Usia yang masih muda tidak menjadi penghalang buat anak jati Sabak Bernam ini menggalas tanggungjawab besar sebagai Pegawai Kemas Daerah Kuala Selangor sekali gus membangunkan pendidikan awal kanak-kanak luar bandar.

Lebih menarik, Saiful Nizam Selamat, 32, yang murah dengan senyuman ini memulakan kerjayanya di sebuah syarikat swasta selama setahun sebelum ditawarkan bertugas di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).

Namun beliau hanya sempat berkhidmat selama enam bulan di MPIB sebelum bertukar ke Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Ibu Pejabat Putrajaya pada 2009 sehingga lebih kurang lapan tahun.

Menurut Saiful Nizam, beliau tidak menyangka diberi peluang untuk menggalas jawatan sebagai Pegawai Kemas Daerah Kuala Selangor pada Julai tahun ini meskipun masih setahun jagung dalam Kemas.

“Berkat sokongan dan dorongan ibu bapa dan keluarga memberikan saya kekuatan untuk memikul tanggungjawab besar ini lebih-lebih lagi Kuala Selangor umpama kampung sendiri kerana jaraknya dekat dengan Sabak Bernam. Bila diberi peluang ini, saya ibarat turun ke kampung halaman sendiri kerana suasananya tak ubah di Sabak Bernam dengan masyarakat Jawa, Banjar dan Melayu.

“Berkhidmat di Kuala Selangor juga memberikan saya satu dimensi baru yang mana saya perlu lebih kerap mendampingi masyarakat berbanding ketika di Putrajaya dahulu. Suasana masyarakat yang majmuk, baik dan peramah membolehkan jalinan kerjasama dapat dieratkan sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menabur bakti kepada penduduk setempat,” katanya.

Sudah menjadi harapan Saiful Nizam untuk menerajui Jabatan Kemas Daerah Kuala Selangor sebagai satu agensi yang paling dekat dengan masyarakat setempat.

“Saya sukakan cabaran dan tidak mudah mengalah menjadi prinsip hidup. Menerajui Kemas Daerah Kuala Selangor merupakan satu cabaran besar lebih-lebih lagi dalam menjayakan hasrat kerajaan menaik taraf keboleh upayaan masyarakat luar bandar.

“Dari segi pentadbiran pula, saya akan meningkatkan lagi prestasi jabatan supaya Kemas Daerah Kuala Selangor sentiasa menepati kehendak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Ilmu dan pengalaman sedia ada akan dijadikan panduan kerana saya pernah terpilih mewakili jabatan sebagai Jawatankuasa Pameran sempena Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016).

“Pada ketika itu, saya ditugaskan bersama rakan sejawat untuk menyediakan simulasi kelas tabika sebagai bahan pameran. Pendekatan kami mewujudkan simulasi kelas Tabika Interactive White Board (IWB) sebagai alat bantu mengajar menarik minat peserta luar negara.

“Pengunjung juga banyak bertanya kaedah pengajaran dan pembelajaran menggunakan IWB di Tabika Kemas sekali gus memberikan maklum balas yang baik kepada jabatan,” katanya.

Saiful Nizam (duduk, tiga kanan) bersama pemimpin setempat dan warga pengajar Kemas.

Hobi berbasikal

Saiful Nizam yang mempunyai hobi berbasikal itu turut berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila menerima Pengiktirafan Anugerah Emas Trusted Brand Of The Year 2017 Reader's Digest.

“Saya masih ingat pada 2015, saya membantu menyediakan tiga modul baru Kemas iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI), Program Pemupukan Semangat Patriotik dan Program Keyakinan Diri.

“Modul baru diperkenalkan ini berjaya menaikkan nama Kemas sekali gus menerima anugerah emas terbabit dan menjadi titik tolak untuk saya membawa Kemas lebih jauh.

"Sudah pastinya bagi capai hasrat itu, saya jadikan warga Kemas Daerah Kuala Selangor sebagai rakan kongsi dan mendengar setiap pandangan mereka bagi menambah baik perkhidmatan jabatan. Saya percaya, hubungan erat antara pengurusan daerah dengan warga kerja Kemas inilah yang berjaya membentuk kerja berpasukan yang terbaik dan raih kejayaan,” katanya.

Saiful Nizam bersama isteri dan anak tersayang.