Mungkin tidak semua warga Malaysia yang sedar akan pencapaiannya. Namun, ternyata kejayaannya yang berjaya membawa nama negara ke pentas antarabangsa tidak perlu disangkal lagi.

Haziman Sairin, merupakan antara 760 orang peserta (110 peserta dari Malaysia) daripada 15 buah negara yang telah mengikuti pertandingan Singapore International Math Olympiad Challenge (SIMOC) 2016 baru-baru ini. Dia berjaya menempatkan diri di tempat ketujuh dalam senarai pemenang Anugerah Emas – Gred 10, manakala berada dalam kedudukan tangga ketiga dalam Malaysia.

Saat ini dia sedang meneruskan persekolahannya di Tingkatan 5 Syukur (Aliran Sains), di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) Shah Alam. Ketika temu bual penulis bersamanya di sekolah tersebut, dia ditemani kedua-dua bapa dan ibunya, Dr. Sairin Salleh dan Izwani Ibrahim, pengetua sekolah, Hashim Fahmi bin Ahmad Shauki serta dua orang guru iaitu guru Penolong Kanan, Haryati Borhan, dan guru penyelaras dalam pertandingan yang disertainya, Siti Munirah Mohd Sahudi.

Dari kiri; guru Penolong Kanan, Haryati Borhan, guru penyelaras pertandingan, Siti Munirah Mohd Sahudi, Haziman Sairin, pengetua sekolah, Hashim Fahmi bin Ahmad Shauki, bapa dan ibunya, Dr. Sairin Salleh dan Izwani Ibrahim.

Kongsi Detik Kemenangan

Menceritakan detik sebelum ke pertandingan Singapore International Mathematic Olympiad Challenge (SIMOC), Haziman terlebih dahulu menyertai pertandingan pra kelayakan iaitu Singapore Asean School Mathematics Olympiad (SASMO). Format soalan ini dikatakan lebih sukar berbanding SIMOC. Terdapat 25 soalan yang perlu dijawab dalam masa 1 jam 30 minit tanpa menggunakan kalkulator. Seramai 15 orang pelajar dari SAMTTAJ terpilih untuk pertandingan tersebut; 13 orang pelajar tingkatan lima dan dua orang pelajar tingkatan tiga. Ternyata kejayaan memang milik Haziman. Dia berjaya mendapat Perak dalam pertandingan tersebut, manakala dua lagi mendapat Gangsa. 

Sebelum hari pertandingan, terdapat kelas persediaan yang peserta perlu hadiri. Kelas tersebut disertai oleh peserta daripada pelbagai negara. Dari Malaysia sendiri, Terengganu paling ramai menghantar penyertaan.  Contoh-contoh soalan juga boleh diperoleh di Internet. Jadi, menjadi tugas peserta untuk memahirkan diri dengan soalan tersebut.

Gemar Memerhati dan Meneroka Alam

Sesi temu bual petang, pelbagai cerita dikongsikan bersama. Antaranya kisah Haziman sedari kecil, bila mana bakat terpendam dan kebijaksanaan luar biasanya itu berjaya dicungkil sejak umurnya empat tahun lagi. Anak kedua daripada tiga beradik, yang mana dia satu-satunya lelaki, Haziman mengakui yang dia adalah seorang yang sangat aktif dan gemar keluar bersiar-siar untuk meneroka alam.

Sikapnya yang gemar memerhati suasana dan keadaan di sekelilingnya menjadikan Haziman seorang yang suka berfikir. Dia lebih tertarik untuk memerhatikan langit serta bangunan yang ada di sekelilingnya. Dia juga gemar memerhatikan bagaimana sesuatu benda itu bergerak dan menganalisa  konsep sesuatu benda atau perkara. Dari situ, dia akan meneroka dan mengilhamkan sesuatu.

