SHAH ALAM - Guru Sains Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib sekali lagi melakar sejarah apabila terpilih mengikuti latihan High School Teacher Programme 2019, di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), di Geneva, Switzerland.

Melalui portal GPS Bestari.com beliau akan berkongsi pengalaman kursus selama dua minggu di sana dari masa ke masa.

"Dua minggu bukan satu tempoh yang singkat. Sudah pastinya, pelbagai pengalaman dan ilmu baharu akan saya dapat menerusi latihan High School Teacher Programme 2019.

"Insya-Allah, saya akan berkongsi mengenai CERN dan penerapan ilmu bidang fizik partikel dalam pembelajaran dan pemudahcaraaan apabila balik ke Malaysia nanti" katanya.

Cikgu Hailmi di CERN, Geneva.

Kata beliau, segala-galanya akan beliau kongsikan menerusi penulisan artikel pada blog, Cikgu Hailmi dan juga GPS Bestari," katanya ketika ditemu bual GPS Bestari, di sini, pada 4 Julai lalu sebelum menaiki penerbangan ke Paris pada jam 8 malam.

Menerusi perkongsian tersebut, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Hailmi berharap, guru-guru di Malaysia boleh menjadikannya sebagai rujukan kelak.

"Apabila pulang ke Malaysia nanti, mungkin saya akan cari agensi seperti Pusat STEM Negara, Agensi Nuklear Malaysia dan sebagainya untuk berkongsi serta menyumbang segala kepakaran yang ada.

"Ini sebab, tidak semua guru berpeluang untuk ke CERN iaitu pusat kajian yang mempunyai makmal fizik zarah terbesar di dunia. Mungkin ada yang layak, tapi disebabkan ada kekangan, mereka tidak dapat ke sana," katanya.

Berkongsi mengenai proses pemilihannya ke High School Teacher Programme 2019 CERN, Cikgu Hailmi berkata, segala-galanya bermula daripada seorang rakan guru dari Romania.

"Ketika saya mengikuti program Honeywell Educators at Space Academy 2018 di US Space and Rocket Center di Alabama, Amerika Syarikat Jun tahun lepas, seorang guru dari Romania, Dorina telah memperkenalkan saya dengan satu lagi peluang baik untuk saya cuba, iaitu latihan High School Teacher di CERN, Geneva.

"Dorina beritahu, dia sudah terpilih sebelum ini dan dia mencadangkan supaya saya mohon latihan di CERN tersebut," katanya yang telah menerima anugerah Ikon Guru STEM Malaysia 2017, Naib Johan Adiwira PAK21 dan Guru Adiwira sempena Hari Guru Kebangsaan 2019.

Dek kerana perasaan ingin mencuba dan mahu berdepan cabaran, Cikgu Hailmi telah mengisi borang dan melengkapkan permintaan penganjur.

"Saya perlu menyediakan tiga esei dan membuat tugasan video berdasarkan apa yang dikehendaki penganjur.

"Alhamdulillah, pada April lalu saya berjaya mendapat tempat untuk mengikuti latihan tersebut dan disenaraikan antara 49 peserta dari 39 negara," katanya.

Cikgu Hailmi berkata, program latihan yang disertainya itu bukanlah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Cikgu Hailmi bersama sebahagian peserta High School Teacher Programme 2019 ketika mengikuti aktiviti mencari harta karun.

"Saya mendapatkan kelulusan KPM untuk menjalankan tugas rasmi di luar negara. Seolah-olah macam menghadiri kursus yang diperakui oleh KPM. Syukur, permohonan telah diluluskan minggu lepas," katanya.

Sepanjang dua minggu berada di sana, Cikgu Hailmi menjalani pelbagai latihan menarik bersama beberapa peserta yang lain.

"Kami akan jalani sesi pembelajaran dan juga persembahan berkumpulan. Fokusnya tentulah kepada fizik partikel dan berkebetulan saya tidak banyak ilmu dalam bidang tersebut kerana major saya adalah kimia. Jadi, peluang sebegini sangat bagus untuk saya," katanya yang akan membuat lawatan di makmal di CERN iaitu makmal Sains terbesar di dunia.

Sementara itu, Cikgu Hailmi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pengetua SMK Jerlun, Siti Rubiah Mohd Arshad atas kepercayaan yang diberikan kepadanya selama ini.

"Beliau cukup menyokong saya. Walaupun saya mengajar pelajar peperiksaan iaitu pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, tetapi beliau beri saya peluang untuk kembangkan lagi apa yang saya ada.

"Malah, beliau percaya dengan bakat, kebolehan dan kemahiran yang saya miliki dan sentiasa sokong jika saya mendapat mana-mana peluang di luar sana. Kata beliau, saya bukan milik sekolah sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Cikgu Hailmi sempat menitipkan sedikit pesanan buat warga pendidik di Malaysia.

"Banyak perkara negatif berlaku dalam dunia sekarang. Sebagai guru, kita harus fokus pada kerja buat kita sebagai pendidik.

"Ingat satu perkara sahaja, apa yang kita buat sekarang, mungkin tidak nampak hasilnya, tapi suatu hari nanti, perkara itulah yang akan melahirkan generasi yang cemerlang di masa akan datang," akhirinya.   

Cikgu Hailmi (depan) bersama rakan-rakan ketika mengambil kad peserta di CERN, Geneva.

ARTIKEL MENARIK:

Tahniah! Pelajar Sekolah Seri Puteri bolot 27 emas, 41 perak, tewaskan peserta dari 39 negara

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!

SK Laksamana wakil Johor Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019