Siapa sangka ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘raja sungai’ yang menjadi kegilaan kaki pancing berjaya diternak di dalam kolam menggunakan sumber air tandak dari Bukit Kepang, Machang.

Keindahan semula jadi di kaki Bukit Kepang dimanfaatkan sepenuhnya guru, Nik Ahmad Kamil Nik Yaacob, 52, dengan mengusahakan penternakan ikan kelah serta pelbagai jenis tanaman termasuk durian dari jenis Musang King.

Nik Ahmad Kamil berkata, dia berusaha memanfaatkan tanah dihadiahkan orang tuanya agar tidak terbiar.

Katanya, pada mulanya dia mengusahakan tanaman getah dan pisang di tanah seluas tiga hektar itu, namun kerana kawasan cerun bukit tidak sesuai diusahakan tanaman membuatkannya terfikir bagi mengusahakan sesuatu berbeza.

“Cerun yang menjadi laluan air tersebut menghidupkan suasana alam semula jadi kawasan kebun saya, namun terbiar kosong, jadi saya cuba fikirkan sesuatu bagi memanfaatkannya.

“Tahun 2015, saya ambil keputusan memelihara ikan kelah yang difikirkan sesuai dengan persekitaran ini, lagipun ikan itu agak payah ditemui,” katanya.

Tambahnya, dia membela spesies kelah merah atau nama saintifiknya tor tambroides dan kelah biru (tor douronensis).

Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Abdul Azziz Kadir menangkap ikan kelah pada lawatan kerja ke kolam penternakan itu.

 

Menurutnya, minatnya yang mendalam dalam bidang penternakan turut mendorongnya mengusahakan kolam itu.

“Saya sedar cabaran yang bakal dilalui termasuk belanja tinggi bagi membangunkan kolam ini, tapi saya nekad nak usahakannya,” katanya.

Tambahnya, sejak itu, dia mula menambah pengetahuan tentang kelah dan turut mempraktikkan pengalaman ditimba berkaitan kelah bagi menjayakan perusahaan itu.

“Saya bermula dengan 8,000 ikan kelah berukuran 3 inci dengan modal lebih RM100,000.

“Melihat ikan yang turut digelar ‘mutiara tropika’ depan mata setiap hari memberi kepuasan pada saya.

“Ikan ini bukan hanya jadi kegilaan pemancing tapi turut mendapat permintaan tinggi di pasaran. Dalam masa sama, saya membangunkan kolam ikan tersebut secara berterusan,” katanya.

Ikan kap turut dipelihara Nik Ahmad Kamil sebagai ternakan sampingan.

 

Dugaan ikan mati

Namun, kata Nik Ahmad Kamil, kegembiraannya tidak lama apabila selepas setahun mengusahakan kolam ikan tersebut, dia diuji cabaran besar apabila lebih separuh ikan kelah peliharaannya mati.

Tambahnya, air racun yang digunakan untuk meracun rumput di kebun mengalir ke kolam menyebabkan ikan peliharaannya mati.

"Sedih, tapi ALLAH takdirkan saya bertemu seorang rakan yang lumpuh dan menggunakan kerusi roda di masjid.

“Lepas berbual dengannya, saya turun dari masjid dengan perasaan berbeza. Saya beritahu diri bahawa dugaan yang saya terima tak seteruk mana,” katanya.

Tambahnya, dia nekad meneruskan penternakan ikan kelah tersebut dan membuat pinjaman daripada bank bagi membeli anak kelah baharu.

Katanya, selain membeli anak ikan, dia turut menambah baik kolam itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.

“Pengalaman banyak mematangkan saya. Alhamdullilah, usaha itu mula menunjukkan hasil dan terima kasih kepada pelbagai pihak yang tampil membantu menjayakan penternakan ini.

“Spesies kelah biru dan merah ini biasanya boleh didapati di Endau, Rompin dan di Sungai Tembat Terengganu, tetapi kini orang Kelantan boleh melihatnya di Machang,” katanya.

Tambah Nik Ahmad Kamil, selain menjual ikan tersebut di pasaran, dia juga bercadang menjadikan pusat ternakan itu sebagai pusat pembenihan ikan kelah di negeri ini.

Tambahnya, dalam masa sama, penternakan tersebut juga bakal menjadi tarikan kepada pembangunan pusat agro pelancongan di kawasan itu.