"DI MANA sahaja sekolah kita ditempatkan untuk mengajar, kita kena berlapang dada dan berfikiran terbuka."

Demikian mula bicara Cikgu Mohamad Hafizi Zahari yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Beng, Lenggong, Perak sejak tahun 2015 lagi.

Kata guru Bahasa Melayu ini, anggaplah sekolah berkenaan sebagai tempat untuk kita menabur bakti dan mencurah ilmu kepada murid-murid agar mereka menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.

"Sebelum ini, saya pernah mengajar di SJKC Padang Grus, Lenggong selama dua tahun dari 2013 hingga 2014. Jadi, sedikit sebanyak pengalaman di sekolah lama saya aplikasikan di sekolah sekarang," katanya.

Guru kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini mengakui, ada antara bakal guru dan guru senior yang bimbang dan menolak apabila ditugaskan mengajar di sekolah Cina.

"Sebenarnya, inilah peluang yang sangat baik untuk mempelajari bahasa dan budaya kaum lain.

"Kita sebagai warga pendidik harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dan menerima hakikat bahawa pendidik mampu mengajar sesiapa tanpa mengira kaum," kata guru berusia 30 tahun ini.

Menurut beliau, mengajar di SJKC Khay Beng membuatkan dirinya berasa sangat dihargai oleh warga sekolah.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja buah tangan daripada guru-guru Cina di atas meja saya.

"Hubungan yang baik ini bukan sahaja dengan warga sekolah, tetapi juga dengan penduduk sekitar yang turut menyertai aktiviti anjuran sekolah walaupun mereka tiada anak yang belajar di sini," cerita beliau.

Lebih bermakna apabila sambutan hari jadi warga sekolah termasuk guru, kerani, tukang kebun dan pengawal keselamatan turut dijadikan program bulanan SJKC Khay Beng.

Tambah Mohamad Hafizi, keseronokan mengajar di sekolah Cina itu datang daripada sikap dan keperibadian Guru Besarnya, Cheng Ting Shyiong.

"Mr Cheng sangat mesra dan mudah dibawa berbincang. Beliau ialah watak penting yang menjadikan semua guru di sekolah ini gembira mengajar," jelasnya.

Mr Cheng (kanan) memberi ang pow kepada Cikgu Mohamad Hafizi sempena Tahun Baharu Cina.

Berasa dihargai

SJKC Khay Beng sekolah yang agak unik pada pandangan Cikgu Mohamad Hafizi. Itulah sebabnya walaupun sekolah itu adalah SJKC tetapi 70 peratus muridnya adalah kaum Melayu.

"Sekolah ini terletak di perkampungan Melayu, sebab itu, ramai murid Melayu memilih SJKC Khay Beng. Namun, gurunya hanya dua orang yang berbangsa Melayu, selebihnya guru Cina," ujarnya.

Sepanjang berada di SJKC Khay Beng, pelbagai pengalaman manis dan berharga yang dikecapi.

"Selain mendapat ramai sahabat daripada bangsa lain, saya juga dapat meraikan pelbagai perayaan dan budaya. Bukan semua orang dapat menikmati peluang ini," katanya.

Pengalaman hari pertama melangkah ke sekolah itu merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Ketika mula-mula melapor diri ke SJKC Khay Beng, kedatangan saya disambut penuh meriah.

"Bayangkan, warga sekolah adakan sambutan hari jadi, kebetulan hari tersebut adalah hari jadi saya," katanya.

Pelbagai hadiah diberikan pihak sekolah. Ketika itu, Cikgu Mohamad Hafizi berasakan kehadirannya di sekolah itu amat dialu-alukan dan dihargai.

"Waktu itu, saya juga bimbang akan penerimaan mereka terhadap saya. Maklumlah, guru Melayu mengajar di sekolah Cina.

"Langkah pertama yang saya buat adalah dengan menyampaikan cerita dalam bentuk lukisan dan bahasa badan supaya mereka faham apa yang saya sampaikan ketika mengajar," katanya.

Nasib baik, kaedah yang digunakan Cikgu Mohamad Hafizi itu menghasilkan kesan positif.

"Apabila mereka sudah menunjukkan minat pada seseorang guru, pastinya apa yang ingin disampaikan akan dinanti-nantikan oleh murid. Saya gembira cara itu menjadi," ujarnya.

Kata beliau, sebenarnya tiada isu perkauman di peringkat sekolah. Murid daripada bangsa lain menerima sesiapa sahaja guru mereka.

"Bila tiba hari guru atau hari jadi, macam-macam hadiah yang saya dapat," kenang beliau.

Walaupun berbeza agama dan bangsa, semua guru akan bekerjasama dalam apa juga aktiviti yang dijalankan.

"Kadangkala saya berasa malu dengan sikap guru-guru Cina yang begitu bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan masing-masing. Sikap mereka yang tidak suka menangguh kerja wajar dipuji," katanya.

Pesan beliau kepada rakan guru yang ditugaskan berkhidmat di sekolah Cina, cubalah mencabar diri untuk tidak berada di zon selesa.

"Berusaha menunjukkan contoh teladan yang baik. Perbetulkan niat dan ikhlaskan hati di mana pun kita berada. Guru penggerak utama dalam menyemai perpaduan di negara kita," katanya.

 Meraikan Hari Graduasi murid Tahun Enam SJKC Khay Beng.

Cikgu Mohamad Hafizi (dua dari kiri) ketika sambutan hari jadi salah seorang guru di SJKC Khay Beng.

PROFIL:

Nama: Mohamad Hafizi Zahari

Umur: 30 tahun

Asal: Rantau Panjang, Kelantan

Idola: A Samad Said

Nama isteri: Nurul Wajihah Zanuddin

Nama anak: Haura Nur Ishqi

Kerjaya: Guru Bahasa Melayu dan Guru Panitia BM di SJKC Khay Beng, Lenggong, Perak

Sekolah terdahulu: SJKC Padang Grus, Lenggong

Akademik: SK Kubang Kuau Rantau Panjang, Kelantan, SMK (A) Lati Pasir Mas, Kelantan dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu daripada Institut Perguruan Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

Cikgu Mohamad Hafizi bersama keluarga.

Cikgu Mohamad Hafizi (paling kiri) ketika mengajar di SJKC Padang Grus, Lenggong, Perak.

Cikgu Mohamad Hafizi (kanan) ketika membawa rakan guru mengunjungi lokasi menarik di Kelantan.

Artikel Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi