BAKRI - Kelibat dirinya tidaklah begitu dikenali lantaran namanya juga jarang menjadi sebutan namun, di sebalik latar belakangnya yang kelihatan biasa, pasti ramai tidak menyangka individu ini sebenarnya mempunyai sumbangan besar khususnya kepada warga mukim Ayer Hitam, Batu 18, di sini.

Empunya diri, Ahmad Sofa Abdullah, 83, atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Sofa mungkin boleh dianggap sebagai bapa pendidikan di desa berkenaan berikutan sumbangannya terhadap penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 18, Ayer Hitam, kira-kira tujuh dekad lalu.

Cikgu Sofa yang merupakan anak jati kelahiran kampung itu berkata, sekolah tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Batu 18 dibuka sejak 65 tahun lalu olehnya bersama seorang lagi ketua kampung yang sedang berkhidmat ketika itu.

Cikgu Sofa (duduk, tengah kiri) bersama bekas muridnya.

Cikgu Sofa (dua, kiri) bersama guru yang mengajar SK Batu 18, Ayer Hitam, Bakri Muar pada 1989.

 

Mengimbas kembali usaha murni yang dilakukan itu, bapa kepada lapan anak ini mengakui berasa terpanggil menubuhkan sebuah pusat pendidikan untuk penduduk kampung lantaran kawasan berkenaan masih tidak mempunyai sekolah berhampiran.

“Sekolah Melayu Batu 18, ditubuhkan pada 1952 iaitu tempoh sebelum kemerdekaan. Cetusan idea ini disuarakan oleh saya kepada bekas ketua kampung di sini kerana melihatkan masih ramai anak bangsa kami ketika itu kebanyakannya masih tidak boleh membaca, menulis serta mengira.

“Sebaik cadangan diusulkan, ketua kampung langsung bersetuju dan seterusnya membawa perkara itu kepada pejabat pendidikan daerah dan pejabat pelajaran Johor,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, pada awal tempoh pembukaan, dia menerima 62 murid terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Sekolah ini beroperasi di atas tapak bekas balai masjid di kampung ini. Masa itu, cuma saya seorang sahaja guru yang turut merangkap guru besar di situ dan bertanggungjawab mengajar semua mata pelajaran termasuk tulisan jawi.

“Dan ketika itu, satu kelas sahaja dibuka iaitu seluas 40x20 kaki di mana semua murid pelbagai usia duduk di dalam kelas yang sama. Masa itu, saya masih ingat usia murid yang masuk ke sekolah berkenaan bermula daripada lapan hingga 14 tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

14 cikgu menjelang 1963

Menurut cikgu Sofa, beberapa bulan kemudian, seorang lagi guru akhirnya diberi tanggungjawab mengajar di situ sebelum menerima lebih ramai tenaga pengajar iaitu 14 orang keseluruhannya menjelang tahun 1963.

“Walaupun terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pada peringkat awal hanya saya seorang guru yang terpaksa mengawal 62 murid, namun itu tidak memberikan masalah.

“Murid zaman dahulu mempunyai rasa hormat yang cukup tinggi terhadap pendidik mereka. Mereka tak berani melawan guru selain dalam kelas juga tiada istilah membuli rakan-rakan bawah umur,” katanya yang masih mengingati kenangan menunggang basikal sejauh dua batu dari rumahnya untuk ke sekolah.

 

Kenangan bersama sebahagian murid di pekarangan SK Batu 18, Ayer Hitam pada awal pembukaannya.

 

Gembira sekolah bertambah maju

Dan kini, meskipun menamatkan kerjayanya sebagai guru sejak 1989, Cikgu Sofa mengakui masih tidak dapat melupakan pelbagai memori yang berlaku setiap kali melintasi SK Batu 18, Ayer Hitam.

“Selama 37 tahun menceburi bidang ini, bermacam jenis sekolah saya ditempatkan sehinggalah yang terakhir saya dapat masuk semula ke SK Batu 18, Ayer Hitam.

“Dan sehingga ke hari ini, setiap kali melintasi pekarangan sekolah berkenaan, hati saya akan berasa sayu kerana rindukan sejarah lama, namun pada masa sama berasa gembira melihat kemudahan dan kemodenan yang dibina di sekolah ini,” katanya.

Sepanjang berkhidmat sebagai pendidik, jasa dan keringat warga emas ini boleh dianggap berbaloi apabila dia pernah dianugerahkan pelbagai pingat hasil usaha dan sumbangannya kepada anak bangsa selama ini.

“Pada 1995, saya pernah menerima anugerah Pingat Pangkuan Negara dan pada 2008, saya turut menerima sebuah lagi pingat iaitu Ahli Mangku Negara (AMN). Selain itu, saya juga pernah mendapat anugerah Pingat Ibrahim Sultan,” katanya.