PROFIL

Nama: Ahmad Sabrey Idris, 60

Nama isteri: Zainab Yusof, 58

PENDIDIKAN: -

- Diploma Pendidikan Maktab Perguruan

- Diploma Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pendidikan Malaysia

- Diploma Pentadbiran Perniagaan Universiti Malaya

PERNIAGAAN

- Pengarah Urusan Best Tekad Maju Sdn Bhd (Pengedar motosikal Modenas dan kontraktor kelas D

-Pengarah Urusan Jengka Motor Sdn Bhd (Pengedar kenderaan Perodua)

Jawatan: Pengerusi Gabungan Usahawan Melayu Jengka

-Setiausaha Umno Bahagian Kuala Krau

Pada ketika negara dilanda krisis ekonomi akibat serangan mata wang 1997, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pusat 2 memutuskan untuk memulakan perniagaan.

Pada ketika itu, rakan seperjuangan tidak setuju dengan keputusannya malah menyifatkan tindakannya itu sebagai gila dan cari nahas.

Namun kata-kata orang tidak langsung mematahkan semangat Ahmad Sabrey Idris. Beliau memulakan langkah dengan mendaftar sebuah syarikat dengan nama Bestekad Maju Sdn Bhd, seiring tekadnya untuk menjual motosikal di Bandar Pusat Jengka.

Bermodalkan wang simpanan sendiri lahirnya Bestekad Maju Sdn Bhd yang merupakan satu-satunya pengedar Melayu tunggal motosikal Modenas di Negeri Pahang.

Bahkan sehingga hari ini, beliau merupakan satu-satunya peniaga Melayu yang membuka perniagaan sedemikian di Pahang dengan mengambil peluang di tengah-tengah risiko krisis kewangan global Asia.

“Keputusan meletakkan jawatan setelah lebih 20 tahun berkhidmat dalam bidang perguruan bukan semata-mata demi minat dalam perniagaan, tetapi kerana melihat peluang dan potensi besar yang boleh diraih untuk jangka masa panjang.

“Dan hari ini, Alhamdulillah. ALLAH memurahkan rezeki saya. Peluang yang saya lihat 20 tahun dahulu itu terbukti tepat. Saya kekal sebagai satu-satunya usahawan bumiputera Melayu yang menjual motosikal di Bandar Pusat Jengka," katanya.

Kata Ahmad Sabrey, daripada membuka kedai motosikal, beliau ceburi bidang kontraktor dengan mengambil lesen kelas D pada tahun yang sama dan kemudian buka syarikat edaran kenderaan  Perodua pada 2013.

Bermula dengan dua pekerja, kini Ahmad Sabery menggaji 40 pekerja tetap bagi menguruskan ketiga-tiga cabang perniagaannya.

Pasangan suami isteri ini turut membuka sebuah kedai makan di Bandar Pusat Jengka diuruskan sepenuhnya oleh Zainab.

Puas hati dapat bantu peneroka

Kini, usahawan itu berpuas hati dengan pencapaiannya kerana beliau bukan sahaja berjaya memajukan diri dan keluarga, malah membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi ramai anak muda serta peneroka di wilayah Jengka.

Empayar perniagaan edaran Peroduanya terus berkembang dan akan diperluaskan bukan sekadar jualan, servis dan alat ganti tetapi juga perkhidmatan 'body and paint centre'.

“Ketika mula-mula buka bisnes dulu, saya ibarat duduk dalam lumpur kering di musim kemarau. Memang payah untuk bangkit. Saya pernah kutip motosikal yang tinggal rangka di rancangan Felda kerana kegagalan peminjam untuk bayar balik.

“Namun itulah cabaran perniagaan. Bagi saya, apabila perniagaan saya mampu bertahan pada musim kegawatan ekonomi yang besar, maka pada waktu kritikal, ia jadi alah bisa tegal biasa. Perkara yang sukar pernah dihadapi maka perkara yang lain akan menjadi mudah,” katanya.

Apa yang penting matlamatnya untuk membantu golongan peneroka dan Melayu sudah berhasil dan tidak akan pernah pudar.

Modal berbayar Jengka Motor Sdn Bhd kini sebanyak RM5 juta manakala Bestekad Maju Sdn Bhd ialah RM3 juta.

Ahmad Sabrey dan Zainab (lima, kanan) bergambar bersama sebahagian kakitangan Jengka Motor Sdn Bhd.

Serah memorandum kepada PM  

Bapa kepada empat anak dan datuk kepada lima cucu ini juga aktif dalam persatuan dan memegang jawatan Pengerusi Gabungan Usahawan Melayu Jengka.

Beliau pernah mewakili persatuan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mengekalkan dan menggazet Bandar Pusat Jengka sebagai satu-satunya wilayah perniagaan Melayu.

“Bukan setakat hantar memorandum, buat demonstrasi dan piket pun pernah untuk bantah kemasukan peniaga asing. Namun melihat kepada senario yang berlaku berkaitan perniagaan di Bandar Pusat Jengka pada hari ini, kelihatan perjuangan itu seakan jauh, tetapi saya yakin ia masih belum terlambat.

“Kita masih boleh menyelamatkan ratusan peniaga dan usahawan Melayu di Bandar Pusat Jengka ini daripada gulung tikar sekiranya mempunyai sokongan pihak berkaitan,” katanya.