SHAH ALAM -  Perwatakan selamba serta sikap ‘happy go lucky’ dimiliki Nurul Adawiyah Abd Satar,  34, menjadikannya seorang guru yang cukup disenangi pelajar, malah cukup terkenal dengan panggilan ‘ustazah rock’.

Nurul Adawiyah,  34, berkata,  gelaran diberikan oleh anak-anak muridnya itu secara tidak langsung menggambarkan sisi peribadinya yang gemar tersenyum, mudah mesra dengan sesiapa sahaja selain sentiasa menganggap pelajar sebagai rakan baik.

“Saya memang begini,  tak suka serius-serius atau marah-marah.

“Saya memang sentiasa letakkan diri sebagai ibu serta sahabat kepada semua anak murid agar dapat menyelami hati mereka sekali gus mendekati dan menasihati mereka dengan cara tegas tapi berhemah,” katanya yang sudah hampir tujuh tahun bergelar pendidik.

Pengalaman pertama mengajar uji kematangan sebagai guru

Nurul Adawiah berkata minatnya untuk menjadi guru timbul selepas menjadi guru sandaran tidak terlatih pada 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 iaitu tempat beliau bertugas sekarang.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu,  beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang diploma pendidikan (DPLI) di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), sebelum ditugaskan ke Sekolah Menengah Taman Austin di Johor Bahru.

Katanya,  segala cabaran bermula di situ apabila terpaksa berdepan dengan kira-kira 85 peratus pelajar berbangsa Cina yang kurang fasih berbahasa Malaysia.

“Memang sukar, tambah lagi saya guru baru dan biasanya memang kena ajar kelas peralihan.

“Saya menangis setiap hari ketika itu kerana terlalu tertekan,  malah sering dikenakan pelajar kerana tak faham bahasa Cina, “ katanya.

Bagaimanapun katanya,  dia tekad untuk mempelajari bahasa Cina asas agar memudahkan komunikasinya dengan pelajar.

“Kamus dan buku berkaitan bahasa Cina semua saya beli.. dalam masa tiga bulan saya struggle tapi bila dah dapat kuasai bahasa itu sikit,  barulah kita dapat nak dekati anak-anak murid ini tadi.

Perlawanan persahabatan antara guru dan pelajar SMK Seksyen 7, Shah Alam.

“Apa yang saya belajar, mereka ni mudah untuk ‘masuk’ dengan kita jika kita dapat kuasai bahasa mereka dan masuk ke dalam dunia mereka,” katanya.

Katanya,  sehingga sekarang hubungannya dengan bekas pelajar di sekolah itu masih baik dan sentiasa berhubung di Facebook walaupun sudah mengajar di sekolah lain.

Pelajar tak suka dilabel

Nurul Adawiyah yang aktif bersukan itu berkata, selepas dia bertukar ke SMK Seksyen 7 pada 2014, situasi di sekolah baharu sedikit berbeza kerana majoriti pelajar berbangsa Melayu dan India.

Katanya,  beliau juga mula lebih memahami karakter pelajar yang rata-ratanya senang untuk didekati apabila guru-guru berani menyahut cabaran mereka.

Katanya,  pelajar suka apabila seseorang cikgu bukan sekadar bercakap tapi melaksanakan apa yang dikatakan.

“Contoh,  bila kita minta mereka sertai taekwando tapi mereka tak nak buat.. kita beri contoh,  dulu kita boleh lakukan dan sekarang masih lakukan perkara sama. Mungkin boleh buat lebih baik lagi.

Nurul Adawiyah bersama anugerah penglipur lara yang dimenanginya.

Menurutnya, pelajar juga tidak suka diri mereka dilabel atau ditegur dengan kemarahan.

“Sebagai guru kita kena bijak psiko mereka...  dengan pelajar zaman sekarang,  guru tak boleh terlalu garang atau terlalu lembut, kena seimbang.

Anugerah bukti penerimaan pelajar

Nurul Adawiyah memberitahu sepanjang bertugas di SMK Seksyen 7, beberapa anugerah diterimanya hasil undian daripada pelajar.

Pada tahun 2014 dan 2015 beliau dinobatkan sebagai guru kelakar,  manakala pada 2016 kategori guru tegas dan tahun lalu menerima anugerah guru tegas dan penyayang.

“Anugerah tersebut katanya bukanlah untuk membuktikan apa-apa tapi sebagai seorang guru, gembira dengan penerimaan para pelajar terhadap saya," ujarnya.

INFO

Latar belakang kerjaya

2002-2005: Melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Perniagaan di Politeknik Shah Alam

2006-2009: Sambung pengajian dalam jurusan Ijazah Kewangan dan Perbankan Islam di Universiti Utara Malaysia (UUM)

2010: Guru sandaran tidak terlatih di SMK Seksyen 7, Shah Alam

JUN 2010 - 2011: Sambung pengajian DPLI di Upsi

2012-2013: Bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Taman Mount Austin Johor Bahru

2014: Bertugas sebagai ustazah di SMK Seksyen 7, Shah Alam

2017-2018: Sedang menyambung pengajian dalam bidang Master Pendidikan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia