SIK - Hujan lebat ketika majlis persaraan seorang Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Sulong (SMKTS), seolah-olah menangisi pemergian guru yang banyak berjasa kepada sekolah berkenaan.

Guru lepasan Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu  diraikan oleh seluruh warga sekolah.

Persembahan murid, tayangan multimedia dan penyampaian hadiah turut menghiasi majlis persaraan berkenaan.

Kemuncaknya, guru tersebut diarak pulang menaiki pacuan empat roda dengan diiringi kumpulan motosikal berkuasa tinggi iaitu Sik Bikers Club (SBC) lebih satu kilometer dari sekolah ke rumahnya.

Hashim Awang, 58, berkata, keputusan untuk bersara diambil bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

Menurutnya, tempoh perkhidmatannya bersama sekolah sudah mencecah 24 tahun selepas mula menabur bakti pada tahun 1993.

“Umur saya sudah 58 tahun, jadi saya ambil keputusan untuk bersara dan fokus kepada keluarga,” katanya.

Cermin kereta pecah

Berkongsi kenangan pertamanya di sekolah itu, Hashim Awang masih mengingati kisah cermin hadapan keretanya dipecahkan murid pada tahun 1995.

“Pada awal perkhidmatan, saya adalah seorang guru yang garang dan juga guru disiplin.

“Suatu hari sewaktu ingin pulang ke rumah kira-kira 2 petang, saya terkejut mendapati cermin hadapan kereta saya  dipecahkan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian pada awal perkhidmatannya itu tidak diceritakan kepada pihak sekolah dan pelajar.

Menurutnya, kenal dengan si pelaku, beliau tidak bertindak menghukum, sebaliknya mengambil pendekatan berbaik dengan pelajar berkenaan.

Cikgu Hashim mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir sambil diperhatikan Ali.

“Saya fikir jika ambil tindakan, ia hanya memberi kepuasan kepada kita tetapi tidak boleh memperbaiki pelajar itu.

“Selama berbaik dengannya, saya tidak pernah sentuh isu cermin kereta pecah, buat macam tiada apa yang berlaku dan akhirnya pelajar itu sendiri berubah,” katanya.

Tambahnya, hubungannya dengan bekas pelajar tersebut masih erat hingga ke hari ini.

“Walaupun pelajar tersebut sudah mendirikan rumah tangga dan berkahwin, kami masih berhubung, bagi saya dia antara pelajar terbaik di sekolah ini,” katanya.

Kokurikulum SMKTS cemerlang

Menyentuh isu kokurikulum, Hashim berkata, pencapaian sekolah dalam sukan bola sepak dan bola tampar amat membanggakan.

“Tiap-tiap tahun kedua-dua acara sukan ini kita berjaya ke pentas akhir. Malah dalam bidang kokurikulum SMKTS  adalah lima terbaik dalam daerah Kuala Muda.

“Dalam bola sepak kami mampu mencabar sekolah sukan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari Sungai Petani, bola tampar pula walaupun sebelum ini didominasi oleh sekolah Menengah Sim Nim, Sungai Petani, namun lima tahun kebelakangan ini SMKTS berjaya muncul johan dan naib johan,” katanya.

 

Cikgu Hashim diarak dari sekolah ke rumahnya.

Katanya lagi, pasukan perbarisan sekolah juga berjaya mengharumkan nama SMKTS setiap tahun.

Beliau yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Sik pada 1981 turut berbangga dengan pencapaian akademik sekolah.

“Dalam akademik sekolah ini antara terbaik, ramai pelajar keluaran SMKTS melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Setiap tahun pihak sekolah mengadakan program motivasi kepada pelajar, kerana itu pemikiran pelajar-pelajar di sini terbuka. Sekolah ini sudah setaraf dengan sekolah-sekolah lain,” katanya.

Guru berkaliber

ALI

Sementara itu, Pengetua, Ali Awang Kechik berkata, persaraan Hashim  disifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat sekolah.

“Cikgu Hashim merupakan guru berkaliber dan banyak berjasa kepada sekolah, sekiranya ada isu yang timbul antara sekolah dan waris, secara automatiknya mudah diselesaikan olehnya.

“Saya harap pengganti beliau dapat memberi perkhidmatan yang sama standard, dengan Cikgu Hashim,” katanya.