Rezeki tidak pernah salah alamat, itu yang dapat digambarkan buat sosok tubuh Guru Edufluencer bernama Saifulnizan Che Ismail. Guru subjek Matematik serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Kebangsaaan (SK) Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan itu tidak menyangka usahanya terlibat secara aktif dengan inovasi pada tahun 2017, membuahkan hasil apabila pencapaian demi pencapaian diraih oleh guru asal Kelantan itu.

Lebih mengagumkan, guru yang sudah berkhidmat selama 10 tahun itu turut terpilih untuk membawa pasukannya membentangkan kempen kesedaran menjaga dan melestarikan alam sekitar menerusi Projek Save the Earth di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 hingga 30 November 2019 lalu.

Pasukan DFC SK Raja Bahar selamat tiba di Rom, Itali disambut oleh wakil kedutaan Malaysia, Ahmad Zamri Rabaiee (tengah)

Sebanyak 12 pasukan yang dinamakan Design for Change (DFC) Malaysia telah terpilih untuk mempertaruhkan inovasi masing-masing di sana. Daripada 12 guru pengiring itu, Cikgu Saifulnizan, satu-satunya guru pengiring lelaki dari Malaysia.

“Saya mencipta bahan bantu mengajar (BBM) untuk membantu murid memahami konsep mengira luas bentuk segi tiga secara didik hibur yang dinamakan Inovasi ‘DamLU’.

Pasukan DFC Raja Bahar ketika sesi soal jawab berkenaan projek Save the Earth

"Menerusi inovasi inilah saya dianugerahkan Johan Guru Inovatif peringkat negeri Kelantan pada tahun 2017," katanya.

Pada tahun berikutnya, beliau dinobat Naib Johan Guru Inovatif peringkat kebangsaan pula menerusi ciptaan BBM yang dinamakan Papan Serbaguna Eksplorasi Nombor.

Kata beliau, Papan Serbaguna Eksplorasi Nombor membantu murid memahami konsep nombor dengan lebih mudah dan secara didik hibur.

Pun begitu, usaha guru lulusan Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Teknik (Matematik) ini untuk memandaikan anak bangsa tidak terus terhenti di situ.

Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zuriah Muhammad (kiri), Cikgu Saifulnizan (dua dari kiri) bersama pasukan DFC Raja Bahar dan  DFC dari Chile

Pada tahun 2019, beliau sekali lagi mencipta BBM iaitu  inovasi i2K  yang berfungsi untuk membantu murid memahami konsep isipadu kubus dan kuboid secara penyiasatan.

Menerusi inovasi tersebut, pemilik anugerah Johan Southeast Asia Mathematics Teaching and Learning Model, di Yogyakarta, Indonesia itu telah memenangi banyak anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Lima adiwira DFC SK Raja Bahar bergambar di Musei Capitolini

Antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan beliau, inovasi i2K yang dipertandingkan di peringkat Asia Tenggara itu berjaya mendapat tempat pertama dan beliau diberi peluang melaksanakan PdPc itu di Sekolah Dasar Budi Mulia di Yogyakarta, Indonesia pada 15 November 2019 lalu.

Jika dibandingkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara tradisional dengan PdPc yang menggunakan inovasi, Guru Cemerlang Matematik ini melihat murid-murid lebih teruja ketika belajar di dalam bilik darjah apabila menggunakan inovasi pembelajaran.

Fawziah (kanan) turut sama ke Rom untuk memberi semangat kepada pasukan DFC SK Raja Bahar

“Melalui inovasi PdPc Kefahaman konsep dan minat mereka terhadap Matematik juga bertambah. Aktiviti ikuiri penemuan di dalam Matematik menjadikan sesi pembelajaran lebih bermakna kerana setiap murid diberi peluang untuk belajar menerusi aktiviti penyiasatan dan penerokaan untuk memperkukuhkan konsep Matematik.

“Melalui tiga inovasi pembelajaran Matematik yang diperkenalkan, saya dapati persepsi takut terhadap Matematik dapat dikikis apabila kita mengetengahkan pembelajaran yang menyeronokkan dengan mengambil kira kecerdasan pembelajaran murid di dalam bilik darjah,” katanya.

Cikgu Saifulnizan berkata, selain daripada inovasi pembelajaran Matematik yang telah disebarluaskan melalui media massa, beliau juga adalah penggerak utama membudayakan inovasi digital di SK Raja Bahar.

Murid bergotong-royong mengecat dan mencantikkan ruang projek Save the Earth

Pada tahun 2018, sekolah SK Raja Bahar telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Perbadanan Ekonomi Malaysia Digital (MDEC) untuk menubuhkan Sekolah Hub Digital Maker.

