"Apabila berdepan dengan kesukaran atau cabaran dalam hidup, saya mengajar diri untuk bertahan, kuatkan semangat dan mengharungi saat itu dengan berani dan tidak melarikan diri.

"Apa yang saya lakukan adalah demi tugas dan komitmen kerjaya, reda ALLAH, reda suami dan ibu bapa serta reda guru, amat saya utamakan," kata Cikgu Nor Hafizah Mahmud, 39.

Guru Kaunseling Sepenuh Masa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, Alor Setar, Kedah ini mengakui, menjadi pendidik bukan mudah. Hanya minat mendalam mampu menjadikan kerjaya murni itu berjalan dengan lancar.

"Ia tidak mudah seperti yang dipandang mereka yang tidak tahu dan tidak berada dalam bidang ini. Mengurus manusia satu tugas yang mengundang tekanan besar jika tidak mahir dan tidak minat," ujar anak kedua lima beradik itu.

Hafizah memberitahu, sebagai kaunselor, ada masanya senang mengendalikan masalah. Namun, bila tiba waktu sukar, beliau juga akan pening kepala memikirkan jalan penyelesaiannya. 

"Kesukaran pasti ada bila kita menguruskan manusia. Perubahan tidak berlaku sekelip mata. Proses membantu ambil masa kadang-kadang hingga enam ke 10 sesi, terutama klien yang dirujuk dan yang enggan beri kerjasama serta enggan berubah.

"Sering kali permasalahan pelajar berpunca daripada latar belakang keluarga yang bermasalah. Pelajar sekolah menengah mengalami pelbagai konflik seperti konflik rakan sebaya, peranan, kasih sayang dan tanggungjawab. Panduan, bimbingan, kasih sayang, contoh teladan dan didikan agama sangat penting dalam membantu mereka," ujar beliau.

Dalam membantu mereka, Hafizah berpegang kepada prinsip perkhidmatan "usaha berterusan ke arah membangunkan potensi insan secara menyeluruh”. Maka hubungan dibina dan dijaga berpanjangan. Ada masa mereka masih berhubung melalui telefon dan facebook.

Keistimewaan diri

Memiliki kemahiran komunikasi dan pengucapan awam yang baik, memberi satu bonus buat Hafizah untuk memperkembangkan bakat sedia ada. Beliau selalu menerima jemputan sebagai penceramah motivasi, pengurusan diri, pembangunan sahsiah dan sebagainya.

Hafizah juga sering dijemput mengendali slot ice breaking di sekolah-sekolah sekitar Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda/Yan dan Padang Terap, selain penceramah untuk program di UUM. Beliau turut dilantik menjadi pengacara majlis untuk program-program sekolah, anjuran PPD Kota Setar atau pun JPN Kedah.

Kerana memiliki pelbagai keistimewaan, tidak hairanlah Hafizah disayangi warga sekolah dan masyarakat sekitar. Dijadikan idola dan sumber inspirasi pelajar, juga jadi rujukan warga sekolah dan rakan-rakan guru dari sekolah lain.

Diangkat pemenang ketiga Amalan Perkhidmatan Kaunseling Terbaik di IAB cawangan utara.

 

Permulaan kerjaya

Sebelum bergelar kaunselor, Hafizah menjadi Guru Akademik opsyen Matematik / Pengajian Am pada Jun 2002 di SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Arau, Perlis. Beliau mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan sehingga 2007.

"Saya fokus dan menguasai kemahiran mengajar Matematik Tambahan sehingga dihantar oleh JPN Perlis ke Putrajaya bagi mewakili guru Matematik Tambahan Negeri Perlis ke persidangan akademik ketika usia 26 tahun.

"Di SMK Sultanah Bahiyah pula, saya sempat mencurah ilmu. Kemudian, pada 12 Jan 2008, ditawarkan untuk Kursus Sijil Perguruan Khas Bimbingan dan Kaunseling di Institut Perguruan Perlis selama setahun tajaan penuh Bahagian Pendidikan Guru. Saya memohon atas dasar minat dalam psikologi, kerana asalnya berhasrat menjadi ahli psikologi atau pakar psikiatri," kata beliau.

Jan 2009, Hafizah melapor diri sebagai Kaunselor di SMK Tunku Abdul Rahman, Alor Setar dan memulakan kerjaya sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa sehingga kini. Jan 2013, dia bertukar ke SMK Langgar, Alor Setar dan Jun 2015 ke SMK Seri Gunong.

Hafizah mengajar mengikut kemampuan pelajar itu sendiri. Dia akan memilih tajuk yang mampu pelajar kuasai dan membuatkan mereka melihat Matematik Tambahan bukan ‘killer subject’.

"Saya gunakan gaya bercerita untuk membantu proses pembelajaran menarik, nampak mudah dan di selit dengan unsur kecindan (jenaka). Saya galakkan pelajar menjadi guru dalam kalangan pelajar kerana antara mereka pasti berbeza kebolehan, ada masanya penerangan rakan sebaya lebih mudah difahami dan diterima oleh pelajar disebabkan gaya bahasa, jurang dan aspek keyakinan," jelasnya.

Akhiri sesi temu bual ini, Cikgu Hafizah mengharapkan semua pelajar agar tidak belajar kerana peperiksaan semata-mata, sebaliknya memahami, menguasai dan mengangkat martabat ilmu yang dipelajari, memanfaatkan demi membangunkan diri, keluarga, bangsa dan agama.

Hafizah sering menerima jemputan sebagai penceramah motivasi.