MENJADI kebiasaan, guru akan menggunakan papan putih untuk memulakan pembelajaran di dalam kelas, guru akan menulis, sementara murid akan menyalinnya kembali.

Namun, guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, Johor ini mempunyai kaedah lebih mudah dalam pembelajaran.

Bersama Adiwira Negeri Johor, Pengarah Pelajaran Negeri Johor dan Pengetua SMK Pasir Gudang. Negeri Johor mencatat penyertaan tertinggi dalam Kempen Guru PAK21

Mengaplikasikan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), membuatkan proses pembelajaran menjadi lebih menarik dan interaktif.

Sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi kini, guru asal Ipoh Perak ini, telah memilih kaedah 'digital classroom' sebagai alat bantu mengajar dan pemudahcara (pdpc) dalam kelas.

Amalan terbaik pembelajaran tersebutlah yang menjadi faktor, Cikgu Emira Nabila Ramli diumum tempat ketiga dalam Kempen Guru PAK21 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM). Serta membawa pulang hadiah berupa telefon pintar Hua Wei P20, Microsoft Surface Pro, Smart Gadget, wang tunai berjumlah RM1000 dan plaque PAK21.

Cikgu Emira bersama Cikgu Afifi Dan Cikgu Halizah ketika menerima Anugerah Guru Negeri Johor

“Ada banyak aplikasi yang boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar di dalam kelas. Penggunaan media sosial seperti twitter, padlet, alat peranti seperti telefon bimbit dan 'chrome book' misalnya, ia bukan sahaja memudahkan pembelajaran, bahkan boleh menarik minat pelajar untuk lebih fokus dalam pembelajaran,” jelasnya.

Menurut Cikgu Emira, kaedah tersebut mula diamalkan sekitar tahun 2014, secara kebetulan ketika itu kunjungan perbandingan oleh pengetua-pengetua Zon Pasir Putih di sekolahnya.

“Saya muat turun semua bahan seperti gambar, video, soalan dan artikel di aplikasi twitter kemudian, saya galakkan pelajar untuk baca dan 'respond' dengan cara ‘tweet’ kepada soalan yang saya kongsi.

“Digital classroom ini membuatkan pelajar berasa lebih seronok dan teruja untuk belajar. Salah satu aktiviti yang kami lakukan adalah, pelajar perlu mendengar dan menonton video di YouTube, sebelum menjawab soalan yang diberikan,” katanya kepada GPS Bestari.

Tambahnya lagi, penggunaan teknologi dapat membantu guru untuk lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu.

Cikgu Emira bersama pelajar Tingkatan Lima SK3 ketika melakukan aktiviti 'Reenactment of Captain Nobody novel'.

"Guru dapat menyampaikan nilai dan pengajaran melalui lagu dari YouTube, menggunakan konsep kuiz melalui aplikasi Kahoot, dan juga penggunaan Google Drive untuk memuat naik bahan atas talian bagi kegunaan pelajar. Dalam masa sama, pelajar turut berpeluang menggunakan kreativiti dengan mereka cipta padlet mereka sendiri sebelum membuat 'presentation' (pembentangan).

“Pelajar saya sangat menghargai usaha mempelbagaikan kaedah pengajaran. Mereka teruja menggunakan chrome book dan media sosial seperti Twitter bagi tujuan pembelajaran," katanya.

Kata Cikgu Emira lagi, mereka juga akan membaca artikel atas talian yang diberikan dengan penuh semangat untuk memastikan maklumat dapat digunakan sepenuhnya ketika membuat pembentangan.

“Pemahaman murid juga meningkat kerana segala maklumat berada di hujung jari sahaja. Mereka boleh  membuat rujukan silang antara bahan yang diberikan guru dengan bahan yang ada di internet,” katanya.

Katanya lagi, PAK21 dapat meningkatkan prestasi akademik dengan menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar meningkatkan potensi diri.

Selain dapat mempraktikkan pembelajaran yang bersifat kendiri, pelajar juga boleh  berkolaborasi dengan rakan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru.

Perkongsian maklumat antara pelajar dengan pelajar, atau pelajar dengan guru membantu mempercepatkan lagi penyerapan ilmu murid selain membantu mereka memahami sesuatu konsep dengan lebih jelas dan tepat.

Anak jati Perak yang baru lima tahun bergelar pendidik ini berkata, beliau mengambil masa sehari untuk menghantar video setelah disenarai pendek untuk Kempen Guru PAK21.

Cikgu Emira bersama dua pelajarnya pada sambutan Hari Guru SMK Pasir Gudang baru-baru ini

Katanya, kaedah pengajaran itu sebenarnya telah direka pada tahun 2016 lagi, cuma ia ditambahbaik sebelum dihantar untuk pertandingan.

“Kos pembelajaran dan pengajaran tidaklah menelan belanja yang banyak. Saya cuma mengeluarkan sedikit kos untuk membuat salinan 'speech bubbles' dan 'song lyrics' yang saya cuba besarkan kepada saiz A3, membeli kertas warna untuk aktiviti 'hot seating' dan juga untuk 'roleplay cards'. Keseluruhan kos tak sampai RM50,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang dilaluinya, Emira berkata, cabaran utama untuk mengaplikasikan PAK21 adalah kemudahan akses kepada capaian internet dan juga projektor LCD.

Katanya, tidak semua kelas mempunyai LCD, tambahan pula makmal komputer adakalanya digunakan untuk program sekolah seperti kelas ICT untuk pelajar Tingkatan Satu.

“Guru-guru perlu bergerak dari satu kelas ke kelas yang lain, jadi adalah kurang praktikal untuk membawa LCD dan laptop ke semua kelas. Jika guru mempunyai satu stesen yang tetap, mungkin masalah tersebut boleh diselesaikan,”jelasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya]

[ARTIKEL BERKAITAN: Guru ini sanggup menyumbang sejumlah wang gaji untuk sedia kelengkapan pelajar yang rata-rata miskin]

 

Baca Artikel lain:

Persembahan memukau Cikgu Donze hingga muncul Johan Kategori Nyanyian Solo

Ramai kagum, baru 13 tahun dah jadi imam solat terawih… tahniah buat ibu dan ayahnya

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET

Ibu terpaksa tipu guru anak tak sekolah sebab sakit sebenarnya tak mampu isi minyak motor