“ Ayat “Cikgu! Susah la nak ingat…” amat sinonim dalam kalangan murid, sama ada murid lemah, sederhana mahupun cemerlang. Sebab itulah saya laksanakan kaedah simulasi arkeologi dalam proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang saya inovasikan bagi topik Zaman Prasejarah (Sejarah Tahun 4) PAK 21 (4K 1N).”

Demikian kata Adiwira PAK 21, Cikgu Louis Pulong, guru subjek Sejarah Sekolah Kebangsaan Kerupang, Wilayah Persekutuan Labuan.

“Proses PdPc Zaman Prasejarah dimulakan dengan murid membuat scanning pada isi pelajaran. Kemudian murid diberikan dalam beberapa kumpulan bagi melaksanakan simulasi kaedah arkeologi di kawasan lapang sekolah.

Cikgu Louis sentiasa disenangi anak murid.

“Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap ahli dalam kumpulan mempunyai tugas masing masing seperti penggali, pencatat dan penganalisis. Penetapan tugas dalam kumpulan adalah hasil perbincangan dalam kumpulan masing-masing,”katanya kepada GPSBestari.

Memperkenalkan amalan PdPc yang merangkumi 5 elemen PAK21, komunikasi, kreativiti,  nilai dan etika,  pemikiran kritis dan kolaborasi.

Selain membantu murid mengingat fakta sejarah masyarakat prasejarah dengan mudah menerusi kaedah simulasi arkeologi.

Amalan terbaik yang diperkenalkan itu telah membolehkan guru asal Pandiwan, Nabawan Sabah ini muncul sebagai penerima Anugerah Adiwira PAK 21 peringkat kebangsaan sempena Kempen Guru PAK21, baru-baru ini.

“PdPc ini dilaksanakan mengikut teori pembelajaran masteri, iaitu terdapat empat lapisan warna tanah yang mewakili setiap zaman prasejarah. Pembelajaran di akhiri dengan proses diskusi di antara guru dan murid-murid.

Murid sedang membuat tugasan

“PdPc yang di laksanakan ini juga bukan sahaja dapat membantu murid mengingat fakta-fakta sejarah zaman prasejarah. Bahkan, menerusi perkongsian murid secara lisan dan perbincangan, menunjukkan wujudnya perubahan fikiran dan perwatakan, serta emosi mereka yang lebih matang dan mantap,”jelas guru muda yang baru setahun lebih bergelar pendidik ini.

Katanya lagi, pembelajaran dan faktor perlaksanaan persekitaran PdPc yang menyeronokkan, mendorong penglibatan murid sepenuhnya secara aktif, serta dapat memberikan impak pemahaman yang menyeluruh kepada murid.

“Pelaksanaan amalan terbaik pendidikan ini sebenarnya telah saya praktikkan dan mulakan sejak saya menjalani latihan praktikum sebagai guru pelatih ketika masih menuntut di IPG Bahasa Melayu, Kuala Lumpur lagi.

“Kekangan masa adalah cabaran dan masalah yang terpaksa dilalui, namun ia bukan halangan terbesar buat saya. Sebagai guru, kita bukan sahaja melaksanakan PdPc semata-mata, tetapi turut terlibat dengan pelbagai aktiviti dan komitmen lain sama ada di dalam mahupun luar sekolah,”katanya.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, masa perlu diagihkan dengan baik,  bagi memastikan semua perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur.

Murid berjaya menggali dan mendapatkan tinggalan zaman prasejarah

“Selain itu, masalah Bahan Bantu Belajar (BBB) yang agak terhad juga antara cabaran yang terpaksa saya hadapi. Untuk menghasilkan BBB yang dapat membantu murid-murid melaksanakan PAK21, saya terpaksa membeli barang luar dari Labuan dan menggunakan kreativiti sendiri untuk menginovasikan bahan yang ada bagi menjadikan bahan tersebut BBB yang sesuai,”ujarnya.

Menyentuh tentang reaksi murid dan penerimaan warga sekolah katanya, murid sangat teruja dan sentiasa ternanti-nanti aktiviti pembelajaran yang bakal mereka laksanakan pada pembelajaran seterusnya.

“Penerimaan mereka juga baik, selain objektif dan kriteria pembelajaran lebih mudah tercapai. Murid menunjukkan tindak balas dan minat untuk belajar yang lebih positif berbanding sebelum ini.

“Guru Besar iaitu Cikgu Hajah Aini Haji Salleh, dan juga rakan guru turut menyokong kelainan yang saya cuba bawakan ini. Mereka berharap agar PdPc seumpama ini dapat terus dilaksanakan, memandangkan  murid-murid sudah mula menampakkan minat dalam pembelajaran, khususnya subjek Sejarah,”terangnya.

Kata beliau, kerjaya perguruan adalah satu kerjaya yang sangat penting dalam pembangunan dan kemajuan negara dan bangsa. Bermula daripada kerjaya perguruan ini jugalah berlakunya kemenjadian manusia yang sebenar, pembentukan modal insan berterusan, dan juga pembelajaran kehidupan yang bermakna.

Bekas penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur ini juga yakin, semua pelajarnya akan dapat menerima dan memperoleh impak semaksima mungkin terhadap PdPc yang dilaksanakan, dalam memastikan kemenjadian mereka secara holistik.

“Apabila murid mulai menunjukkan perubahan gaya pemikiran, pembawaan watak, cara komunikasi yang lebih matang dan sebagainya. Itu maksudnya murid juga sudah berada dalam proses perkembangan secara menyeluruh,”katanya.

Murid menghasilkan peta buih berganda untuk membuat perbandingan dapatan mereka.

Profil:

Nama penuh: Louis Pulong

Sekolah: Sekolah Kebangsaan Kerupang, Labuan.

Subjek: Sejarah

Asal: Kampung Pandiwan, Nabawan Sabah

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda dengan Kepuijan (Sejarah Pendidikan Rendah)

Pencapaian / Anugerah :

1.Adiwira Pak 21 Peringkat Kebangsaan.

2.Adiwira Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

3.Penceramah Jom Kick (Kongsi Inovasi dan Cerita Kreativiti) Peringkat Kebangsaan.

4.Memenangi Pingat Perak Sempena Progam Maitah Be’Inovasi Peringkat Kebangsaan 2018.