Bergiat aktif dalam bidang keusahawanan, pengacaraan dan pengucapan awam serta cemerlang dalam pengajian akademik, antara kriteria yang membolehkan pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Qistina Zareen Zulkapli, 21, dipilih menerima Anugerah Ikon Siswi Diploma UniMAP 2020.

Pelajar tahun akhir itu berkata, beliau aktif dalam bidang pengacaraan dan pengucapan awam meskipun pada awalnya merupakan seorang yang introvert di mana cenderung dengan keadaan berdiam diri, mencari ketenangan kendiri dan sering terdorong dengan sifat introspektif.

Tambah beliau, bagi mengatasinya, langkah proaktif diambil dengan melibatkan diri aktif dalam Kelab Debat dan Pengucapan Awam di UniMAP sekali gus mampu meningkatkan keyakinan serta kemampuan diri berinteraksi di khalayak umum.

“Saya diberi banyak peluang dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di universiti seperti pengacara majlis rasmi dan tidak rasmi, serta moderator forum dalam kebanyakan aktiviti yang dijalankan di peringkat UniMAP.

“Pertandingan pidato pertama yang saya sertai ialah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2019 di mana ia merupakan aktiviti pidato antarabangsa utama yang diadakan di Malaysia. Walaupun tidak berjaya ke peringkat seterusnya, saya cuba menggarap sebanyak mana ilmu yang diperolehi bagi hadapi cabaran pertandingan lain yang akan datang,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tidak terhenti di situ, Qistina juga telah menyertai beberapa pertandingan lain antaranya Pertandingan Pidato Habitat pada 2019, Pidato Zakat Negeri Kedah, Pidato 3 Minutes-Covid UniMAP di samping berjaya meraih pelbagai kejayaan termasuk mengungguli kejohanan pidato yang dijalankan.

Beliau juga turut diiktiraf sebagai ‘Speaker for People’ menerusi salah satu pertandingan yang dijalankan di peringkat universiti yang bertemakan motivasi kepada mahasiswa lain di UniMAP.

Tambah Qistina lagi, dia juga pernah dianugerahkan Tokoh Keusahawanan UniMAP atas usaha aktifnya dalam bidang keusahawanan sekali gus memberi galakan serta dorongan kepada pelajar lain.

“Saya mula berniaga kecil-kecilan dengan menjual kek bermula pada tahun 2017 dengan nama Qissylicious dan minat ini diteruskan ketika belajar di UniMAP, malah turut mendapat sambutan baik daripada rakan serta pelajar lain.

“Perniagaan secara kecilan yang mencecah usia tiga tahun ini juga didaftarkan di bawah SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), walaupun terpalit dengan situasi pandemik Covid-19, ia tak mematahkan semangat saya untuk fokus dalam perkara diminati ini,” katanya.

Walaupun bergiat aktif pelbagai aktiviti anjuran universiti, Qistina juga berjaya membuktikan yang beliau mampu mengimbangi pembangunan akademik sehingga memperoleh anugerah Dekan dalam semester pengajiannya.