Siapa sangka.. hanya belajar melukis ketika di sekolah rendah, cubaan artis terkenal ini mengembangkan bakatnya selepas 22 meninggalkan hobi itu membuahkan hasil lumayan.

Lukisan yang dihasilkan pelakon, Anzalna Nasir kini ditawarkan harga ribuan ringgit.

Bagaimanapun tegas Anzalna, dia tidak akan semberono menerima tawaran, sebaliknya setiap lukisan yang dijual, adalah pada harga munasabah, biarpun untuk tujuan amal.

Malah meskipun hasil daripada hobinya itu tidak masuk ke poket sendiri, sekurang-kurangnya ia sudah memberi manfaat kepada insan yang lebih memerlukan.

“Saya memang terkejut dan tidak percaya apabila ada pihak yang bersungguh mahu membeli lukisan saya dengan harga ribuan ringgit sedangkan saya bukanlah seorang pelukis profesional.

“Walaupun saya menjual bagi tujuan amal, saya tidak letak harga pada lukisan saya sebaliknya pembeli yang membida.

“Setakat yang saya dah jual, harganya berbeza-beza dan ada kalangan pembeli yang minta saya rahsiakan identiti mereka dan juga ada yang benarkan saya kongsi di instagram,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media dan tayangan perdana program Astro, bertempat Hotel Majestic, baru-baru ini.

Tambah Anzalna, hasil jualan lukisan itu akan disumbangkan kepada pesakit kanak-kanak yang menghidap kanser.

Bukan itu sahaja, dia juga bercadang untuk membeli keperluan bagi kegunaan gelandangan di sekitar ibu negara.

“Setiap kali tibanya Ramadan, selain fokus pada ibadah, saya selalu fikir apa lagi yang saya mahu buat memandangkan saya banyak masa kerana tidak menjalani penggambaran.

“Kebetulan ramai pula yang berminat nak beli lukisan, jadi saya fikir, duit hasil jualan itu elok kalau saya buat amal,” jelasnya.

Walaupun semakin seronok melukis, Anzalna menegaskan dia tidak meninggalkan dunia lakonan sebaliknya tetap dengan pendirian lebih selektif dan menerima tawaran yang betul-betul sesuai.

“Melukis ini hanya hobi masa lapang dan saya masih tetap aktif dengan kerjaya lakonan. Cuma saya selektif dan menerima tawaran jika betul-betul sesuai dan naskhahnya bagus,” katanya.

Kembali melukis selepas 22 tahun

Bercerita lanjut mengenai hobinya ini, wanita berusia 30 tahun ini mendedahkan, dia sebenarnya sudah lama tidak memegang berus lukisan selepas kali terakhir berbuat demikian ketika berusia 8 tahun.

“Ketika itu saya tinggal di Montreal, Kanada dan kebiasaannya sekolah di luar negara ada menyediakan kelas seni.

“Kemudian saya ada menyertai pertandingan melukis dan menang. Namun masa pengumuman kemenangan itu, saya dah pun pulang ke Malaysia.

“Apa yang manis, hasil lukisan saya itu telah dipamerkan di sebuah hospital di wad kanak-kanak. Ia juga dijadikan kad Krismas dan dijual di Kanada. Itulah kali terakhir saya melukis,” katanya.

Sejak kembali aktif melukis belakangan ini, sebanyak lapan daripada 10 lukisan yang dihasilkan telah berjaya dijual.

Bukan itu sahaja, Anzalna turut mendapat permintaan melukis potret Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu dia juga dalam proses menyiapkan sebuah lukisan Kaabah.

“Ada yang minta saya lukis potret Tun M. Sebenarnya saya kurang gemar lukis potret dan lebih kepada ‘painting’. Tapi saya cuba dan jadi jugalah wajah Tun, tapi lukisan itu belum sempurna lagi. Selain itu saya sedang siapkan lukisan Kaabah.

“Saya baru jual lukisan Eiffel Tower, sebenarnya saya berat hati nak jual sebab pemandangan itu adalah kenangan yang saya nikmati ketika saya pergi bercuti, tapi saya setuju untuk jual sebab fikirkan misi amal saya.

“Selalunya apa yang saya lukis tidak tetap. Ia bergantung kepada mood, kalau saya rasa nak lukis gambar pemandangan saya buat. Tapi tiba-tiba esok nak lukis gambar haiwan, saya lukislah.

“Melukis pun memerlukan mood, kalau tak ada mood, memang tak akan jadi apa-apa,” katanya yang mengambil masa lebih tiga jam untuk menyiapkan sesebuah lukisan.

Mengenai perkembangan lakonan, Anzalna bakal muncul menerusi telemovie 'Renyai Takbir Raya' yang akan ditayangkan pada Aidilfitri ini.