Fungsi Sekolah Hub Digital Maker adalah untuk berkongsi ilmu inovasi digital seperti pengaturcaraan, robotik, fotografi kepada sekolah berhampiran.

“Kebiasaannya bilik hub digital maker ini dibuka pada waktu sesi kokurikulum dan kelab robotik yang menggunakan bilik ini, sejak penubuhannya minat murid terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut meningkat,” katanya.

Murid bersama tanaman herba yang diusahakan di sekolah

Bimbing lima murid

Selain menghasilkan inovasi yang menjurus kepada masalah pembelajaran murid di dalam bilik darjah, Cikgu Saifulnizan turut memilih dan membimbing lima murid iaitu Nur Hatiqah Umairah Akazi, Nur Hafizza Husna Mat Hasimi, Nur Awatif Inani Abdullah, Farhanis Akhtar Ghazali dan Nur Aisyah Syakirah Saifulnizan untuk projek DFC di luar bilik darjah, sebagai tanda sokongan kepada sasaran pembangunan mapan.

“Projek yang dinamakan Save the Earth ini merupakan kempen kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan melestarikan alam sekitar. Alhamdulillah projek tersebut telah berjaya dipilih antara 10 utama projek terbaik di Malaysia, menewaskan 94 pasukan lain dari seluruh negara," katanya kepada GPS Bestari.

Murid melakukan aktiviti hands-on penyiasatan bagi membuktikan formula mencari isipadu kuboid dengan menggunakan inovasi i2K

Beliau berkata, kebanyakkan penyertaan dalam projek tersebut adalah dari sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi.

"Apabila pasukan sekolah kami terpilih untuk membentangkan projek di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 November lalu, kami sangat gembira ia membuktikan sekolah luar bandar juga mampu bersaing dengan sekolah yang hebat," jelas beliau.

Terangnya lanjut, DFC, I Can Save the Earth bermula setelah menyertai bengkel DFC pada April 2019.

Murid menggunakan telefon pintar untuk menyemak jawapan mereka dengan menggunakan teknologi Augmented Reality

Ketika itu beliau telah telah menghantar lima murid menyertai bengkel tersebut. Menerusinya, murid-murid didedahkan dengan kerangka kerja FIDS, iaitu Feel, Imagine, Do dan Share untuk menjalankan projek mereka.

“Setelah berbincang dengan lima murid saya, kami bersetuju untuk mengatasi masalah pemanasan global 'Sustainable Development Goals 13: Climate Action' yang menjadi isu besar kepada seluruh dunia.

“Saya memberi peluang kepada mereka untuk merancang aktiviti bagi menjayakan projek ini. Antaranya, satu kelas satu pokok, taman herba, pertandingan mewarna, mural the peace wall, info pokok herba melalui Kod QR dan permainan 2D menggunakan perisian Scratch,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut bermula pada awal Mei lalu dan turut mendapat liputan media.

Murid membuat aktiviti konsep nombor bulat, dengan cara menyusun penutup botol yang mempunyai nombor dengan betul mengikut nilai tempat setiap digit

Cabaran

Di sebalik manisnya pencapaian, pasti ada cabaran dan halangannya.

Antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh beliau dan pasukannya adalah kekangan masa, idea dan kewangan.

Tambahnya, beliau juga perlu menyakinkan pihak sekolah mengenai keberhasilan dan kemenjadian murid melalui projek yang akan dilakukan.

Individu penting yang banyak menyokong dan berkongsi idea ialah Guru Besar, Muhammad Shaufi Abdullah.

Murid bermain dam yang dicipta Cikgu Saifulnizan untuk mengira luas bentuk segi tiga.

“Bukanlah mudah untuk realisasikan impian ke Rom, lebih-lebih lagi masalah kewangan untuk menampung pembiayaan kami ke sana. Namun, ALLAH hadirkan insan-insan hebat untuk membantu kami.

“Pengarah Urusan Sri Utama International School, Datuk Fawziah Abdul Karim bersetuju untuk memberikan sumbangan dan membiayai tambang penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur, Doha ke Rom. Malah, pada saat-saat akhir juga kami mendapat tajaan pergi balik penerbangan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dari Air Asia,” terangnya.

Dari kiri: Hatiqah, Hafiza Husna, Nur Aisyah Syakirah, Farhanis dan Nur Awatif

Berbicara lanjut mengenai I Can Global Children’s Summit, lebih 40 buah negara dan 2,000 adiwira dari seluruh dunia berkampung di Rom.