Haziman yang hobinya gemar melihat bintang, kelihatan menjurus kepada minat bapanya yang juga meminati bidang astronomi. Sehinggakan kediaman mereka diubahsuai menjadi seperti balai cerap yang boleh menerima kehadiran pelajar berkumpulan maksimum sehingga 30 orang dalam satu waktu.  Bahagian tingkat atas rumah diletakkan teleskop untuk melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit pada malam hari. Alangkah indahnya suasana sebegitu yang selama ini sering dilihat di bilik tidur anak mat saleh di luar negara.

Proses Pembelajaran Sejak Dalam Kandungan

Mampukah anda bayangkan, seorang anak kecil yang baru berusia empat tahun sudah mampu menghasilkan persembahan Power Point sendiri? Ya, itulah yang Haziman lakukan dalam usia semuda itu. Ketika anak kecil lain baru sahaja pandai untuk membaca dan menulis, Haziman sudah mampu untuk menghasilkan sesuatu yang ada kala sesetengah murid sekolah rendah pun belum tentu mampu membuatnya.

Sesekali bapa Haziman, Dr. Sairin mencelah, “'Learning curve' Haziman memang daripada pembelajaran melalui komputer. Kalau nak diceritakan kisah Haziman sejak dari dalam perut ketika Umminya, Izwani Ibrahim mengandungkannya, memang ada sedikit sebanyak diwarisi Haziman. Pekerjaan Umminya yang berlatarkan 'office automation' di Telekom membuatkan Haziman membesar dengan suasana perkomputeran.”

Bapa Haziman, Dr. Sairin Salleh (kanan) yang tidak putus-putus memberi galakan kepada anaknya.

Ketika usianya menginjak tujuh tahun, ibu bapanya menghantar Haziman ke KUMON. Bermula dari saat itulah dia gemar subjek Matematik. Kata Haziman, subjek ini mencabar minda. Memang berbeza benar dengan kakaknya yang minat melukis dan adik perempuannya yang lebih menjurus dalam bidang sukan.

 

Pelajar Senior Tercabar

Bercita-cita untuk menjadi Pakar Matematik Gunaan (Applied Mathematic Expert), Haziman memang seorang pelajar yang genius. Manakan tidaknya, saat murid tahun dua seangkatannya belajar sukatan pelajaran tahun dua, Haziman sudah mula mengintai sukatan pelajaran tahun tiga. Apabila berada dalam tahun empat dan lima pula, dia mula membelek helaian buku tingkatan lima dan menonton rancangan televisyen untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sampai begitu sekali tahap kecerdikan Haziman. Penulis begitu kagum dengan perjalanan hidup Haziman dan kebijaksanaan yang dimiliki.

Kisah Haziman tidak bernoktah di situ. Semasa di tingkatan satu pula, Haziman menceritakan detik pelajar senior tercabar dengan kemampuannya menguasai subjek Matematik tingkatan lima. Sehinggakan pelajar tersebut meminta Haziman mengajar mereka pula. Haziman pula memang tidak lokek ilmu. Dia sanggup mengajar sehingga mereka benar-benar faham akan kaedah dan jalan pengiraan dalam subjek itu.

Sementelah Haziman tidak banyak berkawan ketika itu, jadi masanya banyak diperuntukkan untuk mengajar mereka yang memerlukan khidmatnya. Ini diakui sendiri oleh pengetua sekolah SAMTTAJ, Hashim Fahmi bin Ahmad Shauki. Haziman ternyata banyak membantu pelajar sekolah itu dalam menyelesaikan masalah mereka dalam subjek Matematik.

Ketika Haziman dalam tingkatan dua, dia terpaksa berdepan dengan cakap-cakap orang yang menyatakan bahawa, jika berjaya kuasai Matematik, pelajar itu akan lemah dalam subjek Bahasa Arab (memandangkan Haziman belajar di sekolah aliran agama). Namun,  Haziman berjaya menepis dan membuktikan bahawa dia berjaya menguasai kedua-dua subjek tersebut dengan cemerlang.

