KUALA PILAH - Berkhidmat selama 37 tahun dalam dunia pendidikan, Mat Rohani Kamar diangkat sebagai Tokoh Kepimpinan sempena sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Pilah, tahun ini.

Dilahirkan pada 2 Oktober 1955 di Tanjung Karang, Selangor, kini beliau menetap di Taman Guru Melayu, Seremban bersama keluarganya.

Menyingkap sejarah pendidikannya, pada peringkat sekolah rendah, Mat Rohani menuntut di Sekolah Kebangsaan Datuk Manan Tanjung Karang bermula pada 1962 sehinggalah 1967.

Ujar Mat Rohani, beliau meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun Tanjung Karang pada 1968 sehingga 1972.

“Saya memang bercita-cita nak jadi guru. Impian itu makbul apabila saya berjaya menyambung pengajian ke peringkat tinggi di Universiti Sains Malaysia USM Pulau Pinang pada 1976 sehingga 1980, dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan dengan Pendidikan USM,” katanya.

Menurutnya, pertama kali menjejakkan kaki ke SM Tuanku Abdul Rahman, Gemas pada 1980 dengan pengkhususannya dalam pengajian bahasa Melayu dan juga Sejarah.

“Jawatan terakhir saya sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, bermula 2008 sehingga bersara pada 2015,” katanya.

Sementara itu, difahamkan sepanjang beliau dalam bidang pendidikan, telah mencatat kejayaan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014, malah Sekolah Sukan Negeri Sembilan yang juga dikenali sebagai SMK Zaba.

Kepimpinan beliau terserlah, apabila semasa berkhidmat beliau bergiat aktif dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan antaranya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah (2008-2015).

Selain itu, beliau terbabit sebagai jawatankuasa Majlis PPD Kebangsaan (2013-2015), ahli Majlis Pengetua Negeri Sembilan (2000-2008), ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Ahli Koperasi Guru-Guru Melayu Negeri Sembilan dan ahli Yayasan Guru Malaysia bermula 1993 sehingga 2015.

Atas jasanya sebagai pendidik dan Ketua PPD, beliau menerima beberapa penghargaan dan anugerah seperti Anugerah Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) pada 2014.

Beliau juga menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang APC pada 1994 dan 2009.