi 'singa' tak lama sebab Raees seorang anak yang sangat penyayang dan manja. Saya selalu dapat peluk cium daripada dia terutama bila pulang dari kerja," katanya dengan nada terharu.