Bukan untuk riak mahupun berbangga diri, namun menurut Haziman, sejak tahun satu lagi dia sukar untuk mendapat markah di bawah 90 untuk kedua-dua subjek tersebut. Dia bersyukur apabila memperoleh Mumtaz dalam peperiksaan Sekolah Menengah Agama (SMA) . Dia juga merupakan antara pelajar perintis untuk peperiksaan PT3 dan memperoleh 8A dan 3B (Bahasa Melayu, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu).

Selain daripada kemahiran yang tinggi dalam pengiraan, Haziman juga kreatif dalam mengilhamkan program baru untuk sekolahnya. Diklasifikasikan sebagai pelajar yang rajin dan berani, sikapnya yang tidak boleh ‘duduk diam’ membuatkan Haziman sentiasa tampil dengan idea baru.

Cetusan idea itu pantas sahaja disuarakan kepada pengetua sekolahnya. Haziman ternyata bijak mengolah idea. Sebelum menyampaikan hasrat hatinya kepada pengetua untuk membuat sesuatu program, Haziman terlebih dahulu membuat kajian dan langkah demi langkah bagi memastikan program yang bakal dihasilakn itu bermanfaat dan realistik. Apabila telah dua atau tiga kali membuat kertas kerja yang sebaiknya, barulah Haziman menyuarakan hasratnya itu kepada tuan pengetua berserta kertas kerja yang lengkap dan penjelasan yang kukuh bagi menyokong programnya.

Haziman juga mahir dalam bidang multimedia. Dek kerana minat yang tinggi, dia sering dipertanggungjawabkan menghasilkan montaj untuk pelbagai program sekolah. Antaranya seperti Hari Anugerah, Hari Kecemerlangan, Penutupan Minggu Teknik dan banyak lagi.

Rahsia Jadi Genius Matematik

Perasaan ingin tahu penulis membuak-buak tatkala mendengar satu persatu kisah Haziman. Apakah faktor yang mendorongnya sehingga boleh menjadi cerdik seperti hari ini. Tentu ada rahsia yang menjadi amalan Haziman sekeluarga. Kala penulis bertanyakan mengenai aspek pemakanan yang diambil oleh keluarga ini, Haziman menyatakan yang mereka sekeluarga jarang makan di luar. Lazimnya, mereka akan menikmati air tangan ibu mereka yang sememangnya bersih dan berkhasiat.

 

Haziman bersama Ummi, Izwani Ibrahim yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Haziman lagi, “Saya memang tidak boleh mengambil makanan segera. Sekiranya saya ambil juga, saya akan berasa pening kepala. Mi segera juga saya ambil maksimum sekali dalam sebulan. Keluarga kami juga berpantang daripada minum air berkarbonat. Biasanya, hanya air suam yang menjadi amalan harian. Air yang bergula pula boleh diambil, tetapi dalam kuantiti yang sederhana.”

Diri Haziman sinonim dengan dunia perkomputeran, maka sudah tentu jari jemarinya lincah mengetuk papan kekunci dan mengetik tetikus. Justeru, salah satu kelemahannya di situ sudah tentu menerusi tulisannya. Ini memang diakui sendiri oleh Haziman dan ibu bapanya. Sambil tergelak kecil, Dr. Sairin memang mengakui yang tulisan anaknya itu ada kala sukar dibaca. Mujur guru di sekolah sudah terbiasa dengan cara penulisan Haziman. Jadi, itu tidaklah mendatangkan masalah yang besar buat  mereka.

Saat ditebak pertanyaan mengenai cara atau rahsia pembelajarannya sehingga mahir dalam Matematik, Dr. Sairin menjawab bagi pihak anaknya. Menurutnya, “Matematik adalah subjek pengiraan. Jadi, anak-anak akan diberikan masa selama setengah jam setiap hari untuk membuat latihan.

