MINATNYA yang mendalam dalam bidang fotografi sukar dipisahkan. Bagi penduduk  Kuala Kubu Bharu,nama Cikgu Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Din  cukup dikenali. 

Bekas guru pendidikan seni itu juga merupakan guru penyelaras disiplin selama 14 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Kamaruddin sejak 1986.

Kemudian berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Pecah bagi tempoh 19 tahun sebelum bersara pada November tahun lepas.

Kini menjangkau usia 60 tahun, Cikgu Zul memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bidang fotografi yang diminati sejak kecil.

Sewaktu zaman kanak-kanak, dia sering berkunjung ke sebuah kedai foto di pekan berdekatan kampungnya di Kedah.

Keindahan foto dan pelbagai jenis kamera yang dipamerkan di kedai berkenaan menarik perhatiannya.

Pameran di Galari Sejarah KKB hingga April secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

 

Belajar proses foto

Zulkifli berkata, pemilik kedai bernama Ah Kiat yang dipanggil apek itu tidak pernah jemu melayan karenahnya malah berkongsi ilmu termasuk mengajar cara memproses foto.

"Setiap hari selepas habis sekolah, saya akan singgah dulu melepak kat kedai tersebut.

"Saya beli sebuah kamera berharga RM35 guna duit hasil cari padi dan Apek pernah cakap, kalau nak cuci gambar boleh pakai sabun serbuk basuh pakaian.

"Dia gelakkan saya sebab saya betul-betul buat apa yang dia cakapkan, iyalah masa tu mana saya tahu dan kemudian baru dia tunjuk cara sebenar cuci foto dalam bilik gelap,"katanya.

Zulkifli berkata, lebih menggembirakan apabila pemilik kedai itu juga menghadiahkan sebuah kamera terpakai yang masih disimpan sehingga ke hari ini.

Menurutnya, minat mendalam mendorong dia menyertai kelab fotografi ketika memasuki tingkatan satu di SMK Jitra, Kubang Pasu, Kedah di bawah bimbingan Cikgu Rozali Osman yang merupakan seorang juru gambar berpengalaman.

 

Pikul tripod

"Walaupun sering ditugaskan membawa tripod tapi ia memberi peluang mengikuti cikgu itu mengambil gambar aktiviti sekolah.

"Ketika di sekolah menengah, saya sudah pandai mencuci foto dan kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini dikenali Universiti Pendidikan Sultan Idris).

"Anak-anak meminati fotografi dan boleh mengendalikan kamera manakala anak kedua, Zulfadhli, 32, bekerja sebagai juru foto akhbar,"katanya.

Pasangan burung Enggang Kelingking yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit.

 

Pameran koleksi foto burung

Impian Zulkifli untuk mengadakan pameran foto koleksi peribadi akhirnya tercapai apabila menerima tawaran Persatuan Sejarah Kuala Kubu Bharu (Peskubu) di Galeri Sejarah KKB, Jalan Syed Mansor dekat sini.

Pameran Fotografi Burung-Burung Kuala Kubu Bharu bermula awal Mac sehingga April itu mempamerkan 150 koleksi membabitkan 48 spesis burung tempatan di sekitar Kuala Kubu Bharu.

Zulkifli berkata, foto burung berkenaan dirakam dalam tempoh dua bulan di kawasan berpaya, lombong, hutan dan bukit pada waktu tertentu di awal pagi serta lewat petang.

Menurutnya, antara foto spesis burung yang dipamerkan adalah Pucung Serandau, Kelicap Belukar dan Jantung Gunung, Dendang Selayang, Punai Kocok, Hantu Punggor, Belatuk Pinang Muda, Ceriwit Duit-Duti serta banyak lagi.

"Paling istimewa foto pasangan Enggang Kelingking kerana ada individu yang terlibat pameran burung antarabangsa, datang ke pameran ini beritahu harga foto enggang ini bernilai mencecah RM50,000.

"Bagi saya kalau ada orang nak beli harga RM500 pun sudah memadai dan tujuan pameran ini memberi pendedahan kepada orang ramai agar menghargai spesis burung yang ada di sekitar kita.

"Untuk rakam aksi burung, kita perlu kaji waktu haiwan ini keluar cari makan dan lokasi persinggahan terutama dahan pokok supaya tidak terlepas momen terbaik,"katanya.

Zlkifli berkata, dia pernah memenangi tempat pertama pertandingan foto burung anjuran Tourism Pahang pada 2015 dan tempat kedua pertandingan Wings of KKB International Birds Race 2015.