GURU ini cukup bersemangat bila diajak berbicara tentang Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran, Putatan, Sabah.

Baginya, murid MBK ada kelebihan tersendiri. Cuma tinggal untuk cungkil bakat mereka sahaja.  

Cikgu Stefanus Lucas, 27 yang mengajar subjek Pendidikan Muzik di SK Pendidikan Khas Tuaran berkata, MBK boleh melakukan perkara hebat walaupun diri banyak kekurangan.

Bersama murid MBK Masalah Penglihatan yang seronok mengikuti kelas Cikgu Stefanus.

"Jika mereka boleh buat, mengapa tidak kita yang mempunyai keadaan diri yang lebih baik daripada mereka, melakukan 'sesuatu' untuk kebaikan bersama," katanya yang berkongsi amalan bilik darjah yang dibuat sehingga dirinya diumum sebagai pemenang sagu hati Kempen Guru PAK21.

Pemenang sagu hati membawa pulang tunai RM300, 35 x VR Goggles, plak berserta sijil, Microsoft Surface 3 sumbangan Microsoft, Latihan Profesional bersama Microsoft dan U-Pointer sumbangan Maiza Tech Sdn Bhd.

Anak kelahiran Kampung Togop, Tamparuli, Sabah berkata, sebagai guru Pendidikan Khas, asas utama dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah guru perlu kenal murid secara individu terlebih dahulu.

"Amalan ini diterapkan sejak saya mula berkhidmat bakti di SK Pendidikan Khas Tuaran hasil daripada perkongsian rakan guru yang sudah berpengalaman mengajar murid MBK di sekolah ini.

"Melalui pengenalan secara individu terhadap setiap anak murid kita, barulah kita boleh merancang dan melaksanakan amalan pendidikan yang paling berkesan untuk kemenjadian anak MBK secara menyeluruh," ujarnya.

Murid MBK ketika melakukan aktiviti di luar kelas.

Tambah Cikgu Stefanus, kumpulan MBK perlu dilibatkan dengan pembelajaran yang menyeronokkan.

"Fun Learning bukan semata-mata guru tersebut mempunyai unsur-unsur kecindan tetapi turut melibatkan bahan bantu mengajar yang menarik dan menyeronokkan seperti alat mainan (lego, patung puppet dan sebagainya) serta suasana pembelajaran yang menyeronokkan," katanya.

Elemen 4K1N (Kolaboratif, Komunikasi, Pemikiran Kritis, Kreativiti, Nilai dan Etika) telah diperkenalkan oleh Cikgu Stefanus kepada murid MBK Masalah Penglihatan bagi subjek Pendidikan Muzik.

"Anak-anak murid saya berdepan kesukaran dalam mengenal pasti nilai-nilai not krocet, minim dan semibrif.

"Jadi, saya bantu mereka dengan menggunakan kaedah lebih senang melalui penggunaan lego dalam situasi PAK21.

"Saya juga guna pendekatan dalcroze iaitu murid mengeksplorasi bunyi muzik yang mereka dengar sambil mengekspresikannya menggunakan pergerakan secara lokomotor atau bukan lokomotor dan mengekspresikannya dengan menulis pada papan tulis dengan membayangkan bunyi yang telah didengari," jelasnya.

Seterusnya, beliau meminta murid menjelaskan kepadanya tentang pergerakan dan lukisan yang telah ditulis (bunyi pendek, panjang dan sangat panjang). Selepas itu, murid akan duduk dalam kedudukan meja bulat, dan dirinya meminta mereka untuk menghubungkaitkan aktiviti mengeksplorasi muzik yang mereka telah dengar dengan menggunakan lego pelbagai saiz di atas meja.

"Murid mengaplikasikan bunyi nilai not melalui lego pelbagai saiz dengan permainan alat perkusi dalam meter 4/4. Berdasarkan pengalaman nilai not yang telah dipelajari, saya meminta murid mencipta corak irama yang baru dalam kalangan nilai not krocet, minim dan semibrif bagi meter 4/4 sepanjang 3 atau 4 bar. Akhir sekali, murid membuat persembahan hasil ciptaan mereka dengan diiringi lagu yang dimainkan saya menggunakan ukulele," ujar anak pasangan Lucas Gondolot dan mendiang Dainah Kundaping.

Murid MBK menggunakan alat mainan untuk menunjukkan pic menaik dan pic menurun.

Tidak ambil masa lama

"Penyediaan bahan bantu mengajar tidaklah mengambil masa yang lama, tetapi cabaran terbesar yang saya hadapi ialah anak MBK memerlukan masa dan ruang untuk mencapai sesuatu matlamat atau objektif pembelajaran dan pengajaran.

"Walau bagaimanapun, itu bukan alasan untuk mengatakan bahawa mereka tidak boleh mencapainya atau melakukannya, tetapi saya memberikan mereka ruang dan masa yang mencukupi untuk mencapai sesuatu objektif dan matlamat dalam pendidikan.

"Kebanyakan idea yang saya peroleh hasil daripada perkongsian rakan pendidik muzik kursus yang saya hadiri selama ini. Selain itu, anak murid merupakan sumber utama saya untuk mendapatkan idea pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dalam kelas," ujarnya yang memperuntukkan RM500 sehingga RM1,000 gaji (biasanya lebih separuh daripada gaji) untuk pembelian bahan bantu mengajar, buku-buku cerita yang sesuai untuk aktiviti muzikal, bahan bacaan atau nota-nota muzik, bahan-bahan keceriaan kelas Pendidikan Muzik dan yuran bagi menghadiri kursus-kursus yang berkaitan dengan muzik secara kendiri.

Sedikit pesanan Cikgu Stefanus buat rakan pendidik di luar sana.

"Jangan berputus asa dalam mendidik anak-anak bangsa, teruskan berbakti walaupun adakalanya kita seperti tidak dihargai. Walaupun tiada siapa yang memerhati dan tiada siapa yang peduli apa yang kita lakukan, tetapi Tuhan yang maha Esa ada bersama dengan anda dan saya. Teruskan berjuang!," akhirinya.

Cikgu Stefanus menggunakan patung Puppet untuk mengajar lontaran suara dan sebagai salah satu alat untuk latihan pernafasan.

Cikgu Stefanus sebagai guru pengiring bersama Alya Ilyana Nor Hanizam yang menyertai pertandingan Nyanyian Solo Karnival Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan, Kedah, 2017.

Kumpulan Boria sekolah ini mendapat naib johan pada pertandingan Karnival Anti Dadah dan bersaing dengan sekolah perdana di peringkat Daerah Penampang.

Murid Tahun 4 mengeksplorasikan lego untuk kegunaan mempelajari nilai not dan penciptaan corak irama mudah.

ARTIKEL MENARIK:

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya

Guru ini sanggup menyumbang sejumlah wang gaji untuk sedia kelengkapan pelajar yang rata-rata miskin

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Pernah dirotan dan ditampar guru...kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad… guru ini tetap tanda kertas