"Dalam masa yang sama, perlu mencipta soalan sendiri dan mencuba formula. Contohnya, mencari Nombor Perdana. Ada formula lain yang boleh kita cuba dan aplikasikan selain daripada yang diajar di sekolah,” jelasnya lagi.

Kongsi Dr. Sairin lagi, anak-anak mereka diajar mengenai ilmu pengiraan sedari kecil tanpa mengira masa mahupun keadaan. Mereka diajar mengira melalui wang saku yang diberikan setiap hari. Anak yang berada dalam tahun satu hingga tiga diberikan wang saku sebanyak RM3 sehari, manakala tahun empat dan lima akan diberi wang saku sebanyak RM5. Setiap hujung bulan, anak-anak akan ditanya berapa baki yang mereka simpan sama ada berlebihan atau berkurangan.

“Melalui tabungan itu juga, Haziman gemar membeli buku latihan Matematik dari Kota Singa. Ini kerana sukatan pembelajaran mereka lebih tinggi dan ini membolehkan Haziman membiasakan diri dengan soalan-soalan yang lebih sukar.

“Selain itu, anak-anak juga diberikan jam. Haziman gemar melihat jam secara terbalik. Dia juga gemar cepatkan waktu daripada masa sebenar. Ini sebenarnya menggalakkan otak kita sentiasa aktif  dengan mengira setiap kali kita melihat jam,” tambahnya lagi.

Sokongan Rakan Baik

Meskipun dahulu Haziman dikatakan sering membuat hal sendiri, namun dia turut mempunyai beberapa rakan baik sejak tingkatan satu. Salah seorang sahabat baiknya adalah Mohd Zakwan Suzaizi yang merupakan Ketua Umum Pelajar. Nuqman Aliff Badrul Munir yang dikenali ketika berada dalam tingkatan dua dikenali dek kerana minat mereka yang sama dalam program tv Running Man. Manakala Kamarul Danial Kamarul Aldrin juga yang dikenali dalam tingkatan dua adalah disebabkan mereka berkongsi kisah kehidupan dan minat yang sama dalam ‘gaming’. Kelebihan dan minat yang sama antara mereka inilah yang membuatkan Haziman dan ketiga-tiga mereka ini menjadi akrab.

Menyedari minat yang sama dalam Running Man, sebenarnya Haziman bukan sekadar suka-suka meminati rancangan tv tersebut. Namun, fikirannya tercetus idea, mengapa tidak Running Man tersebut dijadikan program yang lebih Islamik. Berputik daripada itu, Haziman yang telah mula merangka idea sejak dalam tingkatan tiga lagi berinisiatif untuk membuat program Kembara Tarbawi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan peserta mengembara mencari ilmu. Hebat bukan corak pemikiran Haziman yang sering dilihat berkopiah putih walau ke mana sahaja.

Bersama kawan rapat, Kamarul Danial semasa majlis Makan Malam Asrama SAMTTAJ.

Pencapaian Membanggakan

Sesekali Haziman terdiam seketika. Mengingati pencapaian demi pencapaian yang diingati kala penulis ingin membuat senarai tahap pencapaiannya. Sememangnya banyak sekali pencapaian yang perlu dilakar di atas kertas. Atas inisiatif bapanya, Dr. Sairin sendiri dengan kerjasama Haziman menyenaraikan pelbagai pencapaian yang diraih berdasarkan sijil penyertaan dan rakaman gambar dalam simpanan. 

Apa lagi harapan dan impian seorang ibu atau bapa. Sudah tentu ingin melihat kejayaan anak-anaknya. Dr. Sairin ingin sekali melihat Haziman dan anak-anaknya yang lain pergi lebih jauh lagi. Dia yang merupakan seorang bapa yang tegas turut mahir dalam bidang astronomi, geonologi (kajian salasilah keluarga) serta mempunyai kelayakan Doktor Falsafah dalam Bandar Pintar (Smart City). Sebagai seorang bapa, beliau berimpian untuk melihat Haziman dan dua lagi anaknya pergi lebih jauh, lebih berjaya daripada dirinya.  Semoga kejayaan Haziman pada hari ini berupaya menjadi sumber inspirasi kepada anak bangsa lain.

 

 Pencapaian Haziman bin Dr. Sairin

Bil

Tahun

Nama Pertandingan / Program / Peperiksaan Awam

Anjuran

Peringkat

Pencapaian

1

2011, Tahun 6

 

International Competitions and Assessments for Schools (ICAS)

University of New South Wales (UNSW)

Antarabangsa

Kepujian

2

2011, Tahun 6

 

Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

Kementerian Pelajaran

 

4 A 1 B

3

2011, Tahun 6

 

Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA)

JAIS

 

JayyidJiddan

4

2012, Tingkatan 1

 

Enviro-Tech for E-Creativity

Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dengan kerjasama AMD Foundation

Sekolah

Johan

5

2012, Tingkatan 1

 

Enviro-Tech for E-Creativity

Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dengan kerjasama AMD Foundation

Negeri

Penyertaan

6

2012, Tingkatan 1

Marine Camp

Eksplorasi Keajaiban Alam

Ed-Scuba dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Kebangsaan

Penyertaan

7

2012, Tingkatan 1

Acara 800m

SAMTTAJ

Sekolah

Naib Johan

8

2013, Tingkatan 2

Acara 800m

SAMTTAJ

Sekolah

Naib Johan

9

2014, Tingkatan 3

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

Kementerian Pelajaran

 

8 A 3 B

10

2015, Tingkatan 4

Pertandingan Drama Komsas

PPD

Daerah

Tempatketiga

11

2015, Tingkatan 4

Pertandingan Deklamasi Sajak

PPD

Daerah

Penyertaan

12

2015, Tingkatan 4

The High School Mathematics Competition bersempena Hari Terbuka USIM

Universiti Sains dan Islam Malaysia (USIM)

SekolahhKlusterdanAngkat

Johan

13

2015, Tingkatan 4

Pertandingan Pencak Silat

 

Daerah

TempatKetiga

14

2015, Tingkatan 4

Pertandingan Kalimatussobah bersempena Program Maitaj

 

Sekolah

Johan

15

2015, Tingkatan 4

Liga Kalam (idea cetusan sendiri) bersempena Bulan Dakwah

Badan Dakwah dan Rohani Sekolah SAMTTAJ

Sekolah

AJK

16

2015, Tingkatan 4

Pertukaran Pelajar & Jaringan Pendidikan Antarabangsa ke Korea

Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Hiroshima International Kuala Lumpur Club

Antarabangsa

Penyertaan

17

2015, Tingkatan 4

Sijil Menengah Agama (SMA)

 

 

Mumtaz

18

2016, Tingkatan 5

Kembara Tarbawi (idea cetusan sendiri)

Badan Dakwah dan Rohani Asrama SAMTTAJ dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling

Sekolah

Pengarah

19

2016, Tingkatan 5

Pertandingan Drama Komsas

 

PPD

Daerah

Penyertaan

20

2016, Tingkatan 5

Pertandingan Deklamasi Sajak

PPD

Negeri

Penyertaan

21

2016, Tingkatan 5

Kuiz Bahasa Arab

PPD

Daerah

Tempatketiga

22

2016, Tingkatan 5

Singapore Asian Schools Maths Olympiad (SASMO)

Singapore International Mathematics Contests Centre (SIMCC)

Antarabangsa

Perak

23

2016, Tingkatan 5

Singapore International Maths Olympiad Challenge (SIMOC)

Singapore International Mathematics Contests Centre (SIMCC)

Antarabangsa

Emas

 

 

Lokasi peperiksaan SIMOC.

Bersama sebahagian pengawas asrama SAMTTAJ semasa lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang dan Kelantan.