SEREMBAN – Kerjaya sebagai guru bukan penghalang buat Khairul Nizam Mohd Sopery, 28 aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kerja-kerja amal.

Guru Sekolah Kebangsaan Methodist (ACS) Seremban ini bukan sahaja aktif melibatkan diri dalam pertubuhan belia, malah dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Boleh dikatakan setiap kali berlakunya bencana di seluruh negara, beliau bersama pasukan sukarelawan akan turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Nizam berkata, minatnya menceburkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan bermula ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussien Onn, Batu Pahat, Johor.

“Ketika belajar, saya memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan pelbagai program kemasyarakatan dilaksanakan. Dari situ, saya belajar ilmu kepimpinan dan kemasyarakatan.

“Sejak itu, saya minat melakukan kerja-kerja amal dan bergiat aktif bertemu masyarakat dan membantu golongan memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya yang juga Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS), terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan memerlukan pengorbanan terutama dari segi masa bersama keluarga.

“Hari biasa, saya mengajar di sekolah hingga ke petang. Sebelah malam pula saya sibuk dengan mesyuarat dan persiapan kertas kerja dan tugas-tugas untuk membuat program. Cuti hujung minggu dan cuti sekolah adalah waktu paling sibuk buat saya.

“Banyak masa bersama keluarga terpaksa saya korbankan untuk aktiviti belia dan kerja-kerja amal. Namun, isteri dan keluarga memahami tanggungjawab saya dan sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Selain memegang jawatan Setiausaha MBNNS, Cikgu Nizam turut memegang jawatan lain antaranya Timbalan Speaker Dun Belia negeri, Koordinator Kelab Sukarelawan Belia 1 Malaysia (MyVOC) Bahagian Komuniti Pendidikan, Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Ketua Unit Tindakan Cepat Bridged Biro Kebajikan Umno Malaysia dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri.

Katanya, usahanya membantu orang susah banyak mengajar erti bersyukur dan menghargai setiap rezeki dan nikmat kurniaan ALLAH SWT.

“Setiap kali melihat orang susah, kita akan belajar erti bersyukur. Dari situ kita belajar untuk berdikari dan berusaha untuk membantu orang susah.

“Bila dapat bantu orang susah, saya rasa gembira dan lega kerana sudah jalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Melihat kegembiraan orang susah adalah kepuasan buat saya,” katanya.

Cikgu Nizam berkata, selain kerjaya guru dan aktif dalam kemasyarakatan, dia turut menjadi pakar motivasi bagi memberi semangat dan berkongsi pengalamannya kepada golongan belia.

Khairul Nizam (empat, kanan) menyampaikan sumbangan pada program bantuan hari raya di Sekolah Kebangsaan Methodist (ACS) Seremban, di sini, tahun lalu.