“Di sana pasukan DFC SK Raja Bahar telah bertemu dengan pasukan dari Chile, Israel, Itali dan Amerika Syarikat. Pada hari tersebut, sebanyak tiga pasukan telah membentangkan projek masing-masing, Malaysia ('Save the Earth'), Israel ('To See the Voice and Catch the Light') dan Chile ('Traffic Respect and Order').

Ini merupakan salah satu ruang atau sudut di dalam bilik hub digital maker SK Raja Bahar

“Pasukan DFC SK Raja Bahar menjadi pasukan pertama yang membuat pembentangan. Pada awalnya memanglah agak gemuruh, namun saya gembira mereka berjaya menjawab dengan baik soalan yang diberikan,” katanya.

Katanya, ia bukan sekadar membuat pembentangan, tetapi juga sebagai peluang untuk mengeratkan perpaduan antara peserta dari setiap negara.  

Menariknya, setiap negara perlu menyanyi lagu yang melambangkan setiap negara dan DFC SK Raja Bahar memilih untuk menyampaikan lagu 'Rasa Sayang' di sana.

Profil:

Nama: Saifulnizan Che Ismail

Tarikh lahir: 26 Disember 1982

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Guru subjek: Matematik serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Sekolah: SK Raja Bahar

Pendidikan:

Ijazah Sarjana Muda (sains) Komputer 2000-2005 UTM Skudai Johor

Sarjana Pendidikan (Matematik) 2005-2007 UTM Skudai Johor (Anugerah tokoh Alumni - Majlis PraGraduan UTM)

KPLI Matematik 2008 Institut Perguruan Teknik Cheras KL (Anugerah Graduan Terbaik Akademik)

Pencapaian:

2019

1. Guru Edufluencer KPM

2. Johan Model Pembelajaran dan Pengajaran Matematik Asia Tenggara, Yogyakarta, Indonesia

3. Ke-10 Utama finalis DFC Malaysia.

4. Anugerah Penyelidikan Pendidikan Yayasan Guru Tun HUssein Onn (YGTHO)

5. Johan Guru Inovatif Kategori Individu Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kelantan

6. Guru Adiwira Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu Anugerah Citra Bitara

7. Sekolah Cemerlang ICT PPD Kota Bharu Anugerah Citra Bitara

8. Tempat Ke-3 Cabaran Inovasi Inklusif Zon Timur

9. Pingat Emas International Summit of Innovation & Design Exposition

10. Pingat Emas Persidangan Kebangsaan Amalan Terbaik Pembelajaran dan Pemudahcaraan & Pertandingan Inovasi Institut Perguruan (IPG) Kota Bharu, Kelantan

11. Pingat Emas Kelantan International Learning & Innovation Exhibition

12. Best of the Best Teaching and Learning Kelantan International Learning & Innovation Exhibition.

13. Pingat Emas Invention, Innovation Competition & Exhibition Terengganu

14. Pembentang Kertas Kerja di International Conference on Global Education VII, Padang, Indonesia.

15. Pembentang Kertas Kerja di di International Conference on Teaching Education & Learning, Bali, Indonesia

2018

1. Anugerah 1bestarinet Teacher Award (Guru Inspirasi)

2. Naib Johan Guru Inovatif Kategori Individu Sekolah Rendah peringkat kebangsaan

3. Johan Kategori Sekolah Rendah Kempen Hour of Code peringkat kebangsaan

4. Johan Kategori Media Terbaik Kempen Hour of Code peringkat kebangsaan

5. Tempat Ketiga Pertandingan Rekabentuk Robot Sumo Karnival STEM peringkat negeri Kelantan

2017

1. Guru Cemerlang Matematik

1. Johan Anugerah 1bestarinet Teacher Award

2. Johan Guru Inovatif Individu Sekolah Rendah peringkat negeri Kelantan

3. Anugerah Guru Cemerlang ICT peringkat negeri Kelantan

4. Pengurusan Makmal Komputer Terbaik peringkat negeri Kelantan

2016

1. Johan Anugerah 1bestarinet Teacher Award (Kreativiti)

2. Special Mention Anugerah 1bestarinet Teacher Award (Karakter)

3. Guru Advokasi Emas Frogasia

4. Pengurusan Makmal Komputer Terbaik peringkat negeri Kelantan

Peserta Projek Save the Earth ke Itali di I Can Global Children’s Summit, Rom, Itali

1.Nur Hatiqah Umairah Akazi

Tahun Lima

2.Nur Hafizza Husna Mat Hasimi

Tahun Lima

3.Nama : Nur Awatif Inani Abdullah

Tahun Lima

4.Nama : Farhanis Akhtar Ghazali

Tahun Lima

5.Nama : Nur Aisyah Syakirah Saifulnizan

Tahun Dua

Artikel lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain