Bergelar sebagai pemandu van sekolah mungkin dianggap mudah oleh sesetengah orang kerana dilihat sekadar menghantar atau menjemput murid-murid sahaja.

Namun begitu, hakikatnya, ia umpama menggalas amanah setiap ibu bapa yang memilih perkhidmatan disediakan lebih-lebih lagi tugas tersebut digalas seorang wanita.

Bagaimanapun, sejak sedekad lalu, sudah menjadi rutin buat Misah Yaacob, 49, di Seremban untuk keluar rumah seawal jam 6 pagi mengambil murid-murid untuk dihantar ke sekolah tepat pada waktunya.

Meskipun tiga anaknya sudah lama meninggalkan alam persekolahan, namun Misah tetap setia meneruskan kerjayanya itu yang sudah sebati dalam diri.

Penglibatannya sebagai pemandu van sekolah bermula tanpa dirancang iaitu sekitar 1994 yang  mana pada masa itu dia turut menggalas tanggungjawab menghantar anak-anaknya ke sekolah.

“Saya hanya bawa kereta pada masa itu, tapi biasalah apabila tinggal berjiran ini ada yang minta tumpangkan anak mereka. Lama-kelamaan permintaan itu semakin bertambah.

“Dari situ ada yang mula beri cadangan untuk saya sediakan perkhidmatan ini lebih serius lebih-lebih lagi pada waktu itu saya sudah tidak lagi bekerja,” katanya yang pernah bekerja di sebuah kilang.

Menurutnya, hasil dorongan suami, tiga tahun selepas itu dia nekad membeli van terpakai dan bas mini bagi memulakan kerjaya sebagai pengusaha van sekolah.

Dia mengakui pada mulanya agak bimbang kerana bukan sahaja perlu menghantar anak orang ke sekolah, tapi pada masa sama memastikan mereka sampai ke sekolah dan pulang ke rumah dengan selamat.

“Seronok sebenarnya bergelar pemandu van sekolah. Kita sudah anggap mereka macam anak sendiri kerana hampir setiap hari kita ambil dan hantar mereka dari rumah ke sekolah.

“Tapi, biasalah banyak cabaran dan dugaannya. Lebih-lebih lagi kita ini perempuan,” katanya.

Dimarahi kerana lewat

Antara pengalaman pahit yang kekal dalam ingatan Misah ialah dimarahi salah seorang ahli keluarga murid gara-gara murid tersebut lewat pulang ke rumah.

Menurutnya, dia juga pernah menangis sambil berkeliaran di kawasan sekitar sekolah mencari seorang murid tahun satu yang tidak berada di tempat menunggu van.

“Puas saya mencari, rupa-rupanya dia tunggu di dalam kawasan sekolah. Masa jumpa dia tu, saya betul-betul rasa lega dan perasaan tu macam jumpa anak sendiri.

“Saya dah anggap itu amanah ibu bapa kepada saya dan jika berlaku sesuatu saya tidak dapat elak diri untuk rasa kesal,” katanya.

Selain itu, katanya, ada juga ibu bapa yang liat membayar yuran perkhidmatan dan akhirnya senyap begitu sahaja.

Meskipun mendapat layanan sebegitu, namun Misah beranggapan ia adalah asam garam kehidupan dan tetap mengambil dan menghantar murid tersebut ke sekolah seperti biasa.

Galas amanah ibu bapa

Tuntutan kerjaya menyebabkan ramai ibu bapa yang tidak dapat memberi komitmen menghantar atau mengambil anak-anak mereka dari sekolah.

Misah berkata, keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa memilih perkhidmatan van sekolah untuk mengambil alih tugas mereka.

“Ramai yang fikir tugas sebagai pemandu van atau bas sekolah ini hanya menghantar dan menjemput murid-murid saja. Hakikatnya, tugas kami umpama ibu bapa yang menggalas tanggungjawab kepada anak-anak.

“Tapi berbanding perkhidmatan van dan bas sekolah, ramai ibu bapa yang memilih van sebab mereka nak anak mereka diambil dari depan rumah berbanding bas yang hanya boleh masuk di laluan tertentu sahaja,” katanya.

Mengenai kadar yuran bulanan pula, Misah menetapkan RM70 seorang dan ia mengikut kadar terkini.

Kini, suaminya yang sudah bersara dari perkhidmatan polis turut sama-sama memikul tanggungjawab itu selain turut dibantu oleh anak perempuannya.

Misah berkata, jika tiba musim cuti panjang persekolahan pula, dia menjalankan perkhidmatan katering dan dipenuhi dengan aktiviti bersama keluarga tercinta.

Misah juga sudah selesa dan mesra dengan murid-murid yang menaiki vannya.

Selain menjadi pemandu van sekolah, Misah juga aktif dengan aktiviti jiran wanita.