Satu ketika dahulu pasangan kembar ini pernah popular dengan lagu mereka berjudul, 'You Marah I Love You'.

Pun begitu, lama kelamaan langkah seni duo kembar ini bagaikan hilang dari radar industri seni hiburan tanah air.

Rupa-rupanya kehilangan Twinnies bukanlah hilang terus sebaliknya rezeki dua beradik ini terletak di utara Semenanjung tanah air.

Menurut anggota Twinnies, Nur Atikah Norddin, 26, bersama adiknya Atirah, mereka berdua mempunyai pekerjaan tetap di Perlis.

“Saya bekerja sebagai juruhebah di radio tempatan, Perlis dan juga guru vokal manakala Atirah merupakan guru muzik persendirian sepenuh masa dan menguruskan perniagaan kedai muzik kami iaitu Twinnies Home Music.

“Kami mengajar muzik, menjual dan turut menyewa kelengkapan alat muzik di kedai yang terletak di Taman Sena Indah, Kangar serta menguruskan pembelian secara online," katanya.

Kata Nur Atikah, hampir tiga bulan beroperasi di Perlis kini jumlah pelajar hampir mencecah 70 orang,

"Alhamdulillah hampir tiga bulan beroperasi di Perlis dengan jumlah pelajar hampir mencecah 70 orang, kelas yang kami adakan ini mendapat sambutan agak menggalakkan. Kelas seminggu sekali selama satu jam.

"Setakat ini ramai ibu bapa yang memberi sokongan pada kami untuk meneruskan perniagaan muzik ini. Dapat juga membantu meningkatkan kreativiti para pelajar," katanya.

Katanya, dia bersyukur dapat bekerja di kampung halaman.

Meskipun Twinnies kini sibuk dengan pekerjaan tetap masing-masing namun mereka masih aktif mencipta lagu.

“Menerusi tiga single kami yang telah dikeluarkan, 'You Marah I Love U', 'Dalam Hati' dan terakhir 'Tabahkanlah' diterbitkan pada tahun lalu, alhamdulillah Twinnies masih diingati dan masih mendapat jemputan bagi mengadakan persembahan.

“Untuk tahun ini, kami masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan single terbaharu kerana mahu fokus kerjaya masing-masing terlebih dahulu,” ujar Atikah.

Pun begitu, Twinnies masih bergiat aktif dalam mencipta lagu seperti lagu nasyid sekolah, jabatan dan sebagainya mengikut permintaan pelanggan.

"Jika ada antara penyanyi yang sudi menyanyikan lagu kami pun, apa salahnya," akhirinya.